Dana

Tuesday, November 10, 2009

1. Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan dan tidak bermotifkan keuntungan senantiasa memerlukan sokongan dan bantuan kewangan untuk bergerak lancar. Tanpa adanya sumber kewangan yang mencukupi kemungkinan pergerakannya agak terbatas.

2. Namun begitu, soal kewangan semata-mata bukanlah alasan untuk tidak bergerak. Aktiviti dan soal pencarian kewangan hendaklah bergerak seiringan. Lebih daripada itu, fokus dan harapan hendaklah tertumpu kepada Allah swt. Selain daripada usaha yang sungguh-sungguh, pergantungan harapan kepada Allah swt untuk mendapatkan pertolongan merupakan 90% daripada tangga kejayaan.

3. Saya yakin dan percaya bahawa apabila kita mempunyai niat yang betul dan ikhlas seterusnya memastikan prosesnya mempunyai ketelusan, insya Allah bantuan Allah swt sudah barang pasti tiba.

4. Keterbergantungan kita hendaklah pada tahap optimum kepada kekuasaan Allah swt lalu menumpukan usaha zahir secara bersungguh-sungguh dan menepati syariat. Kemenangan dan kejayaan bukanlah kerana kita dapat mengumpul atau memperolehi dana dan kewangan semata-mata. Bukanlah juga kemenangan apabila kita mendapat pengikhtirafan manusia di mukabumi ini tetapi kemenangan dan kejayaan adalah apabila dapat memperhambakan diri setiap masa dengan ketentuan Allah swt. Harapan kita adalah khidmat kita yang tidak seberapa ini moga-moga ada sedikit pandangan rahmat dan kasih sayang Tuhan.

5. Kita mempunyai niat untuk berdikrari bagi membangunkan organisasi kita. Pembangunan modal insan dan celik akal untuk memperhambakan diri kepada Allah swt semata-mata. Kita mempunyai hasrat untuk melihat pembangunan fizikal dan material yang seiring dengan pembangunan rohani. Kita memandang jauh kepada dengan pandangan positif adanya peluang-peluang dan sumber-sumber rezeki Allah swt untuk memperkasakan organisasi bagi tugas-tugas menyebarkan syiar Islam.

6. Kalau kita mencari wang belum tentu kita dapat mengurusnya tapi kalau kita mencari iman sudah tentu iman itu dapat mengurus dan memperbetulkan kita dalam memikul amanah dan tanggungjawab. Dalam menghadapi dugaan berbentuk fitnah dan kata-kata yang menyinggung perasaan hanya keikhlasan menjadi ubatnya. Umpat mengumpat dan fitnah merupakan sunatullah perjuangan. Bukan sahaja perlu bersedia melakukan pengorbanan fizikal dan material tetapi juga perlu bersedia untuk menghadapi pengorbanan perasaan, gangguan berbentuk cemuhan, pandangan negatif dan sebagainya.

7. Kita mempunyai matlamat yang besar, jelas dan khusus. Pengalaman yang ada mematangkan kita untuk menghadapi cabaran. Kita tahu bagaimana untuk mengenal pasti kawan dan lawan cumanya kita perlu sedar bahawa orang agama tidaklah curang dalam memberikan nasihat dan teguran. Kalau kita alpa dalam mengenal pasti perkara tersebut kita akan kehilangan kawan. Sahabat dalam perjuangan lebih penting daripada kawan. Lebih-lebih lagi persahabatan yang terjalin disebabkan matlamat perjuangan yang sama.

8. Mengorbankan perasaan kekitaan adalah tugas yang berat. Kita senantiasa berasa bahawa segala tindak tanduk kita betul lalu melahirkan perasaan tidak puas hati kepada orang lain. Kalau kita baling bola ke dinding, sunatullahnya ialah bola tersebut akan melantun balik kepada diri kita. Kalau kita mengkritik seseorang, sudah tentu mereka akan turut mengkritik kita. Tapi kalau kita berdiam diri daripada menyuarakan sesuatu perkara yang pincang walaupun pasti tahap kebenarannya sekurang-kurangnya dapat dijadikan teladan dan sempadan.

9. Berbalik kepada soal kewangan, usaha-usaha perlu digerakkan untuk mendapatkan dana bukan sahaja daripada agensi kerajaan tetapi juga daripada agensi swasta. Lebih penting daripada itu ialah kita hendaklah menggunakan aset-aset yang sedia ada untuk membangunkan ekonomi kita. Di antara perkhidmatan yang boleh diperolehi daripada YKSNS ialah

a) Perkhidmatan Katering untuk kenduri-kendara, aqiqah dsbnya
b) Perkhidmatan sewa PA Sistem
c) Perkhidmatan Mesin Rumput

10. Jika memerlukan perkhidmatan kami bolehlah berhubung dengan talian 06 4810092/0122.

Read more...

Penghuni Rumah Kasih Sayang

Monday, November 9, 2009

Pada kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk berkongsi maklumat mengenai penghuni yang berada di Kompleks YKS Tok Muar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sejak ditubuhkan asalnya bermula di Taman Setia Kasih, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Penubuhan ini adalah lanjutan daripada memenuhi keperluan mendesak terutama untuk golongan wanita. Seterusnya, kita berpindah sementara ke Taman Wira sebelum berpindah ke Kompleks Masjid Tok Muar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Berikut secara umum dinyatakan jenis-jenis kes yang pernah mendapat perlindungan sementara bersama-sama kami.

1. Golongan Sasaran Utama ialah Saudara Baru. Saudara Baru merupakan kumpulan yang diberi keutamaan kerana ianya merupakan tujuan asal penubuhan rumah perlindungan sementara ini. Mereka ini sering dirujuk oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Unit Ukhuwah Saudara Baru, Jabatan Hal Ehwal Negeri Sembilan, Pejabat-pejabat Agama Daerah-Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sosial Hospital Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson. Kebiasaannya saudara baru wanita akan tinggal lebih lama berbanding dengan saudara baru lelaki.

Selain disediakan kemudahan penginapan dan tempat tinggal, usaha-usaha juga ditumpukan

a)untuk memulihkan keyakinan diri,
b)mengadakan kelas-kelas asas kefahaman Islam,
c)praktikal solat dan beberapa usaha penyelesaian masalah mengikut keperluan semasa. d)proses penukaran nama dan status agama dalam kad pengenalan juga dilakukan.

Biasanya mereka akan tinggal di rumah perlindungan dalam tempoh di antara 3 hingga 6 bulan. Bagi saudara baru yang sebatang kara, ada yang tinggal di rumah perlindungan ini sehingga akhir hayat.

Contoh Kes

Dalam pengalaman terdapat satu kes melibatkan saudara baru India (wanita) ditinggalkan oleh suaminya yang berketurunan Pakistan. Suaminya dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan telah merujuk kes ini untuk satu tempoh supaya membolehkan suaminya kembali ke Pakistan tetapi sehingga laporan ini ditulis tiada sebarang maklumat yang diperolehi daripada beliau. Hinggakan usaha-usaha untuk menghubunginya juga menjadi sia-sia kerana no telefonnya sudah tidak berfungsi. YKSNS telah menyempurnakan pengurusan dirinya yang terakhir dan menyemadikannya di tanah perkuburan Kuala Pilah.


Pelatih lain yang menghuni bersama-sama kami ialah
a)anak-anak saudara baru yang tiada ibu bapa kerana meninggal dunia
b)anak-anak saudara baru yang terbiar kerana ibu bapa bercerai
c)anak-anak saudara baru yang ditinggalkan bersama-sama keluarga asal.


Terdapat juga kes di mana, ada suami baru tidak mahu menerima anak-anak isterinya bersama suami pertama tetapi turut memeluk agama Islam. Usaha-usaha untuk memberi perlindungan kepada mereka amat penting demi untuk memulihara akidah mereka.


2. Selain daripada saudara baru, kumpulan kes lain yang sering mendapat perlindungan di sini ialah ibu tunggal.


a) Ibu tunggal yang bercerai melibatkan saudara baru dan bukan saudara baru,
b) Ibu tunggal yang bercerai mati dan tiada pembelaan keluarga,
c) Ibu tunggal bawah umur yakni yang hamil tanpa nikah


Masing-masing mempunyai kisah dan rencam kehidupan yang pelbagai dan unik. Kisah-kisah tidak wajar diperincikan kerana melibatkan kerahsiaan, etika dan soal-soal maruah. Namun kehadiran mereka di sini dapat meringankan sedikit penderitaan yang dialami dan paling kurang masih punyai tempat untuk berteduh ketika memerlukan perlindungan. Wanita hamil tanpa nikah bukan sahaja melibatkan golongan bawah umur adakala turut melibatkan wanita dewasa mahupun ibu tunggal yang sudah bercerai. Terdapat jua kes-kes yang melibatkan hidup berkesedudukan lama tanpa nikah yang dirujuk. Kami menjalankan segala usaha termampu untuk mendokumentasikan pernikahan tersebut dan mengusahakan pembinaan hidup baru.


3. Seterusnya ialah beberapa kes terpencil melibatkan mereka yang menjadi buruan along kerana terlibat dalam pinjaman ceti haram. Hampir-hampir mereka menjadi gila kerana menghadapi tekanan kerana tidak lagi mampu untuk membayar hutang.


4. Kumpulan yang dirujuk kerana tersadai di taman-taman awam kerana dihalau atau disuruh keluar kerana tidak dapat membayar sewa rumah. Ada kalanya disebabkan pergaduhan keluarga. Kebiasaannya kes seperti ini tidak lama kerana kami bekerjasama dengan Baitul Mal untuk mengusahakan rumah PPRT atau rumah-rumah yang disediakan oleh kerajaan Negeri Sembilan untuk golongan yang tidak berkemampuan. Alhamdulillah setakat ini ramai keluarga dapat kita usahakan untuk memperolehi rumah tersebut.


5. Remaja lari daripada rumah. Kebanyakan remaja yang lari daripada rumah adalah disebabkan ketidakfungsian sistem mikro keluarga tersebut. Biasanya ibu bapa bercerai atau sering bergaduh, tiada kasih sayang dan perhatian dalam keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak mencari alternatif melalui sistem meso dalam sistem sosial mereka. Sasaran mereka adalah rakan sebaya kerana pada peringkat usia tertentu dan disebabkan gaya keibubapaan, remaja mencari dan mendapatkan maklumat melalui interaksi mereka dengan rakan sebaya. Rakan sebaya amat berpengaruh dan selalu mengatasi pengaruh dan peranan ibu bapa kerana kegagalan ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran ( home ) yang kondusif untuk memenuhi keperluan remaja. Remaja memperolehi apa yang patut diperolehi daripada ibu bapa mereka daripada rakan sebaya yang berkekesudahan dengan masalah sosial.


Ibu bapa perlu belajar dengan menghadiri kelas-kelas dan menjalani latihan mentoring dalam dunia yang kian mencabar ini. Sudah tentu personaliti ibu bapa amat mempengaruhi tingkah laku mereka sebagai ibu bapa namun sesuatu tingkah laku itu masih boleh dipelajari dan dimodifikasi mengikut keperluan.


Akhirnya kita harus menyedari bahawa YKSNS masih dalam peringkat penyusunan asas-asas keperluan untuk menjadi organisasi yang menyumbang dalam mengatasi masalah-masalah sosial. Kita masih belajar untuk memperkukuhkan sistem kita. Terdapat beberapa tahap yang perlu dilalui. Apabila sistem dalaman kita kukuh, kita akan memacu untuk melibatkan diri dalam circle kedua yang melibatkan program-program out reach untuk mengusahakan kesedaran kepada masyarakat dan menyediakan masyarakat yang responsif bagi membantu mengawal masalah yang dihadapi. Penglibatan masyarakat perlu diusahakan dengan memberi kesedaran bahawa tugas pendidikan ini bukan sahaja tugas kerajaan, NGO semata-mata tetapi tugas dan tanggunjawab setiap individu.

Dengan adanya ruang-ruang yang disediakan melalui Sistem Jaringan Keselamatan Sosial, dapatlah kami sebagai NGO untuk menyalurkan maklumat dan menggerakkan masyarakat yang rapuh bagi mendapatkan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Masih ramai juga yang tidak mempunyai maklumat berhubung perkara-perkara ini.

Read more...

Gagasan Pembangunan Saudara Baru

Friday, November 6, 2009

1. Usaha untuk membangunkan saudara akan menjadi mudah apabila beberapa pihak yang terlibat dalam Pembangunan Modal Insan Saudara dapat memahami dan saling melengkapi dalam memainkan peranan masing-masing.


2. Pihak utama yang perlu memainkan peranan utama ialah saudara baru itu sendiri. Apapun program yang dirancang dan dijayakan dengan pelbagai maksud dan tujuan hanya akan memberi makna apabila keterlibatan saudara baru berada pada tahap yang tinggi. Perhubungan dua hala dan keterlibatan langsung dan aktif saudara baru akan membantu mereka untuk membentuk peribadi.


3. Kita mengetahui bahawa pembentukan personaliti berkaitan rapat dengan agen sosial yang berhubung secara langsung dengan saudara baru. Anjakan agama yang dilalui oleh saudara baru daripada kehidupan lama kepada agama baru merupakan bukti komitmen tinggi. Bagi mereka kesedaran bahawa perubahan agama merupakan suatu bentuk pernyataan kesungguhan untuk berubah mengadaptasikan budaya dan norma baru dalam kehidupan merupakan cabaran dan perlukan latihan. Soal ini tidak dapat dipisahkan dengan niat asal mereka melakukan perubahan. Setiap orang paling kurang mempunyai satu sebab untuk memilih agama Islam sebagai agama ikutan mereka. Sungguhpun untuk menganut agama Islam tiada paksaan tetapi apabila sudah menerima sumpah setia menyatakan keislaman bermulalah mereka untuk mematuhi hukum hakam dan peraturan keagamaan. Pendekatan Nabi saw yang mengusahakan penerapan dan pembentukan Iman selama 13 tahun mungkin boleh menjadi sandaran kepada saudara baru.

4. Mempertikaikan niat dan keikhlasan saudara baru memeluk agama Islam bukanlah jalan penyelesaian. Malahan siapalah kita untuk menilai dan memberi makna dan erti kepada keislaman seseorang insan. Hidayah adalah hak mutlak Allah swt, tugas kita ialah mengurus mereka dengan contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw. Mereka mempunyai pelbagai tujuan untuk memeluk agama Islam. Paling ramai ialah kerana perkahwinan. Tidak dinafikan perkahwinan merupakan suatu faktor penyebaran agama yang utama. Soal bertukar agama kerana cinta dan sayang kepada seseorang lalu mereka mengambil keputusan untuk bertukar agama adalah sebab sahaja. Mereka yang persekitaran mereka hendaklah melahirkan celik akal saudara baru untuk memahamkan mereka bahawa keislaman seseorang mempunyai syarat-syarat dan Islam itu terdiri daripada Rukun Islam dan Rukun Iman.

5. Faktor perkahwinan dan cinta sayang menyebabkan ramai pihak terburu-buru untuk bernikah, adakalanya disebabkan mereka yang asal Islam sendiri tidak berapa peka dengan keperluan untuk melakukan pendidikan agama terlebih dahulu. Salah seorang kawan saya bertanya pada saya, apakah sebab tuan memeluk agama Islam sedangkan tiada apa yang ditawarkan oleh orang-orang Islam ? Bagi memperjelaskan soalan tersebut beliau mengulas bahawa orang Islam di Malaysia majoritinya adalah orang Melayu dan kebanyakannya tiada apa keistimewaanpun untuk ditawarkan yang boleh menarik perhatian orang lain untuk memeluk agama Islam.

6. Saya tidak boleh menjawab soalan tersebut bagi pihak orang lain. Kalau yang menyorot kembali sebab musabab diri sendiri, faktor utama diri saya ialah keinginan tinggi dalam diri sendiri untuk hidup bertuhan, pengalaman dan pendedahan agama Islam melalui penglibatan diri bersama Pasukan Pengakap, dorongan ilmiah yang dipersembahkan oleh kawan karib saya dan faktor keterbukaan orang tua saya dan akhirnya ini merupakan petunjuk dan keredhaan Allah swt untuk menyediakan ruang dan memudahkan usaha ke arah kembali kepada agama Islam.


7. Betullah kata beberapa pendapat, kamu akan dapat apa yang kamu niatkan. Dalam agama niat amat penting. Niat melakukan sesuatu merupakan ukuran keikhlasan yang hanya diketahui oleh Allah swt. Niat terbentuk hasil paduan akal, hati dan roh dan mempunyai kuasa minda yang kuat untuk menggerakkan sesuatu.


8. Perkara yang saya ingin utamakan ialah

8.1. Saudara Baru harus menyediakan atau disediakan paras kesedaran dirinya untuk berubah dan menerima perubahan. Implikasi praktisnya mungkin dengan mengadakan solat taubat dan hajat supaya memperbetulkan niat. Mereka yang terlibat secara kolaborasi hendaklah memimpin perubahan saudara baru. Ada pihak berpendapat bahawa kita perlu mengusahakan celik akal untuk membuat seseorang berubah tetapi hasil yang cepat dan mudah boleh diperolehi 'the other way round' mengusahakan perubahan tingkah laku kemudian mengusahakan celik akal. Pendekatan ini lebih mudah kerana manusia apabila melakukan tindakan perubahan melibatkan tingkah laku lebih cepat belajar dan boleh berubah daripada usaha-usaha mengubah minda dengan memberi ilmu kemudian baru mengusahakan perubahan tingkah laku. Pendekatan ini boleh dipermudahakn dengan kata-kata buat sambil belajar.

8.2. Jika saya mengambil contoh belajar solat. Saudara baru yang mengucap sudah menjadi kewajipan untuk bersolat. Pendekatan mudah ialah buat praktikal solat dengan berjemaah kemudian melalui teori akan mempermudahkan faham. Daripada segi hukum fiqhnya solat saudara baru sah andaipun mereka tidak boleh menbaca surah dan bacaan dalam solat. Mungkin mudah dan cukup sekadar menyebaut Allah dan kalimah-kalimah lain yang mudah.


8.3. Individu yang berminat untuk melibatkan diri dalam dakwah terutama untuk membantu saudara baru sering keliru dan tidak selesa. Perbezaan budaya cara kehidupan dan norma kehidupan mereka menghalang mereka untuk mempunyai dimensi pandangan yang keliru dalam menghadapi saudara baru. Perkara ini menyebabkan wujud rasa bersalah dan takut tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk menjaga muallaf. Mereka juga takut andai kata intervensi mereka gagal dan saudara baru kembali murtad. Perkara ini menyebabkan mereka mengalami mimpi ngeri dan seterusnya mengambil pendekatan untuk mengelak untuk membantu saudara baru.

8.4. Seperkara lagi, usaha dan bantuan yang diberikan hendaklah berpatutan dan tidak menggalakkan kebergantungan tinggi. Jika pendekatan yang dipilih menyebabkan mereka menjadi malas dan mudah bergantung harap ini bukan pendekatan terbaik. Kita harus mengenal pasti masalah saudara baru daripada beberapa sudut. Sudut keselamatan dan keperluan kepada perlindungan, sudut sara hidup dan kebajikan dan sudut pemantapan kerohanian. Saudara Baru hendaklah digalakkan bekerja supaya mereka dapat berdikrari dan merealisasikan inti pati ajaran agama untuk menyediakan diri menunaikan hak Allah dan hak manusia. Kita juga kena faham bahawa saudara kecuali yang menghadapi kecacaan fizikal ataupun mental mampu dan berkebolehan dalam banyak bidang kemahiran. Potensi mereka hendaklah digilap dan diberi pengupayaan untuk memimpin hidup mereka.


9. Kepada saudara baru, kita bukanlah manusia yang lemah. Kita mempunyai potensi serupa seperti manusia lain di muka bumi. Cuma sejauhmana kita memilih untuk bertingkah laku menyebabkan kita membuat pilihan-pilihan dalam hidup kita. Kalau kita memilih untuk hidup bergantung sampai bila pun kita akan hidup bergantung kepada orang lain dan tidak dapat berdikrari. Seperti manusia lain kita juga mempunyai kehendak dan keinginan hidup yang dipanggil dunia kualiti kita. Dalam dunia kualiti kita, terdapat kemahuan, keinginan dan kehendak.


10. Dunia Kualiti kita hendaklah bersifat realistik, mudah dan boleh dicapai. Kita memerlukan suatu kehidupan dan keperluan hidup - makan minum, pakai patut, tempat tinggal keinginan hidup berpasangan, beranak pinak dan berketurunan. Selanjutnya kita memerlukan kasih sayang dan saling memiliki. Faktor kedua ini merupakan faktor utama dalam memacu kehidupan supaya kita dapat bertingkah laku dengan sempurna. Kasih sayang daripada keluarga, rakan taulan, pemimpin dan masyarakat. Berikutnya kita memerlukan kuasa dan pencapaian supaya kita dapat autoriti atas diri kita, kepuasan hidup dalam menentukan pilihan dalam dunia kualiti kita. Kebebasan dan kebahagian hidup adalah yang terakhir.


11. Saudara Baru hendaklah memahami perkara ini dan melalui proses-proses membuat pilihan yang tepat untuk berubah. Kita perlu ingat kebahagiaan dan penderitaan adalah pilihan kita, kalau kita memilih untuk derita dan dukacita, kita perlu bekerja juga dan melalui kesusahan, begitu juga kalau kita memilih untuk hidup gembira pun kita perlu bersusah payah dan bekerja. Manakala kedua-duanya memerlukan kerja bersungguh-sungguh, lebih baik kita memilih untuk gembira. Semuanya pada pilihan kita. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana pilihan yang kita lakukan.


12. Bertindaklah dengan cermat dan berhati-hati. Perkara utama ialah integriti. Ingat kita akan dipersoalkan Allah swt pada kemudian hari atas pilihan-pilihan yang kita buat. Kita boleh memilih menjadi orang beramanah daripada memilih untuk menjadi curang, kita boleh memilih untuk menjadi kawan daripada memilih untuk menjadi lawan, kita boleh memilih menjadi sahabat daripada memilih menjadi musuh.


PILIHAN DI TANGAN ANDA
IRINGKAN DENGAN DOA

Read more...

Model Pengurusan Saudara Baru

Tuesday, November 3, 2009

Model Pengurusan Saudara Baru

1. Mengucap Kalimah - Pada tahap ini lebih melibatkan urusan pendaftaran dengan tujuan dokumentasi dan rekod perundangan. Soal-soal perundangan perlu diambil peringatan serius supaya tiada dakwa dakwi di kemudian hari. Seseorang yang bersetuju kembali menjadi orang Islam hendaklah melalui pendaftaran dengan Pendaftar Saudara Baru seperti yang ditetapkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan.
a) Untuk tujuan pendaftaran memerlukan salinan Kad Pengenalan dan 8 keping gambar. Urusan ini bolehlah dibuat di Pusat Dakwah Islamiah ataupun di mana-mana Pejabat Agama Daerah berdekatan di kawasan masing-masing. Pengislaman juga boleh dibuat di masjid-masjid berdekatan dengan kerjasama imam dan ajk masjid.


2. Tugas Saringan Pengurusan dan mengenal pasti masalah


Maksudnya ialah perlu dikenal pasti beberapa perkara antaranya ialah
a) urusan pendaftaran dan penukaran status agama dalam kad pengenalan
b) soal kebajikan meliputi pekerjaan dan pendapatan, status sosial dan pendidikan
c) kemudahan penginapan, penempatan semula
d) urusan pendaftaran pembubaran atau pendaftaran perkahwinan
e) melakukan saringan mengenal pasti tahap akademik, kemahiran dan lain-lain
f) mengenal pasti NGO tertentu untuk tujuan pemantauan
g) menyalurkan maklumat menerusi masjid kariah untuk pemantauan

Jaringan agensi pelaksana agama bersama-sama NGO sebagai badan sokongan amat membantu kerana bukan semua perkara boleh dilaksanakan oleh pegawai di jabatan. Kewujudan Pertubuhan Gabungan Persatuan-persatuan Dakwah Negeri Sembilan hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya. Namun semua pihak hendaklah memainkan peranan dan fungsi masing-masing. Bantuan, kerjasama hubungan dua hala yang erat dan peruntukan kewangan berpadanan dengan tanggungjawab yang diamanahkan hendaklah diambil kira.


3. Tugas Merangka dan Merancang
a) bersama-sama saudara baru merancang aspek-aspek seperti pendidikan asas kefahaman Islam, mengenal pasti potensi dll
b) mencadangkan pelajaran atau pendidikan atau mengikuti kemahiran hidup mengikut tahap kemampuan
c) pembinaan ikatan persaudaraan Islam melalui kursus dan program kekeluargaan
d) lantikan mentor, keluarga angkat dsb.nya. Dengan kaedah mentoring dan keluarga angkat kita dapat menggerakkan penglibatan masyarakat Islam seluruhnya untuk meringankan tugas dan bebanan untuk menjaga muallaf


4. Perlaksanaan
a) setelah kenal pasti potensi menyalurkan mereka untuk dilatih untuk pembangunan sumber diri
b) program celik akal dan pembinaan jati diri, self estem, membina asas-asas supaya mereka boleh berdikrari
c) memiliki jaringan kerjasama dengan institut yang menawarkan latihan seperti Institut Dakwah Islamiah Perkim, mempunyai maklumat daripada Kementerian Sumber Manusia supaya kita dapat membantu mereka membina dunia berkualiti mereka.
d) membangunkan jaringan sukarelawan
e) mempunyai hubungan erat dengan Universiti-universiti untuk menjalankan program bersama
f) kenalpasti individu yang menggerakkan aktiviti dakwah secara solo dan memberi bantuan


5) Penilaian
a) melakukan penilaian secara bersama dengan klien
b) melakukan penambahbaikan atau mengatasi masalah dan kesilapan

Pendekatan ini akan dapat memperjelaskan peranan dan fungsi Baitul Mal secara lebih berkesan supaya pembayar zakat memperolehi info jelas akan keberkesanan sistem pengurusan Baitul Mal. Untuk mengelakkan salahfaham saya ingin menekankan di sini bahawa Baitul Mal Negeri Sembilan amat komited dalam menunaikan tanggungjawab mereka sesuai dengan pepatah tangan kanan memberi sehingga kanan kiripun tidak mengetahui. Kita yakin bahawa dengan kekuatan yang ada Baitul Mal mampu menjadi pemangkin perubahan sosial terutama di Negeri Sembilan. Insya Allah akan mendapat keberkatan dan sokongan NGO dan individu lain. Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada seluruh jentera pengurusan mereka. Kalau ada pun sedikit kekurangan perlu diperbaiki daripada masa ke semasa.


Kebaikan

a) Saudara Baru yang berpotensi sebagai duta dakwah hendaklah diberi latihan, disediakan peluang untuk mereka belajar menguasai kemahiran komunikasi, kemahiran dakwah secara praktikal. Model ini boleh dikembangkan lagi. Insya ALlah, kajian-kajian yang dilakukan oleh YADIEM boleh dimanfaatkan.

b) Pengurusan bersistematik seperti ini akan membantu kerja-kerja dakwah secara giat dan berkesan. Kita boleh mensasarkan target KPI untuk membuat penilaian terhadap usaha-usaha kita.

c) Usaha-usaha dan gerakerja dakwah harus dilakukan secara terancang dan kita wajib menyampaikan walaupun satu ayat. Penyampaian dakwah secara berkesan melalui medium dan metode komunikasi berhikmah pasti akan menerbitkan keinsafan dan kesedaran. Sesuatu yang hak tetap akan terperlihara dan akan mengatasi kebatilan cuma perlukan usaha dan kesabaran.

Ini adalah pendapat dan cadangan yang ikhlas dengan harapan mendapat sedikit pertimbangan dan sokongan daripada semua pihak supaya usaha untuk memperkasakan saudara baru dipikul dan direalisasikan secara serius. Bukan sahaja kita dapat membanteras gejala murtad tetapi juga dapat menjadi senjata untuk menyebarluaskan syiar Islam di Negeri Sembilan khasnya. Cuba kita ambil atau tinjauan senario di Thaif di mana kesabaran dan wawasan jauh Nabi saw telah memperlihatkan bangkitnya generasi daripada peribumi Thaif sebagai pejuang Islam. Begitulah jika usaha dakwah dapat dijalankan dengan cemerlang dan teratur, generasi baru yang bakal menerajui negara adalah Umat Islam seluruhnya, Ameen, Moga diperkenan Allah swt...

Read more...

Memperkasakan Saudara Baru Sebagai Duta Dakwah

Monday, November 2, 2009

1. Memperkasakan umat Islam terutamanya saudara baru merupakan tanggungjawab utama komuniti Islam kita. Golongan Islam yang telah berjaya secara kerohanian, material dan psikologikal hendaklah melibatkan diri sebagai agen perubahan untuk mencetus ruang dan peluang untuk sekumpulan minoriti yang dhaif. Dhaif yang dimaksudkan ialah kedhaifan kerohanian yang melanda umat Islam terutama saudara baru yang sekali gus memberi kesan kepada status ekonomi.

2. Mereka yang berjaya hendaklah berganding bahu membantu mewujudkan persekitaran yang responsif supaya saudara baru boleh berubah. Perubahan ataupun anjakan perlu dicetuskan dengan program celik akal. Manusia secara umumnya boleh berubah jika ada perlu untuk berbuat demikian. Dengan bantuan dan usaha manusia boleh mempertingkatkan diri mereka untuk mencapai kesempurnaan dan kepuasan hidup.


3. Membawa celik akal, mewujudkan persekitaran positif, menjalankan langkah-langkah mengenal permasalahan, merancang strategi dan mencadangkan perubahan ataupun anjakan adalah tugas utama agensi yang memikul tanggungjawab untuk membela masa depan saudara baru.


4. Apabila kita dapat mengusahakan suatu pendekatan dan menghasilkan Model untuk menggerakkan anjakan pada diri saudara baru sudah tentu kita dapat memacu perubahan. Kita perlu mempunyai suatu model yang dinamik untuk mencetus perubahan.


5. Menerima Kembali Agama Islam, Mengenal Pasti Masalah dengan membuat saringan, merangka dan merancang intervensi, mewujudkan celik akal, mengadakan latihan-latihan pembinaan jati diri, memperkukuhkan keyakinan kendiri, pembinaan kasih sayang akan menghasilkan saudara baru yang berkualiti, berketrampilan dan beryakinan. Sumber-sumber ini dapat kita bina dan seterusnya menjadikan mereka duta perubahan ataupun duta dakwah untuk menghadapi masyarakat lain. Saudara baru harus diperkukuhkan dengan pembangunan kerohanian, pembangunan fizikal daripada semua sudut sebelum mereka dapat dijadikan duta untuk membawa Islam kepada masyarakat.


6. Usahlah memandang mereka dengan prejudis. Elakkan pertikaikan niat mereka. Walau apa sebabpun mereka memeluk agama Islam, pastinya hanya kerana sumber hidayah. Pertikaikan niat seseorang bukan penyelesaian masalah. Ada orang dapat iman dan Islam secara kebetulan kerana ibu bapa mereka beragama Islam manakala ada orang mendapat hidayah mungkin kerana faktor perkahwinan, ekonomi dan sebagainya. Siapalah kita untuk mempertikaikan niat keislaman seseorang.


7. Mereka yang bertanggungjawab hendaklah membangunkan suatu model yang komprehensif untuk menjadikan saudara baru yang terpilih untuk menjalani latihan perkaderan dakwah secara tersusun. Mereka yang terlatih hendaklah dibantu untuk menjalankan kerja-kerja dakwah secara terancang dan berstrategi.


8. Kita mempunyai peluang besar untuk memenangi hati-hati masyarakat bukan Islam andaikata kita dapat menggunakan duta yang ada secara berkesan. Mereka yang diletakkan di bahagian pengurusan kebajikan saudara baru hendaklah membantu menasihati saudara baru supaya menjalin semula hubungan baik dengan keluarga asal dengan mempamerkan perubahan diri supaya dapat memancing jiwa-jiwa bukan Islam yang dahagakan titisan kasih Tuhan.


9. Jika kita melihat saudara baru lemah, tidak berkualiti ianya adalah berpunca daripada pemimpin organisasi itu sendiri. Kita perlu menyemak sejauhmana usaha-usaha yang kita telah lakukan untuk melahirkan komuniti saudara baru yang berdaya saing. Kita perlu membuat kajian, semakan dan penilaian program-program kita dengan mengajak bersama-sama semua pertubuhan bukan kerajaan yang ada agar usaha dakwah dapat dilakukan secara holistik. Pemimpin hendaklah berusaha menyatupadukan kesemua tenaga yang ada secara seragam dan bersepadu.

10. Saya begitu yakin dan percaya bahawa rakan-rakan seagama kita boleh mengetepikan perbezaan di antara mereka demi agama semata-mata. Matlamat perjuangan kita ialah agama Islam dan Allah swt semata-mata.


11. Perjuangkan saudara baru, perjuangkan komuniti lemah dan tidak berdaya saing hanya semata-mata kerana tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk mengubah diri. Perjuangkan suatu perkhidmatan untuk mencapai rasa kehambaan kepada Tuhan. Pergunakan semua sumber yang ada untuk membela mereka yang miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim piatu, perangi kejahilan dengan sopan dan santun tetapi tegas. Berani mencuba untuk mencadangkan pembelaan.


12. Kita harus mempunyai standard perkhidmatan untuk menentukan sumbangan kita kepada masyarakat. Pencapaian hendaklah boleh diukur secara realistik. Kita juga hendaklah berlapang dada untuk menerima teguran dan . sabar menjalankan perubahan. Kita tidak boleh selesa untuk seterusnya berada di dalam takuk lama, dibuai mimpi senantiasa.


13. Kita harus bangun, berusaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran. Berusaha untuk berubah, mengambil peluang di atas sifat Maha Kaya Allah swt. Kalau ada kezaliman dan penindasan harus diberikan pembelaan secara berhemah dan berhikmah. Mempertidakkan keEsaan Allah swt adalah suatu kezaliman. Namun bagaimana usaha kita untuk menyampaikannya secara berhemah dan berhikmah ?

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS