BERHENTI ATAU DIBERHENTIKAN

Tuesday, January 27, 2009

Umum kini sedang merasai bahana ketidakstabilan ekonomi. Pelbagai rungutan dan keluh kisah didengari, disuarakan dan menantikan simpati dan belas kasihan. Senario pekerja diberhentikan kerja dan berhenti kerja adalah antara khabar-khabar menikam kalbu. Diberhentikan kerja atau berhenti kerja bererti hilang mata pencarian, tertutup sumber pendapatan sesuatu yang menjadi mimpi ngeri manusia kini.
Menatap wajah-wajah anak-anak, ibu bapa dan sahabat handai seterusnya beban tanggungan kehidupan bakal mencetuskan stres. Bagi yang bergantung hidup dengan mengetepikan peranan Allah swt, hidup bagaikan malapetaka besar. Mereka gagal melihat hikmah Allah swt dalam setiap gerakan dan susun aturnya mentadbir alam semesta dan isi kandungnya. Dalam setiap kejadian dan perbuatanNya, pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
Memahami dan menghayati kasih sayang Allah swt kepada makhluknya sudah pasti tidak perlu ditangisi keadaan diri kita. Bagi yang dapat meletakkan Allah swt sebagai sumber kehidupan, merasakan kehadiran Tuhan, peranan dan fungsinya sudah pasti redha dan syukur atas apapun yang berlaku kepada diri kita. Penyerahan total begini dengan taaruf yang jelas dan yakin terhadap Tuan Punya Alam ini sudah pasti kita tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Hanya kita sentiasa alpa dan lupa kepada Tuhan, tidak sekali-kali Tuhan melupakan kita. Dengan kasih sayangNya, kita dipanggil kembali untuk meletakkan diri dan hati kita pada paras hamba yang sebenar-benar hamba. Fitrah manusia sering lupa dan perlu diperingatkan. Musibah,bencana, malapetaka adalah tarbiah Allah swt kepada hamba-hambaNya supaya beringat bahawa masa semakin sedikit yang tinggal, detik waktu berlalu meninggalkan kita, sebelum tibanya waktu dan saat untuk meninggalkan dunia ini, adakah kita sudah benar-benar bersedia untuk menghadapinya....

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS