Makin Hampir Ke Penamat...

Thursday, September 17, 2009

1. Gema takbir pada penghabisan Ramadhan tahun ini adalah tanda berakhirnya perintah berpuasa sebulan Ramadhan. Tentunya kegembiraan akan meliputi alam maya. Sewaktu seluruh isi alam menangisi pemergian Ramadhan, kita akan menyambut munculnya fajar Syawal dengan seribu satu cara yang kita sedia maklum. Akhirnya Ramadhan kali ini adalah tanda akhirnya hidup kita pada tahun ini. Kalau mengalir air mata menjadi danau sekalipun kita tidak akan ketemu lagi. Ramadhan telah dan akan hampir luput tetapi seperti mana petani yang berbudi pada tanah, akan tiba masanya untuk kita menunai hasilnya di akhirat nanti. Kalau padi yang ditanam maka padi lah hasilnya. Tapi kalau lalang yang dibaja tentulah lalang yang dituai. Kusangka padi, rupanya lalang ! Sungguh aku tertipu dengan permainan dan cita-cita dunia. Pastinya kita makin hampir menuju liang lahat ! Sungguh pasti, yang lain belum pasti lagi. Hanya akan berlaku jika Allah swt Berkehendak ( Insya Allah ).
2. Budaya kita budaya istimewa. Hidup bersama-sama dengan rukun dan damai. Lazimnya kita akan mengadakan rumah terbuka untuk sanak saudara dan sahabat handai. Pada kesempatan ini juga kita akan berjumpa dengan kaum keluarga. Ambilkan kesempatan ini untuk memohon maaf dan memaaf. Jadilah orang-orang yang cemerlang dengan memiliki jiwa yang besar kerana sudi memaafkan orang andaipun orang tersebut tidak memulakan permohonan maaf. Hasilnya adalah untuk kita. Kita akan mempunyai hati yang tenang dan tenteram. Jiwa kita tidak akan menderita. Kita akan bebas daripada pemikiran yang merosak. Kita akan melalui hidup yang bahagia dan gembira. Kita akan terhindar daripada hasad dengki dan dendam. Apabila kita tidak akan memiliki dendam maka hati kita akan menjadi suci bersih. Milikilah hati yang suci bersih, murnikanlah minda dan tambatlah nafsu. Nafsu ini bagaikan keldai liar, kalau tak tambat nanti dia melilau.
3. Budaya kita juga amat menggalakkan ziarah makam ataupun pusara orang-orang yang signifikan dalam hidup kita. Mereka sudah mendahului kita manakala kita akan menyusuri mereka. Itulah tanda dan bukti bahawa setiap yang hidup pasti akan mati dan menemui ajal. Inilah ketentuan Allah swt pada setiap yang hidup. Setiap yang hidup pasti akan mati dan setiap yang mati pasti akan dibangkitkan semula untuk diadili. Perbicaraan yang tiada korupsi, tiada bias ( kecondongan memihak ), diadili oleh Rob kita yang sebenarnya sudah pun mengetahui permulaan dan kesudahannya. Cuma menunjukkan zatNya yang adil dan saksama kerana amat memahami manusia itu sudah berbolak balik terutama apabila tertekan ! Tidak akan mampu lidah berkata. Di waktu rahsia terbongkar, catatan amal diteluskan maka gugurlah daging di muka tanda malu dengan perangai dan perbuatan kita. Di hadapan Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang berdirilah kita mendengarkan catatan amal kita diumumkan. Kita juga akan mendengar dakwaan dan tuntutan ahli keluarga kita yang mendakwa kita telah mencuaikan tanggungjawab kita terhadap mereka, kita akan mendengar isteri yang kita kasihi di dunia dulu mempertikaikan kita, belum lagi peranan kita sebagai guru jika kita guru, peranan kita sebagai ustaz kalau kita ustaz, peranan sebagai pemimpin lagi pilu - satu kaki dah pasti dalam neraka lagi, peranan sebagai rakan kongsi perniagaan, peranan sebagai isteri, suami, anak, pelajar, pengguna, pembeli, petani, pedagang, polis, tentera dan macam-macam lagi. Namun penyelesaiannya ialah TAUBAT SUNGGUH-SUNGGUH, Insya Allah, Tuhan akan kabulkan kerana kita adalah insan yang lemah lagi banyak dosa. Tapi jangan berangan-angan bahawa Tuhan begitu mudah untuk memaafkan kita. Iman kita mesti antara takut dengan harap. Takut-takut tak diterima, harap-harap diterima.
Akhir sekali, YKSNS merakamkan ucapan Selamat Hari Raya dan Maaf di atas semua kesilapan kami sepanjang kami berurusan dengan tuan/puan. Untuk makluman setakat jam 10.00 pagi 17hb. Sept 2009 seramai 100 orang sudahpun mendaftar untuk mengambil bahagian dalam Program Perkampungan Saudara Kita D Ambang Syawal YKSNS 2009. Terima kasih kepada semua pihak yang memiliki hati nurani untuk membantu kami menjadi organisasi yang prihatin terhadap kepentingan ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS