Aspirasi YAB Dato MB Negeri Sembilan
Tuesday, December 1, 2009
1. Bagaikan sekelip mata 2009 bakal melabuhkan tirainya. Terasa begitu cepat sekali masa berlalu. Dalam tempoh waktu tersebut berbagai-bagai peristiwa telah berlaku dan berlalu meninggalkan kita sebagai sempadan dan teladan. Usia YKSNS juga sudah bakal menjangkau 7 tahun.
2. Menjelang berakhirnya tahun 2009, kita perlu membuat semakan dan penilaian terhadap semua hasil kerja kita supaya dapat dibuat penilaian yang sewajarnya. Penilaian ini akan menjadi kayu pengukur di atas kejayaan usaha-usaha kita selama ini.
3. Beberapa perkara untuk dijadikan pedoman dan panduan kepada kita adalah dipetik daripada pesanan YAB Dato Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan tempoh hari ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Bil. 4/2009 bertarikh 30hb. November 2009 untuk dijadikan peringatan kita bagi menghadapi Tahun 2010.
4. Di antara pesanan beliau ialah:-
a) Beliau meminta kita supaya merancang segala kerja kita dan meletakkan matlamat dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Bahawa dengan adanya matlamat kita dapat menjalankan gerakerja yang serius dan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat. Matlamat dalam perancangan kita akan memandu kita untuk melakukan gerakerja yang khusus dan berfokus. Beliau menasihatkan supaya semua pihak yang terlibat seperti agensi-agensi agama dan Pertubuhan Bukan Kerajaan dalam gerakerja untuk memastikan syiar Islam bersinar merancang kerja mereka dengan meletakkan matlamat cemerlang dalam semua perkara. Kecemerlangan adalah suatu matlamat untuk menggerakkan proses bagi memastikan kita menjadi terbaik. Untuk itu memerlukan tindakan pemerkasaan jentera pentadbiran, pengurusan yang telus dan cemerlang melibatkan masjid-masjid di Negeri Sembilan, Kelas Agama Petang dan Dakwah.
b) Dalam bidang dakwah, menurut beliau usaha hendaklah dilakukan bukan sahaja untuk berdakwah untuk menerima Islam tetapi juga usaha-usaha untuk mengislahkan mereka yang sudah pun Islam dengan ilmu pengetahuan dan amalan Islam. Kita perlu menyediakan pletform ( tapak ) yang sesuai supaya usaha mendekatkan manusia kepada agama memberi kesan kepada masyarakat.
c) Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Baitul Mal yang telah menerima pengikhtirafan 4 bintang kerana mempunyai pengurusan yang terbaik. Ini membuktikan bahawa apabila sesuatu kerja dibuat dengan menetapkan matlamat bakal memberikan hasil kerja yang bermutu tinggi. Beliau meminta semua agensi supaya bersiap sedia untuk menghadapi tahun 2010 ke arah suatu pentadbiran yang cemerlang. Semua pihak hendaklah bekerja berganding bahu supaya syiar Islam bersinar gemilang. Kita perlu membuang prasangka sesama kita yang bakal merosakkan diri kita, tegasnya.
d) Mengulas pandangan seorang ahli mesyuarat mengenai ketidakfahaman dalam agama, beliau mengharapkan supaya diperbuat pendetailan perancangan dan mengadakan brainstorming bagi menghasilkan strategik planing untuk 3 dan 5 tahun.
e) Beliau turut menyarankan usaha-usaha untuk mendekati belia remaja sebagai persediaan pemimpin pelapis negara.
f) Akhir sekali YAB Menteri Besar berpesan supaya Masjid dapat berfungsi sebagai Pusat Komuniti sebagai penjana di peringkat akar umbi. Masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadah tetapi juga sebagai penyambung kepada pentadbiran agama. Peranan ini amat berkesan memandangkan masjid yang berada di setiap kariah merupakan unit yang paling hampir dengan masyarakat. Kalau masjid dapat dibangunkan sebagai pusat komuniti dapat melahirkan masjid mesra masyarakat, belia yang hati dapat berpaut pada masjid.
Saya percaya bahawa kalau masjid dapat ditadbir secara formal dan teratur pentadbiran agama akan berjalan lancar dan baik. Masjid hendaklah dijadikan tempat muhasabah diri bukan medan bertempur.
Marilah kita berdoa agar cetusan hati ini memperolehi keredaan Allah swt dan dapat direalisasikan demi memperkasakan agama.
Ameennn....
0 comments:
Post a Comment