Caj Perkhidmatan Guaman

Thursday, December 3, 2009

1. Undang-undang merupakan dokumen tertinggi sesebuah Negara yang menentukan hak atau status serta kedudukan seseorang warganegara di Malaysia. Dokumen perundangan ini menentukan kewujudan, bidang kuasa, penguatkuasaan dan sebagainya bagi memerlihara, melindung dan menentukan hak setiap daripada kita. Hak-hak kita sebagai seorang warganegara dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

2. Sekilas itu, perkhidmatan guaman menjadi penting kepada setiap daripada kita. Mahu tidak mahu setiap daripada kita terikat kepada undang-undang dan memerlukan perkhidmatan perundangan daripada pengamal undang-undang yang bertauliah, profesional dan beretika. Mereka sudah tentu mempunyai institusi yang menjaga etika supaya khidmat guaman berada dalam martabat yang selayaknya seperti yang diikhtiraf oleh perundangan negara kita.

3. Orang awam mengikhtiraf mereka dan senantiasa mengharapkan pertolongan dan pandangan termasuk perkhidmatan dalam pelbagai bidang kehidupan hari seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. Kalau kita ingin melihat peranan mereka kepada kita cuba bayangkan bahawa tanpa perkhidmatan profesional peguam hak kita sukar untuk dipertahankan, contohnya dalam soal jual beli rumah atau tanah, pewarisan harta, pinjaman perumahan dan kenderaan, pembelaan kes-kes jenayah, perakuan dan pendaftaran kahwin dan cerai. Kita boleh menyenaraikan lebih banyak fungsi mereka yang meletakkan hubungan orang awam dengan peguam bagaikan aur dengan tebing.

4. Ramai pengamal perundangan negara kita begitu prihatin dan beretika menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka. Perkhidmatan dan sumbangan mereka sewajarnya mendapat penghargaan dan perikhtirafan. Namun begitu terdapat beberapa kes terpencil yang jika tidak diberi perhatian oleh mereka yang bertanggungjawab untuk menjaga imej dirisaukan bakal tercemar terutama apabila melibatkan isu-isu mereka mengambil kesempatan dengan mengenakan caj-caj luar biasa, tak masuk akal dan 'gilo' untuk perkhidmatan tatacara biasa yang boleh dilakukan secara exparte tetapi kerana kejahilan orang awam sehingga terdapat ' pihak-pihak tertentu ' mengenakan bayaran berjumlah RM 25,000.00 untuk mendapatkan hak penjagaan anak sebelah pihak di Mahkamah Syariah.

5. Terdapat juga pihak-pihak yang mengenakan bayaran RM 3,000.00 untuk menguruskan Kes Permohonan Murtad di Mahkamah Syariah. Maklumat ini diperolehi daripada pemohon-pemohon perisytiharan murtad yang mengatakan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu menjanjikan urusan murtad boleh diselesaikan dengan bayaran tertentu. Sudah tentu perkara ini menimbulkan tanda tanya.

6. Untuk mengatasi masalah ini dan memperkasakan imej amalan khidmat guaman saya menyaran sudilah kiranya fees atau caj yang dikenakan bagi perkhidmatan-perkhidmatan tertentu diselaraskan dan dipamerkan secara jelas bagi membolehkan orang awam yang tidak berkemampuan terbela, terpelihara dan tidak terperangkap.

7. Saya yakin dan percaya bahawa ramai pengamal undang-undang yang berjiwa murni dan mempunyai hati yang suci dan bersih untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai.

8. Sebagai Pengerusi MAIM Negeri Sembilan, saya menyambut baik penyertaan ramai peguam-peguam yang terlibat dalam usaha-usaha untuk memartabatkan agama Islam di Negara kita terutama dalam isu-isu yang melibatkan saudara baru. Saya berharap pihak berkaitan mengambil kira isu ini dan membantu kami yang jahil diberi khidmat dan caj yang berpatutan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS