Nama
Saturday, January 23, 2010
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Manusia dan Nama amat sinonim sekali. Bagai aur dengan tebing. Saling tidak dapat dipisahkan. Apabila merujuk kepada seseorang, yang pertama kali disebut adalah nama. Nama amat penting. Nama adalah halwa telinga runtunan jiwa setiap daripada kita. Kita menunggu-nunggu nama kita disebut. Kita mempunyai perasaan gembira apabila nama kita diingati orang. Apabila ada sahaja orang besar mengingati nama kita dan memanggil nama kita, kita akan berasa hebat kerana ada orang berpengaruh mengingati nama kita menandakan kita ini hebat dan penting.
Pasangan suami isteri yang baru memperolehi anak, sibuk mencari nama. Ada antara mereka telah lama berangan-angan dan mempunyai impian untuk memberi nama kepada bakal anak mereka. Sibuklah pula mereka merujuk kitab-kitab, rujuk orang tua-tua untuk menamakan bakal anak mereka dengan nama yang sesuai dan penuh makna. Harapan mereka adalah untuk memberi makna kepada hidup anak mereka moga-moga nama anak mereka menjadi doa dan mewarnai kehidupan peribadi anak mereka.
Apabila anak-anak melangkah ke alam remaja, anak-anak berkat asuhan cemerlang ibu bapa dan penjaga mencipta nama untuk diri, keluarga dan sekolah mereka. Anak-anak yang membawa pencapaian tinggi dan peribadi mulia menciptakan nama kepada keluarga mereka. Ibu bapanya bangga dan mendapat nama dan tempat dalam masyarakat.
Untuk memuliakan kewujudan dan penciptaan manusia, agama menyarankan supaya memberi nama yang baik-baik supaya sesuai dengan nama mereka menjadi insan ternama dan tergolong dalam golongan terbilang di kalangan yang terbaik. Malahan ada pula upacara memberi nama selain daripada bertahnik menjadi budaya warisan menuruti contoh ikutan Nabi Rasulullah Muhammad saw sebaik-baik nama di muka bumi ini.
Kata perbilangan bangsa melayu yang mencipta nama sebagai bangsa berakhlak mulia dan berbudi bahasa tinggi menukilkan kata berikut supaya menjadi ikutan generasi pemangkin bangsa. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama ! Apabila manusia ingin dijadikan contoh ikutan maka disebut nama di khalayak ramai.
Manusia tidak mungkin hidup menongkah langit, namun sementara hidup perlu menjaga nama baik keluarga, bangsa dan agama supaya dibanggakan nama bangsanya sebagai bangsa bermaruah dan berharga diri tinggi.
Negara kita Malaysia mencipta nama di arena persada dunia. Pemimpin-pemimpin ulung kita seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mencipta nama sebagai bapa kemerdekaan, Tun Abdul Razak sebagai Bapa Pembangunan tidak ketinggalan juga Tun Dr Mahathir Mohammad yang dicintai telah meletakkan nama MALAYSIA di peta dunia daripada sekian lama tersorok menjadi terserlah namanya Negara tercinta bumi tumpah darahku Malaysia.
Tokoh-tokoh ternama, ahli-ahli politik, ulama mahupun ular dalam semak juga mencipta nama yang selayak bagi mereka.
Apabila anak-anak melangkah ke alam dewasa mereka dikenali dengan penglibatan mereka dalam pelbagai peranan dalam masyarakat mahupun dunia pekerjaan. Mereka menjadi ternama dan tersohor di seluruh pelosok tanah air dengan pencapaian dan sumbangan mereka. Nama mereka menjadi tidak asing lagi dan membasahi bibir setiap daripada kita yang tahu menghargai sumbangan orang lain tanpa prasangka atau hasad dengki dan dendam kesumat.
Dalam masyarakat kita apabila seseorang itu mendapat kejayaan yang ditanya oleh kebanyakan orang ialah anak siapa tu? Sejuk perut ibunya yang mengandungkan si polan si polan tu. Sekali lagi nama juga menjadi sebutan orang. Masyarakat memberi pengikhtirafan seseorang adalah dengan menyebut namanya.
Suatu peristiwa, Malaikat turun berjumpa dengan Rasulullah saw bertanyakan adakah penduduk bumi tidak bersolat subuh pagi ini. Malaikat menurut riwayat itu pelik mengapa pada hari ini azan tidak kedengaran sampai ke langit seperti mana saban hari. Rupanya yang azan pada pagi itu bukan Bilal tetapi seseorang yang ingin namanya menandingi nama Bilal dengan kemerduan suaranya. Keikhlasan Bilal mendapat nama di sisi Allah swt sehingga nama kelak abadi hingga ke hari ini. Asal ada sahaja yang ingin melaungkan azan dipanggil namanya dengan nama bilal. Betapa pentingnya mencari nama di sisi Allah swt. Bilal mendapat nama dan mewariskan namanya sampai bila-bila. Adakah bilal mendapat nama atau mencari nama ?
Sahabat telah mencari nama yang manusia diredhai di sisi Allah swt. Mereka reda dan Aku pun reda akan mereka. Sahabat telah mencipta nama dalam tamadun Islam seantero pelosok dunia. Sahabat telah meletakkan Islam sebagai nama yang mulia dan suci di muka bumi ini.
Apa ada pada nama,
Siapa cakap tak penting,
Carilah nama yang baik-baik,
Jadikan nama sebagai doa dalam kehidupan,
Usahakan nama menjadi contoh ikutan terbaik,
Supaya disegani kawan ataupun lawan !
Nama dan diri tidak dapat dipisahkan sama sekali.
Wahai manusia yang namanya ialah Hasad Dengki
Sebutlah nama Allah yang Esa
Supaya hati menjadi tenang
Sebutlah Nama Allah yang suci
Supaya bersih sifat kejimu
Allah swt menyebut NamaNya
sebagai satu kemuliaan
sebagai satu pengabdian
Wahai Hamba kepada NamaNya yang Esa
buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih
Allah swt senantiasa menyebut NamaNya apabila memulakan firmanNya. Marilah kita mencari nama di sisinya semoga meliputi kemuliaan dan keredhaanNya atas nama kita bagi setiap sesuatu yang kita persembahkan untuk menagih keredhaanNya.
0 comments:
Post a Comment