Memantapkan Pentadbiran, Melonjakkan Prestasi
Monday, February 8, 2010
1. Agensi Kerajaan di Negeri Sembilan disarankan supaya berusaha gigih untuk memantapkan pentadbiran dan melonjakkan prestasi. Pandangan ini disuarakan oleh YAB Dato Seri Utama Haji Mohammad bin Haji Hasan dalam suatu perjumpaan bersama agensi kerajaan.
2. YAB Dato Seri Utama Haji Mohammad bin Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menekankan perlunya agensi kerajaan mempunyai hubungan baik dan menjadi pelbagai NGO di Negeri Sembilan sebagai rakan kerja sukarela mereka. Sudah tentu penubuhan NGO mempunyai aspirasi tertentu dan adalah menjadi tugas agensi kerajaan untuk mempermudahkan usaha NGO-NGO berkenaan.
3. Bertepatan dengan saranan tersebut, Pertubuhan Gabungan Persatuan-persatuan Dakwah Negeri Sembilan menyambut baik hasrat tersebut dan mengharapkan agensi kerajaan akan melaksanakan saranan tersebut pada kadar yang segera. Terdapat banyak NGO yang aktif di Negeri Sembilan dan kehadiran mereka hendaklah dilihat sebagai pelengkap bukan pesaing kita dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan agama.
4. Bagi pihak seluruh NGO yang bernaung di bawah Pertubuhan Gabungan Persatuan-persatuan Dakwah Negeri Sembilan, kami mengalu-alukan saranan dan hasrat tersebut dan sudah tentu menjadi harapan dan impian kami. Pergerakan pertubuhan bukan kerajaan seperti kami memerlukan sokongan dan dukungan padu daripada pihak kerajaan bagi memastikan usaha menjalin hubungan dua hala dengan kerajaan dan akar umbi berjalan baik.
5. Namun persoalannya ialah adakah saranan ini juga pandangan pihak-pihak berkaitan masih menjadi tanda soal. Dalam melihat senario ini ada pihak melihat kehadiran NGO sebagai usaha murni pihak-pihak tertentu untuk memperjuangkan visi dan misi penubuhan mereka. Terdapat juga pihak yang memandang sinis kehadiran aktivis. Apa yang menyedihkan kita ialah terdapatnya segelintir pihak yang melihat kehadiran NGO sebagai pesaing mereka dan lebih buruk lagi apabila ada yang berani mendakwa kehadiran NGO yang aktif seolah-olah ingin mengambil alih peranan mereka. Mengapa pula terjadi 'pengambilalihan' yang dimaksudkan sekiranya kita menjalankan tugas dengan cekap.
6. Pandangan ini amat mengecewakan. Semangat yang ada hanya kerana menuntut keredhaan Allah swt. Sudahlah puak-puak ini tidak pernah bertanya khabar malahan tanpa segan silu melemparkan fitnah dan tuduhan.
7. Pandangan pihak-pihak ini sangat berbeza dengan saranan pemimpin kita. Apapun diperkatakan saya melihat adanya usaha dan niat murni pemimpin untuk memperjuangkan kerjasama baik dengan NGO tetapi saya tidak pasti sejauhmana ianya seiring dengan pihak berkaitan
8. Adakah pihak-pihak ini melihat NGO membantu mereka ataupun menyusahkan mereka ?
0 comments:
Post a Comment