PROGRAM BELI DAN HIBAH/WAKAF
Sunday, February 21, 2010
Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan telah mencapai usia 7 tahun pada 2010. Berkat rahmat dan limpahan kurnia Allah swt, kami dapat bersama-sama arus perkembangan dakwah di Negeri Sembilan terutamanya apabila memperkatakan tentang memenuhi keperluan mereka yang memerlukan. Selain daripada menyediakan rumah pelindungan untuk saudara baru, ibu tunggal, anak yatim, ibu hamil tanpa nikah, kami juga melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah teruamanya melibatkan masyarakat bukan Islam di Negeri Sembilan.
2. Bagi memenuhi keperluan semasa terutama untuk memakmurkan Masjid Tok Muar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kami telah mengambil kata sepakat untuk membeli sebuah rumah di Taman Cemerlang, Kuala Pilah yakni berhadapan dengan Masjid tertua di Kuala Pilah itu.
3. Sayugianya kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah swt dengan izin dan limpah perkenannya, masjid tersebut berjaya dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan terutama solat 5 waktu. Selain itu, masjid tersebut juga berfungsi sebagai Pusat Latihan dan Bimbingan Saudara Baru. Masjid Tok Muar juga dijadikan pusat aktiviti utama dan ikon YKSNS.
4. Bagi tujuan memperkasakan perjalanan program dan aktiviti kami amat bersyukur kepada Allah swt di atas kehendaknya kami mendapat bantuan dan pertolongan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan terutama membantu kami membiayai program dan aktiviti.
5. Sebagai melanjutkan sumbangan dan perkhidmatan, YKSNS ingin memanjatkan doa ke hadrat Allah swt supaya membuka ruang dan peluang supaya usaha Program Beli dan Hibah/Wakaf ini dapat menarik keprihatinan kita supaya turut menginfaqkan sebahagian kecil rezeki Allah swt supaya bermanfaat untuk memperkasakan keperluan organisasi tidak bermotifkan keuntungan ini.
6. Dalam program ini, setiap daripada kita yang berminat tanpa paksaan ataupun rasa terpaksa hendaklah memasuki persetujuan untuk membeli satu kaki persegi tanah dengan nilaian RM 143.85 dan diakadkan untuk diserah wakaf/hibah kepada Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan. Kami akan mengadakan Majlis Akad Beli dan Serah sempena Malam Nur Inspirasi YKS 2010 yang akan diadakan sebelum bulan puasa tahun ini.
7. Marilah kita memohon hidayah Allah swt untuk melihat daripada dimensi amal jariah bahawa keprihatinan ini bakal mendapat rahmat Allah swt di hari kemudian. Kami dapat melihat hasrat untuk beramal jariah yang di dada sanubari tuan/puan. Kami nantikan panggilan keemasan tuan/puan. Semoga bersama merealisasikan wawasan dan harapan. Hubungi kami : maayks@gmail.com
0 comments:
Post a Comment