Pengupayaan Diri Komuniti Saudara Baru

Tuesday, March 16, 2010

1. 'Saudara baru ataupun muallaf' adalah istilah yang disinonimkan dengan komuniti yang terjinak hatinya untuk kembali kepada Islam (revert) di Malaysia. Terdapat jua beberapa pihak yang kurang senang dengan istilah ini lalu diciptakan dengan istilah saudara kita. Menurut mereka istilah saudara kita boleh membentuk persepsi penerimaan tanpa syarat terdapat komuniti baru ini.

2. Kebanyakan mereka yang kembali kepada Islam mungkin mempunyai pelbagai sebab dan tujuan. Siapalah kita untuk mempersoalkan ataupun mempertikaikannya. Bukan itu pun perbincangan kita. Melihat kepada statistik mentah jumlah mereka yang kembali ke Islam, kita akan dapati purata 200 hingga 300 orang kembali kepada Islam setiap tahun di Negeri Sembilan dan rata-ratanya terdiri daripada kaum orang Asli dan kaum orang India pada kedudukan tangga teratas dan diikuti dengan kaum Cina.

3. Mengapa mereka kembali kepada Islam ? Apa yang mendorong mereka bertindak begitu ? Adakah disebabkan faktor hidayah, ataupun faktor perkahwinan ? Mungkinkah ada sebab-sebab lain ? Soal Ekonomi dan Kebajikan ? Atau adakah mereka beranggapan bahawa Islam dan orang Islam adalah penyelamat kehidupan dunia dan akhirat mereka ? Mungkinkah mereka menaruh harapan mencontohi akhlak orang Islam dan mengharapkan mereka akan membela nasib hidup puak yang sebelumnya jahil dan tidak ketentuan dalam mengabdikan diri kepada Tuhan yang hak?

4. Tapi yang pasti ialah bukan kerana usaha dakwah yang terancang dan bersepadu oleh mana-mana agensi ataupun NGO. Kerana kebanyakan agensi dan ngo sibuk dengan urusan hidup ' survival ' mereka. Kalaupun ada penumpuan dakwah adalah dalam bidang mempertahankan diri, membela kebajikan dan kemiskinan, pendektan fire fighting - bila apa masalah kelam kelibut, sibuk buat press statement, demo sana demo sini, kemudian balik ke reban lentok...Sementara menunggu satu lagi isu meletup. Manakala 'musuh yang sayang' pula menggerakkan usaha yang bersungguh-sungguh, tak tidur malam, masuk ke ceruk rantau mengharungi onak dan duri, bersengkang mata memperjuangkan dakyah mereka. Musuh yang sayang ini juga mempunyai cita-cita untuk menyelamatkan manusia seluruhnya.

5. Bukanlah kita menafikan sumbangan berharga agensi dan ngo dalam memperjuangkan kebajikan namun usaha ini perlu dibahagi-bahagikan. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Maksud saya, manakala ada NGO yang menumpukan perhatian untuk memikul usaha pembasmian kemiskinan, peningkatan taraf hidup sosio ekonomi masyarakat Islam, perlu ada pihak yang menyusun dan menggerakkan strategi berdakwah kepada masyarakat belum Islam. Insya Allah mereka yang belum Islam bakal terbuka hatinya untuk kembali ke agama asal datuk nenek moyang mereka iaitu Islam.

6. Kalau statistik mentah menunjukkan 200 - 300 orang kembali ke agama Islam setiap tahun, bayangkan kalau usaha dakwah dilakukan secara menyeluruh oleh setiap orang Islam. Setiap orang Islam tidak kira aktivis ataupun tidak bertanggungjawab dan berkewajipan untuk menjadikan dirinya alat dakwah bersandarkan kualiti dirinya sendiri.

7. Saudara-saudara yang dihormati, kita perlu rancangkan program peningkatan pengupayaan diri saudara baru. Mereka hendaklah ditranformasikan daripada persepsi liabiliti kepada sumber aset. Mereka perlu dibangunkan sebagai duta dakwah. Kalau nak tunggu orang lahir Islam untuk menyampaikan mesej dakwah mungkin kucing perlu bertanduk maka latihlah saudara baru sebagai pendakwah, saring dan hantarlah anak-anak saudara baru untuk dilatih, diberi ilmu dan kemahiran dakwah, disediakan dengan penguasaan al quran dan sebagainya. Kalau kita dapat membangunkan orang yang secara sukarela memeluk Islam, kita dapat jadikan mereka duta untuk menyampaikan Islam dalam masyarakat mereka.

8. Mungkin timbul persoalan, adakah mereka yang kembali kepada Islam, orang yang benar-benar berkualiti ?

9. Ingat, manusia adalah sesempurna kejadian, tidak perlu disyarahkan sebab ramai yang lebih pakar lagi. Tapi praktikalnya apa? Berpeluk tubuh dan saling menuding jari atau membuat tindakan pembetulan. Jika ibu bapa mereka dipersepsikan kurang kualiti, saring dan kumpulkan anak-anak mereka. Mari kita jadikan tindakan Nabi saw di Thaif yang melihat jauh ke hadapan harapan dan impian melihat kemungkinan generasi seterusnya untuk mendapat petunjuk dan hidayah Allah. Sekali lagi bukan bertujuan mengajar itik berenang...

10. Dalam kesibukan kita di atas pentas dunia, jangan terlupa hak dan tanggungjawab untuk membela dan memartabatkan mereka yang kembali kepada Islam. Bukan mohon keistimewaan tetapi peluang dan harapan...

11. Kita perlu membuka minda untuk menerima pilihan baru yang ada. Kalau kita gagal menghidu peluang yang ada takut-takut yang didakap tercicir, dikejar entah ke mana, kembali kita dengan putih mata menghadap Allah swt.

12. Persepsikan pemikiran baru, ubah kerangka kerja, hadapi hari muka dengan impian positif dengan doa usaha dan tawakal. Insya Allah kemenangan di sisi kita.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS