Thursday, June 24, 2010
Syaaban adalah Permulaan Kepada Perubahan
Mulakan hari ini
Mulakan dengan diri sendiri
Mulakan dengan yang kecil
Kita mengetahui segala kelemahan dan kekuatan diri kita. Senaraikan dan lakukan perubahan. Buang jauh-jauh sikap mencari salah atau aib orang lain. Mulakan dengan mencari dan mengenal pasti aib dan salah sendiri. Perbetulkan diri sendiri. Jadikan hari ini lebih baik daripada hari esok dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Tidak kiralah dalam apa jua bidang yang kita ceburi lakukan perubahan. Perubahan bermula pada hari, dengan diri sendiri, walaupun dengan perkara yang kecil. Yang penting ialah lakukan tindakan permulaan.
Utamakan kebajikan orang lain supaya kebajikan kita menjadi keutamaan. Prihatin pada diri orang lain supaya kita dapat syukuri nikmat yang kita miliki ataupun kecapi. Sayangi apa yang ada daripada menangisi apa yang tiada. Hargai mereka yang disamping kita supaya kita dihargai suatu waktu nanti. Sayangi apa yang ada di bumi, supaya kita disayangi oleh yang berada di langit.
Suka berbicara dan berfalsafah hanyalah mengundang masalah. Tanyalah pada diri sendiri pencapaian diri kita sebelum menilai dan memberi komen pencapaian orang lain. Kalau kita tidak dapat menjadi pemimpin yang berkualiti, jadi pengikut yang setia.
Kita mesti mengerti untuk membezakan antara teguran seorang yang ingin membina berbanding kritikan membunuh. Membina sesuatu organisasi, sesebuah keluarga, sesebuah masyarakat bukanlah mudah tetapi untuk meruntuhkannya pula tidak memerlukan masa yang panjang. Hanya dengan sekelip mata kita boleh memusnah sesuatu yang terbina begitu lama. Ramai orang mudah melihat cacat cela tetapi tidak ramai orang boleh melihat kehebatan yang tersembunyi.
Buktikan kemampuan diri dengan perbuatan dan hasil lebih daripada kata-kata yang hanya omongan kosong belaka. Biarlah apabila tiadanya kita, hasil tinggalan kita dimanfaatkan orang yang tinggal. Tidak ada apa yang kita akan bawa bersama apabila kita kembali menemui Tuhan melainkan amal jariah kita. Biarpun orang mencurigai apakah perjuangan kita, biarpun mereka hanya suka berburuk sangka, jauh di lubuk hati hanya kita dan Tuhan mengetahui hasrat kita. Kita tidak boleh patah semangat dengan kata-kata orang lain. Kata-kata nista orang perlu ditransfomasikan sebagai pemangkin kekuatan diri. Hati kita sangat mahal untuk dilukai dan melalui penderitaan dengan kata nista yang diluahkan oleh mereka yang tiada apa sumbangan pun. Paling kurang pun kita ada sesuatu untuk dikongsikan dengan orang lain. Mereka tiada apa untuk diketengahkan melalui sifat buruk sangka dan kata nista yang tinggi menggunung.
Kita suka bercakap dengann nafsu kita semata-mata. Bagi kita sesuatu kesusahan dianggap sebagai ujian daripada Tuhan, bagi musuh kita itu adalah bala yang menimpa kita. Bagi kita hasil yang diperolehi melalui titik peluh kita adalah rezeki dan rahmat daripada Tuhan bagi musuh kita, biarlah apa mereka berkata asalkan perjuangan kita hanya milik Allah swt.
Anak-anak muda...
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan dalam hendak diduga. Kata-kata ini jika terasa seperti menikam di lubuk kalbu maknanya kita salah mengerti apakah yang ingin disampaikan. Anak-anak muda perlu mendampingi orang tua-tua dengan hormat dan santun. Berbicara bukannya sekadar ucapan lidah yang dihiasi dengan ayat-ayat Quran dan Hukum hakam sahaja melainkan pembicaraan yang sahih ialah melalui perbuatan dan amalan. Memiliki makam yang sesuai untuk melahirkan teguran dan kritikan terbentuk melalui amalan hati dan cinta yang tinggi kepada Tuhan jua merupakan anugerah Allah swt kepada seseorang.
Teguran yang sekufu natijahnya perubahan dan keakraban perhubungan. Setiap daripada kita mempunyai sempadan yang harus dihormati. Manakal sempadan Tuhan meliputi segala-galanya tanpa sempadan. Akhirnya kembalilah kita kepada Tuan Punya Dunia ini.
Bekerja mesti ada hasil sebagai bukti. Kita bertanggungjawab untuk memberi penjelasan dengan segala apa yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Bersembunyi di sebalik orang tidak menyelesaikan masalah malahan bakal mengundang masalah. Menghadapi realiti dan lakukan perubahan.
Penghormatan tidak boleh diminta melainkan penghormatan diperolehi. Mengharapkan seseorang untuk menghormati kita adalah akhlak yang hodoh. Memberi hormat pula adalah kewajipan seseorang anak kepada ibu dan bapanya, seseorang pengikut kepada pemimpinnya, seseorang pekerja kepada majikannya. Lantang sekali suara orang menyebut majikan aku adalah Tuhan... tetapi hasil kerja yang dipamerkan hanyalah memalukan...
Menjadi Malu dengan TuhanNya....
0 comments:
Post a Comment