Penerimaan Tanpa Syarat
Friday, July 2, 2010
- Terima kasih saya ucapkan atas titisan ilmu yang disampaikan oleh Yg Bhg Dr Wan Abdul Kader bin Wan Ahmad dalam bicaranya sebagai Sarjana Tamu UKM pada 1 Julai 2010. Sesungguhnya ilmu dalam lautan luas ini memerlukan seorang guru jua untuk membolehkan kita menikmati kelazatannya.
- Setiap orang mempunyai pandangannya, manakala pandangan saya ialah mengenai pernyataan 'penerimaan tanpa syarat' yang boleh dilihat sebagai mutiara kata penuh makna.
- Penerimaan Tanpa Syarat merupakan kemuncak hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Penerimaan Tanpa Syarat adalah akhlak mulia junjungan kita Baginda Rasulullah saw. Kalau diperhalusi dan dinikmati kita akan dapati bahawa setiap amalan anak Adam pada tahap kemuncaknya ialah biarpun apa, segala tujuan dan maksud kehidupan kita hanyalah untuk sampai mencapai keredhaan Allah swt. Pengabdian kita, perkhidmatan kita, amalan kebajikan kita adalah semata-mata untuk mencapai redha Allah swt. Bukan kerana harapkan mendapat syurga, bukan kerana takut dilemparkan dalam neraka jahanam, bukan kerana pahala dan dosa, bukan takutkan murka Allah tetapi kerana Allah swt semata-mata. Maknanya walau aku dapat syurga, atau walau aku dicampak dalam neraka segala amalanku, niatku, tingkahlakuku, tutur bicaraku, pandang dengarku hanya semata-mata kerana DIA.
- Maka itu kita perlu guru untuk menunjukkan ajar, membimbing, menegur dan memimpin nafsu kita. Alangkan untuk memandu kita perlu guru, untuk berenang kita perlukan guru, untuk memanah kita perlu guru, untuk menunggang kuda kita perlu guru, untuk mengenal huruf kita perlukan guru, untuk membaca kita perlu guru, untuk segala-gala kita perlukan guru. Sudah tentu untuk mengenal Allah swt kita perlukan GURU.
- Siapa tiada berguru maka dia berguru dengan syaitan. Syaitan dirinya yang bergelumang dengan nafsu dan akal semata-mata. Punahlah hidup kita kalau hanya akal dan nafsu dijadikan sandaran dalam membuat keputusan dan tindakan. Belajarlah untuk mengawal nafsu dengan berguru. Berguru dengan guru yang sahih. Tanyalah pada Tuhan dengan solat istikharah.
- Selepas mendapat guru, patuhilah pimpinan dan ajarannya. Tanamkanlah sifat kami dengar, kami taat dan bukan kami dengar tapi kami tak taat. Berusahalah untuk menjadi anak murid yang terbaik. Jangan asyik mengaku kita ni anak murid si polan-si polan tetapi pastikan guru itu mengaku kita anak murid dia.
- Dampingi orang tua dengan sopan santun. Pengalaman mereka penting untuk kita kecapi dan nikmati. Usia kita tidak mencukupi untuk menimba ilmu yang banyak maka jadikanlah persahabatan kita dengan orang tua-tua untuk menimba ilmu daripada pelbagai bidang kehidupan. Ingat kita tidak punyai masa untuk blajar segala ilmu tetapi dengan mendampingi orang tua-tua kita mampu menggarap ilmu pengalaman hidup mereka.
- Banyak orang akan datang dan pergi dalam hidup kita. Dalam silih pergantian ini hanya sahabat yang bijak akan meninggalkan jejak dalam hatimu. Untuk berinteraksi dengan dirimu gunakan akal tetapi untuk berinteraksi dengan orang lain gunakan hatimu. Orang yang kehilangan wang akan kehilangan banyak, orang yang kehilangan teman akan kehilangan lebih banyak tetapi orang yang kehilangan keyakinan akan kehilangan segala-galanya.
- Tuhan menjamin akan memberikan makanan kepada segala makhluknya tetapi tidak akan melemparkan makanan dalam sarang atau rumah mereka melainkan mereka kena keluar mencari makanan maknanya kita mesti BERIKHTIAR.
- Terimalah orang tanpa syarat. Senyum dan sebarkanlah salam tanpa had dengan hatimu. Hairannya dalam membicarakan kehidupan rumah tangga melalui kisah-kisah yang saya dengar dalam sesi rundingcara mendapati penerimaan tanpa syarat terhadap pasangan kita hanya dalam waktu bercinta. Sebaliknya selepas bernikah mulalah kita mengenakan pelbagai terma dan syarat menyebabkan hubungan kita runcing. Dulu tak kisah biarlah apapun yang terjadi, aku nak hidup dengan dia gak.... Ini jodoh dunia akhiratku, ketentuan Tuhan katanya ! Tapi sekarang biarlah apa pun yang terjadi, aku tak ingin hidup dengan dia, naik muntah aku tengok mukanya... Aku nak dia jadi isteri yang baik, isteri yang baik untuk diriku sebagai suami dan ibu yang baik dalam mengasuh anak-anakku, apa jadah isteri ini masak pun tak reti!! Suami aku ni komplen je... asyik-asyik balik terbungkam je... bukan nak nolong pun...
- Dulu kata wahai adinda muka mu bagaikan bulan purnama, rasa tak sudah hidup ini kalau sejenak aku tidak menatapmu. Isteri kata wahai kekandaku sesungguhnya kalau ke lautan api pun aku akan turut sama. Sekarang, suami kata asyik-asyik muka dia,aku dah tak tahanlah nak tengok. Isteri kata kena sawan ke apa, asyik-asyik nak ikut dia jer.. Ini lah kisah kehidupan. Takutlah plak saya dengar dia orang bergaduh.
- Rendamkanlah hati dalam lautan zikir. Terbit konflik, uruslah menurut kehendak Allah swt. Terima lah takdir. Jadikanlah diri sebagai hamba yang sebenar-benar hamba.
0 comments:
Post a Comment