ORANG TUA, ORANG-ORANG TUA DAN ORANG TUA-TUA
Thursday, February 26, 2009
Orang tua, orang-orang tua dan orang tua-tua. Beberapa perkataan yang mempunyai maknanya yang tersendiri. Istilah-istilah ini biasa kita gunakan dalamkehidupan sehari-harian sehingga menjadi sesuatu yang lazim.
Atuk sudah tua,
orang tua saya,
kata orang tua-tua,
rumah orang-orang tua,
mungkin lebih jelas pengertiannya untuk difahami. Dari mana asal usul perkataan ini, perkataan tua berasal daripada bahasa sanskrit yang membawa maksud sudah masak, ranum, banyak pengalaman dan tempat menjadi rujukan. Apabila digunakan dalam bahasa Melayu dan diberi pula beberapa penambahan imbuhan memberi fungsi yang lebih jelas antaranya ketua dan pengetua. Tentulah seorang yang memegang jawatan ketua ataupun pengetua merupakan seseorang yang berwibawa, berkaliber, berpengalaman, tempat untuk orang membuat rujukan dan mendapatkan arahan, katanya dipatuhi, peribadinya menjadi contoh ikutan, akhlaknya cukup mulia sehingga tiada tandingannya.
Budaya kita senantiasa memuliakan yang tua dan menyayangi yang muda. Tua dan Muda tidak semestinya kerana batas usia. Usia seharusnya mematangkan seseorang tetapi tidak semestinya menjadikan seseorang matang. Muda mungkin dianggap mentah tetapi jangan lupa pepatah kecil-kecil cili api. Masing-masing dengan makamnya yang tersendiri.
Penghormatan kepada orang tua-tua sudah mendarah daging dalam jiwa orang Islam. Kita sedia maklum bagaimana Islam memberi garis panduan seni akhlak orang Islam menghadapi makam-makam orang yang dituakan seperti hubungan guru dengan murid, ibu bapa dengan anak-anak, anak-anak dengan ibu bapa, hubungan ulama dengan umarak, hubungan ketua dengan pengikut. Menghayati kisah sirah rasul dan sahabat cukup hebat dan mengharukan sehingga hati yang kering boleh bertukar menjadi ladang yang subur. Soal-soal ketaatan kepada pemimpin, selagi mana mereka berada di atas landasan perjuangan Islam selagi itu, kita wajib mentaatinya. Meninggalkan sahabat dalam medan perjuangan merupakan tindakan dayus dan perilaku orang tidak beriman. Kita harus malu dengan Tuhan, sudahlah kita tidak berjuang malahan kita pula terlibat dalam memporak perandakan orang, mengadu domba, batu api, menjadikan sesuatu itu batu loncatan, mengambil kesempatan, menangguk di air keruh, keras hati, degil, tak mahu bertolak ansur, susah nak minta maaf, ego terlalu tinggi, pendendam, maki hamun makanan kegemaran, umpat fitnah minuman penghilang kehausan dan penghibur duka laranya.
Cuba kita bawa pemikiran kita kepada ulama-ulama tersohor mazhab hanafi, mazhab syafie dan pelbagai kisah para ilmuan tersohor Islam yang lain. Sekali peristiwa, apa yang saya terbaca, Imam Syafie menziarahi gurunya Imam Hanafi dan ketika tibanya waktu solat maghrib, selepas azan, Imam Syafie meraikan Imam Hanafi dengan terus bersolat maghrib, cuba kita kaji contoh akhlak tersirat bagaimana mereka begitu prihatin sebagai penghormatannya pada perkara-perkara cabang agar tidak mencetuskan rasa tidak puas hati. Saya yakin dan pasti, dengan izin Allah swt, mereka berdua terpelihara daripada penyakit-penyakit hati tetapi masih mengutamakan urusan dan soal hati.
Marilah kita berazam untuk memuliakan tetamu, memberi penghormatan kepada ulama, mentaati umarak selagi mana mereka memenuhi syarat-syarat asas dalam Islam dengan turut memahami situasi amalan Islam masa kini. Bukan tolak ansur dalam hukum tetapi lebih berhikmah. Saya teringat secara spontan semasa menulis artikel ini pada kata-kata seorang guru bahawa, ' Hikmah adalah mutiara yang hilang pada umat akhir zaman yang perlu dicari'.
Berhati-hatilah berurusan dengan insan-insan terpilih tetapi terpelihara takut-takut tersilap bicara sehingga tersinggung pula Allah swt lalu kita dalam bencana dan kemurkaan Allah swt. Namun bagi Tuhan, dosa sebanyak buih di lautan pun, bagi Tuhan mudah sahaja mengampunkannya... Amin...
Aku yang banyak dosa tinggi membukit ini, menagih belas ehsan Tuhanku, sudi-sudilah Ya Allah berkenan mengampunkannya....
1 comments:
oh,,, barulah aku mengerti, tapi dulu cikgu nan tak ajar di sekolah pun?
Post a Comment