PENGALAMAN LALU, SEMPADAN KINI...

Wednesday, February 25, 2009

Dulunya benci, kini sayang tapi cintanya belum lagi....
Apabila terbit hidayah, tiada yang mampu menghalang seruan Ilahi. Daripada seorang penyembah berhala kini bertukar menjadi penyeru agama tauhid. Sejak usia 16 tahun sudah mempunyai kuil sendiri. Bukan itu sahaja, ada pengikut dan ada juga yang datang untuk berubat. Mempunyai minat yang kuat untuk bertapa dan mencapai alam ghaib. Memuja dan mengajak orang untuk memuja sama. Sungguhpun muda tetapi mendapat kepercayaan dan pengikut.
Yakin kepada Tuhan memang jitu tetapi hanya mengikuti contoh keluarga terutama nenek. Sejak kecil suka menolong orang, hati hiba jika melihat ada yang susah dan menderita. Pernah sekali peristiwa, kerana kepenatan seorang perempuan tua yang saya kenali, berehat di depan rumah saya. Kerana kehausan dia meminta air daripada saya. Tanpa berlengah saya ke dalam rumah dan mengambil segelas air dan memberinya minum. Air muka begitu gembira dan mengucap terima kasih. Namun suasana bertukar menjadi pilu apabila tiba-tiba nenek saya tiba-tiba muncul dan merampas gelas tersebut dan membuangnya keluar rumah di depan perempuan tua itu sambil memarahi saya, bahawa mereka tidak boleh minum dengan perkakas kita. Nenek saya memberi amaran agar tidak mengulangi perbuatan itu. Kelihatan perempuan tua itu menangis terisak-isak sambil meninggalkan laman rumah saya. Hati saya turut sedih tetapi tidak tahu hujung pangkal mengapa, nenek saya yang memang terkenal baik hati dan suka menolong tetapi berbuat demikian.
Membesar bersama datuk dan nenek. Sebagai cucu yang paling tua, saya dibesarkan oleh datuk dan nenek. Datuk bekas pesara JKR tetapi seorang yang rajin bertani. Beliau bukan sahaja bercucuk tanam daripada pelbagai jenis tanaman tetapi juga rajin menternak. Daripada ayam, itik, lembu, kambing, angsa, ayam belanda dan sebagainya. Setiap pagi, saya akan bersama datuk saya ke kedai untuk minum teh, makan tosai dan kari bawang. Beliau akan membawa saya dengan basikal. Beliau begitu sayang kepada saya. Walau bagaimana penat pun, saya tetap akan duduk di tempat duduk basikal dan datuk saya akan menolak daripada pekan Kuala Pilah hingga ke Tanah Perkuburan Kg Jawa dan menuruni bukit arah ke rumah buruh JKR Melang. Hari-hari kami dua begitu lah. Saya lah bendahari untuk atuk saya dan pemegang kunci laici duitnya. Atuk saya rajin menyimpan wang, Segala hasil penat lelahnya bercucuk tanam dan menjual susu lembu akan disimpan. Atuk saya dapat membeli sebidang tanah dengan harga RM 6,000.00 pada tahun 1972 daripada hasil taninya sendiri. Kagum gak saya dengan berkat usaha orang dulu. Saya tidak pernah tinggal bersama ibu dan bapa saya.
Pada tahun 1989, saya memeluk agama Islam. Lebih tepat lagi daripada mengatakan saya masuk Islam, Islam masuk dalam diri saya. Sebagai penganut Hindu yang fanatik dan kuat beribadat telah mengejutkan masyarakat Hindu Kuala Pilah dengan peristiwa tersebut. Peringkat awalnya dipulaukan masyarakat dan kehilangan kawan. Selang 5 bulan, ibu saya meninggal dunia. Saya ditohmah dengan mengatakan bahawa itu bala orang yang mengkhianati agama sendiri. Balasan daripada Tuhan yang saya sembah kerana bertukar agama. Selang 3 bulan lagi, nenek saya meninggal. Saya dikutuk lagi dengan mengatakan bahawa baru 3 bulan dulu dia bunuh ibunya, sedang dia dah makan neneknya pula....
Kalau saya ke mana-mana, ada suara-suara begitu kedengaran. Mereka akan menasihatkan anak-anak mereka supaya tidak berkawan dengan saya.
Bersambung...

2 comments:

edika March 4, 2009 at 10:23 PM  

menarik juga kisah hidup cikgu nan, sambung lagi tapi jangan lupa selitkan kisah saya sekali, ada ke???

edika March 4, 2009 at 10:28 PM  

Sekadar renungan, jadikan kisah silam sebagai pedoman untuk hari mendatang, "Islam tidak semestinya melayu dan melayu tidak semestinya islam". Lihatlah sekeliling kita, apakah umaat islam masih teguh berpegang dengan ajaran islam. Tepuk Dada Tanya Iman.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS