Kisah Benar - Apabila Orang Murtad 'berdakwah'
Monday, March 2, 2009
Hari Selasa, 2hb. Mac 2009 lebih kurang jam 3.00 saya dihubungi oleh seorang lelaki India yang saya tidak kenali. Sebelum ini, pada minggu lalu, teman wanitanya menghubungi saya memaklumkan bahawa dia memerlukan pertolongan saya kerana ada orang ingin disyahadahkan. Saya memang kenal dengan wanita ini. Wanita penjual bunga keturunan India Muslim beragama Islam. Malangnya dia adalah seorang perempuan murtad. Apabila dia berkata ada orang ingin memeluk agama Islam saya bertanya adakah orang yang dimaksudkan itu dia sendiri. Dia menafikannya dan meminta saya berbual dengan suaminya. Lalu suami ingin menerangkan hasratnya.
Dia berkata bahawa seorang lelaki India Muslim, Islam sejak lahir telah mempunyai hubungan dengan seorang perempuan India beragama Hindu dan kini mereka terlanjur. Penyelesaian ialah masuk Islam dan kahwin.
Hari ini, dia menghubungi saya dan membuat temu janji untuk berjumpa di sebuah restoran bersebelahan dengan Jusco Seremban 2. Pertemuan dirancang jam 4.30 petang. Memandangkan tujuannya ialah untuk mensyahadahkan saudara baru maka saya membawa bersama Ustaz Zulkarnain bin Abdullah, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang memang tugas hakikinya mengIslamkan saudara baru. Syukur Alhamdulillah, beliau bersetuju untuk mengikut saya walaupun waktu hampir jam 5.00 petang tentunya tugas hakiki beliau telah pun tamat. Demikianlah tugas seorang pendakwah, saya yang memang mengenali beliau turut kagum di atas kesediaannya untuk berkhidmat untuk agama tidak kira masa dan ketika.
Apabila saya tiba, saya ke restoran yang dijanjikan dan mendapati ada 3 orang, 2 lelaki dan 1 perempuan yang saya kenali., perempuan murtad itu bersama lelaki yang didakwanya suaminya dan seorang lelaki lagi yang diperkenalkan sebagai bakal suami kepada perempuan yang hendak memeluk agama Islam itu. Rupanya, lelaki yang dikatakan suami kepada perempuan murtad itu juga adalah lelaki murtad, 2 orang murtad membawa seorang perempuan untuk diIslamkan bersama dengan seorang lelaki Islam. Orang yang telah murtad ' berdakwah ', dan rupanya pernah dikaunseling oleh Ustaz Muhammad Zulkarnain bin Abdullah sebelum urusan pencegahan murtad dipindahkan ke Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.
Maha Suci Allah, apakah teka-teki Allah swt mewujudkan situasi seumpama ini. Saya teringat ada seorang sahabat menyebut bahawa kita berbuat kebajikan ini,bukan sahaja niat mesti betul tetapi prosesnya juga mesti betul. Sebenarnya niat yang tulus ikhlas sahaja yang bakal menjadikan proses yang betul untuk mendapatkan hasil yang betul. Niat orang murtad ini betul, prosesnya pun betul tetapi adakah terdapat pahala di sisi Allah swt kerana mengIslamkan seseorang. Bersusah payah membawa orang itu daripada Shah Alam, memberikan makan dan minum kemudian mengaturkan pertemuan dengan pihak yang bertanggungjawab melakukan pengIslaman. Adakala orang Islam pun tidak ingin membuat semua ini tetapi dua orang murtad berhati mulia untuk mengIslamkan seseorang lalu Allah swt mentakdirkan saya terlibat pula menguruskannya.
Hati sungguh risau, apakah rahsia di sebalik insiden ini. Apakah ini tempelak Allah swt kepada kita ? Malu pun ada ! risau pun ada ! Takut pun ada ! Apakah kita dapat berdiri di depan Allah swt pada hari penghakiman ? Allah taala ini Maha Kaya dan Maha Halus tarbiahnya.
Wahai Tuhan Yang Esa,
Aku tidak mampu,
Melainkan hanya dengan izin dan gerakMu jua lah,
Pilihlah Aku Ya Allah,
Menjadi Saluran Hidayah Mu..
Aminnnn.....
1 comments:
Ia agak menarik jika kita teliti dengan sedalamnya, agak pelik tapi benar mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini, terasa diri amat kerdil bila membaca kisah ini, Ya Allah, di manakah kedudukan umatmu, adakah dijalan yang Engkau redhai
Post a Comment