Pengalaman Lalu, Sempadan Kini - ( sambungan )

Wednesday, March 4, 2009

Dah Sunat ke belum..., kahwin orang melayu ke...?
Ucapan alu-aluan pertama daripada mulut orang beriman apabila mengetahui saya memeluk agama Islam ialah ' dah sunat ke belum ' ? FAQ yang masyhur pula ialah kahwin Melayu ke... ? Begitulah ucapan alu-aluan daripada hampir semua orang yang saya berjumpa ? Bagi ucapan alu-aluan yang pertama, akan kelihatanlah wajah mereka kegelian ataupun jijik - najis dan bagi kata-kata aluan yang kedua pula ialah air muka prejudis.
Setahu saya lah, untuk menjadi orang Islam yang penting ialah syahadah. Mengucap dua kalimah syahadah, dilafazkan dengan lidah dan difahami dengan akal, dibenarkan dengan hati dan diikuti dengan pembuktian dengan perbuatan seterusnya bertaubat sungguh-sungguh atas perbuatan pada alam jahiliah.
Sudahlah masyarakat bukan Melayu pun melabelkan pertukaran agama adalah semata-mata kerana perkahwinan dikuatkan lagi pula dengan saudara-saudara asal Islam kita. Masyarakat sekeliling saya bertaruh bahawa ' kau tengoklah tak lama lagi dia pasti akan kahwin dengan orang melayu'. Ada juga kawan-kawan dulu bertanya kau dah tak suka ke perempuan india, atau dah tak sesuai dengan kau ? Melayu jugak kau nak ye...
Halangan paling besar apabila kita ingin bercerita tentang soal-soal keTuhanan dan kebenaran ialah prasangka bahawa bertukar agama kerana kahwin. Tidak ada sebab lain. Mungkin ada kebenarannya tetapi kita tidak boleh pukul rata melabelkan setiap orang yang memeluk agama Islam adalah kerana berkahwin. Ajal Maut dan Jodoh adalah ketentuan Allah swt. Soalnya adalah hak Allah untuk memilih jalan memberi petunjuk taufik dan hidayah.
Adakala saudara baru lebih faham daripada saudara asal !
Namun apabila saya bertemu dengan mereka yang faham Islam dan beramal, penerimaannya berbeza. Apabila diperkenalkan sahaja, saya saudara baru mereka datang bersalam sambil memeluk dengan ucapan Alhamdulillah. Tindakan lebih bermakna daripada perkataan. Daripada air muka, kelihatan begitu akrab persaudaraan yang ditunjukkan. Bukan itu sahaja, mereka selalu pula bertanya khabar, datang ziarah, ajak ke masjid, meraikan kehadiran kita di masjid. Maklumlah, baru je memeluk agama Islam. Bukan senang nak melangkah ke masjid. Orang mungkin tidak apa tetapi perasaan sendiri. Terasa berat kaki yang melangkah, kelihatan setiap mata memandang kita dengan pandangan aneh dan pelik, dulu kan dia sami kuil tu... apa dah jadi...
Saya memang kena syukur banyak-banyak kerana dalam perjalanan hidup saya Allah swt banyak menemukan orang-orang yang dapat membimbing ke arah mengenal Tuhan yang benar. Saya terhutang budi dengan kawan saya saudara Muhammad Nur Zulkarnain bin Abdullah, setiap pagi akan datang mengambil saya untuk bersolat subuh, selain daripada menjadi sebab saya mengenal dan memeluk agama Islam. Beliau lah yang memujuk ayah dan ibu saya memberi kebenaran saya memeluk agama Islam. Saya memeluk agama Islam setelah mendapat kebenaran daripada ibu bapa saya. Kebenaran diperolehi setelah Muhammad Nur Zulkarnain berjaya meyakinkan bahawa Islam tidak memutuskan persaudaraan di antara anak dengan ibu bapa. Malahan jika kena caranya, masih boleh tinggal bersama seperti dulu. Sepatutnya saya telah memeluk agama Islam pada tahun 1988 sewaktu mengajar di Sekolah Menengah Jelai, Bahau tetapi tidak menjadi kenyataan kerana ustaz yang jumpa mengatakan bahawa saya tidak boleh tinggal bersama dengan ibu bapa saya dan pendekatan yang digunakan ialah saya dimaklumkan bahawa kalau saya memeluk agama Islam saya akan dapat bantuan kewangan, boleh pegi Mekah dengan percuma. Bukan itu saya cari. Semasa beragama HIndu pun, saya taat dan tidak ada jual beli agama ! Akhirnya saya menangguhkan keputusan tersebut mungkin hidayah tak sampai. Akhirnya saya memeluk agama Islam pada tahun 1989, sekembaliknya Saudara Muhamamd Nur Zulkarnain bin Abdullah daripada Amerika selepas tamat sebagai seorang Pilot Kapal terbang. Syahadah saya disaksikan oleh seorang Imam Kampung Purun, Tanjung Ipoh bernama Lebai Rahman. Waktu tu saya mengajar di Sekolah Menengah Dato Abdul Samad, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan. Saya kembali menjadi Islam ( bukan kerana murtad tau ) pada bulan Feb 1989 dan daftar secara rasmi pada Okt 1989 di depan Haji Arshad ( sekarang Imam Masjid bandar baru Senawang ). Dia selalu jumpa saya solat Jemaah di Masjid Yam Tuan Raden Kuala Pilah dan terkejut kerana dah lama dah solat tapi baru nak daftar.. Dah daftar dah dengan Tuhan... ( mengada-ngada je ).
Apabila saya dihubungi oleh Ustaz Jaafar bin Muhammad, untuk menyerahkan sekeping cek zakat RM500.00 saya jadi marah dan bagi tau saya tak mahu duit itu kerana saya memeluk agama Islam kerana yakin dengan agama tersebut bukan kerana duit. Beliau menasihatkan bahawa itu adalah hadiah daripada Allah swt. Hadiah daripada Allah swt ini tak boleh ditolak nanti sombong plak kita dengan Allah swt. Hak kita kena ambik, dia kata. Hati saya jadi sejuk bila dikatakan hadiah daripada Allah swt, kalau dia kata ni sagu hati kerana masuk Islam sudah tentu dengan semangat pada masa itu, kesan tohmah orang bukan Islam, masuk Islam sebab kahwin melayu, nanti boleh jadi bumiputra, dapat kontrak projek dan tanah dah tentu saya baling dah duit itu. Itu pun saya sedekah kan duit tu kepada pelajar-pelajar sekolah tempat saya mengajar di Sekolah Menengah Palong 4 ( sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Sri Pepatih ). Ustaz Jaafar bin Muhammad datang ke SM Palong 4 untuk menyerahkan cek itu, saya tak pegi ambik dan beliau begitu prihatin dengan kebajikan saudara baru. Satu-satunya ustaz yang sampai hari saya masih berjumpa. Beliau juga yang bertanggungjawab untuk melibatkan diri bersama Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan apabila pada tahun 2004 saya dijemput menghadiri Seminar Tertutup Cabaran Akidah yang diadakan di Puteri Resort Melaka. Di situlah bermulanya saya mengenali Ustaz Ahmad Zaki Haji Hamzah.
Bersambung...
Pengalaman Hari Pertama Selepas Syahadah....

3 comments:

edika March 4, 2009 at 10:16 PM  

ajal, maut, jodoh dan pertemuan ketentuan ilahi. Skap prejudis berada di mana mana kerna itulah diciptakan syurga dan neraka, Wasalam.

taruna March 5, 2009 at 12:29 PM  

menarik, ambo nak dengar kisah seterusnya,,,,,

edika March 5, 2009 at 12:36 PM  

Hidayah dari Allah s.w.t kepada cikgu nan, alhamdullah cikgu nan insan terpilih dan jangan persiakannya, teruskan mendalami ilmu agama islam disamping itu bimbing 'saudara baru' yang memerlukan pertolongan sedaya mampu, syukur,,,,,

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS