Angin Baru...

Monday, April 6, 2009

Daripada desiran angin sepoi-sepoi bahasa berpuput sayup-sayup menepis-nepis muka hinggalah ianya bertukar menjadi ribut taufan yang menggegarkan malahan mencabut-cabut akar tunjang pepohon payungan yang senantiasa memberi naungan adalah kehendak Allah Maha Esa. Tiada sesiapapun yang boleh mempertikaikan apapun keputusan Allah swt. Sebagai penerima nasib tersebut, kita harus bersyukur atas segala nikmat Allah swt kepada kita selama ini. Tentunya, Tuhan Yang Memiliki kita lebih mengetahui segala sesuatu yang baik untuk kita.
Sesuatu yang harus menjadi muhasabah diri melibatkan akal dan kalbu ialah adakah aku telah berlaku kurang ajar dengan Yang Empunya Dunia ini sehingga dihukumkan begitu. Banyakkanlah permohonan ampun dan maaf ke hadrat Allah swt semoga apa-apa yang telah dilalui dan diterjemahkan menjadi kenyataan untuk memperkasakan syiar agama di muka bumi ini, ada sedikit pahala di sisi Allah swt.
Kerja Allah swt ini pelik dan penuh hikmah. Manusia yang berbekalkan akal dan mata hati yang terbatas tidak dapat sekali-kali membaca dan memahami hikmah Allah swt ke atas hamba-Nya. Bertambah kaya bukan tanda dekat dengan Allah swt, bertambah miskin bukan pula mendekati Murka Allah swt. Dalam segala sesuatu mengandungi ujian Allah swt untuk menilai sifat taqwa dan iman hamba-Nya. Ujian yang ditimpa sungguhpun pahit, perit dan menyakitkan tetapi bila yang memberinya ialah Allah swt yang dikasihi menanggungnya mengandungi kemanisan dan kelazatan tersendiri. Apalah dikeluh kesahkan kedudukan yang fana ini sehinggalah kita diberi peluang menghadapi hadiah Allah swt yang kekal abadi.
Berdoalah kita agar diberi kesempatan untuk menjadi ahli yang beriman dan bertaqwa. Bermunajatlah supaya kita diberi ilmu untuk mengenali Allah swt. Mudah mengucapkannya tetapi belum tentu mudah menanggungnya. Moga-moga Allah swt memberi kekuatan untuk menghadapi ujiannya untuk membezakan di antara batu dan permata.
Jika Allah swt memutuskan sesuatu untuk kita, tiada sesiapa pun yang boleh menghalangnya dan sebaliknya jika Allah swt memutuskan tiada lagi hak kita, maka tiada sesiapa pun yang boleh memberinya.
Sahabat-sahabat dalam perjuangan akan silih berganti tetapi perjuangan akan kekal. Setiap sesuatu ada tempoh waktu yang ditetapkan, ianya akan berlaku sama ada kita berkehendak atau tidak. Manusia tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan kehendak Allah swt. Adakah kita ingin menangisi pemergian atau menangisi yang ditinggalkan. Inilah tanda-tanda bayangan kematian dan janji Allah makin hampir!
Dulu ayah saya selalu berkata sambil duduk di laman rumah bahawa dulu kawasan ini penuh semak, penuh dengan pokok-pokok getah tapi sekarang sudah diterangkan, sudah ada jalan raya dan bangunan tinggi.
Kini ayah saya sudah tidak ada lagi. Pusaranya pun dah usang. Masa berlalu, badan dimakan usia bagaikan reputnya dedaun dimakan ulat. Makin usang. Hari ini saya pula berkata, perkara yang sama yang pernah diperkatakan oleh ayah saya lalu tetiba teringatkan silih waktu itu berganti, siang berganti malam, malam berganti siang, dan pergiliran malam dan siang itu, beruntunglah mereka yang berada dalam rahmat Allah swt.
Marilah kita sekadar masih ada tempoh dan waktu, memperkemaskan diri kita menghadapi usaha-usaha untuk mengajak manusia kepada Allah swt. Di mana sahaja kita berada, harap-harap agar Allah swt memilih dan menggunakan kita sebagai penolong dalam urusan agama di muka bumi ini. Aminnn...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS