Murtad

Thursday, April 2, 2009

Isu murtad adalah isu yang sensitif. Berkerut juga muka mereka yang prihatin apabila memperkatakan isu murtad ini. Lantas mereka akan mengeleng kepala dan pastinya akan bertanya betul ke ada orang murtad ini ?
Murtad di kalangan yang baru memeluk agama Islam nampaknya seolah-olah menyebabkan mereka menarik nafas lega. Patutlah pun kata mereka. Lalu mereka akan menuding jari pihak-pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk menjaga muallaf sebagai pihak yang patut dipersalahkan.
Adakah permasalahan murtad ini disebabkan oleh kegagalan sistem sosial dalam masyarakat Islam ? Apakah orang Islam pada hari ini sudah hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan peranan mereka dalam masyarakat ? Mungkinkah kerana masyarakat hari ini lebih bersifat material dan mengutamakan ' mind your own business' ? Wajarkah kita berdakwah apabila sudah tidak mampu untuk mengislahkan manusia ? Patutkah kita berpura-pura kononnya mencintai agama pada satu sudut dan di sudut yang lain kita membiarkan orang mempermain-mainkan kita ?
Dengan berbekalkan pengalaman mengendalikan persoalan murtad, saya mendapati terdapat berbagai-bagai sebab seseorang itu mengambil keputusan untuk murtad. Sebab yang utama jika dirumuskan ialah akibat daripada kegagalan institusi rumah tangga. Individu murtad ini kebiasaannya adalah anak-anak saudara baru. Mereka yang membesarkan dalam suasana agama lain sejak lahir, disebabkan ditinggalkan oleh ibu bapa mereka akibat daripada perceraian. Anak-anak ini hanya Islam pada namanya sahaja. Mereka sedikit pun tidak pernah melalui kehidupan orang Islam. Sehingga sukar untuk kita sebutkan mereka murtad. Mereka bukan murtad, mereka tidak pernah menjalani kehidupan Islam. Serupa seperti kebanyakan orang asli yang menggunakan nama Islam tetapi tidak mempunyai agama dan kepercayaan. Kita tidak dapat mengenal pasti agama seseorang melalui nama.
Anak-anak saudara baru yang malang ini, apabila mencapai umur 18 tahun akan mengenal pasti identiti diri mereka. Mereka berasa malang dan teraniya kerana terjerat dalam masalah ibu bapa mereka. Mereka menghadapi krisis identiti. Mengaku Islam sudah sering ke kuil atau tokong, tidak mengaku Islam, status agama dan nama mereka adalah Islam. Bagi mereka, situasi ini bukan masalah mereka tetapi mereka adalah mangsa masalah kedua-dua ibu bapa mereka. Kalaulah sejak kecil, ibu bapa mereka membesarkan mereka dalam ajaran Islam sudah tentu apabila mencapai umur ini mereka tidak perlu bersusah payah untuk memperjelaskan identiti mereka. Seluruh kehidupan mereka terjejas. Mereka terperangkap dalam masalah perundangan melibatkan identiti dan status mereka.
Mereka mengaku bahawa mereka menjalani kehidupan yang berpura-pura, malu dengan label yang diberikan kepada mereka oleh masyarakat. Mereka ingin bebas seperti orang-orang lain dalam menentukan agama dan pilihan hidup mereka. Persoalan mereka adalah persoalan untuk memperjelaskan status agama dan nama dalam kad pengenalan. Mereka tidak berminat untuk membincangkan soal-soal kebenaran dalam beragama, mereka mempunyai pendirian bahawa semua agama adalah sama yang berbeza hanyalah cara. Tidak ada seorang pun nampaknya mempunyai kepercayaan kepada soal-soal selepas mati. Dah mati bukannya tahu apa-apa, kata mereka.
Ramai daripada kalangan mereka mempunyai pandangan yang tidak benar terhadap Islam. Mereka mempunyai prasangka buruk terhadap Islam. Ada juga kalangan mereka yang cuba mengadaptasikan dan mencari persamaan di antara Islam dengan kepercayaan mereka. JIka kita dalam setiap kata-kata mereka, kita akan dapati bahawa mereka bukan sahaja tidak mengetahui agama Islam malahan mereka sebenarnya tidak pun memahami kepercayaan mereka.
Persoalan mereka dalam soal murtad bukan isu kebenaran akidah, tauhid dan sebagainya tetapi hanya semata-mata dokumentasi sahaja. Makanya bukanlah perbalahan antara seorang penganut agama Islam dengan yang nak murtad tetapi hanyalah perjuangan untuk menukar status nama dan agama dalam Kad Pengenalan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS