Catatan
Tuesday, April 21, 2009
Pada 18hb. April 2009, saya berkesempatan untuk menziarahi emak saudara saya di Melaka. Saya singgah di rumah emak saudara ketika saya dalam perjalanan ke Naza Hotel, Melaka. Pada hari yang mulia ini, saya telah melalui dua perkara, satu pada petang selepas Jumaat dan satu lagi pada malam Sabtu.
Pada sebelah petang sebelum saya bertolak ke Melaka, saya menerima empat orang tamu. Mereka tiba di pejabat saya dan kebetulan bersama-sama saya ialah Haji Mohd Nor Yasin, Setiausaha Koperasi Kasih Sayang Negeri Sembilan Berhad. Saya meminta Hajah Norizan bin Haji Zakaria untuk menerima dan menyambut kedatangan 3 tamu perempuan manakala saya dan Haji Mohd Nor Yasin mengiringi tamu lelaki. Saya mempersilakan mereka ke ruang pejabat saya.
Setelah dipersilakan duduk dan berkenal-kenalan, tibalah giliran saya untuk meminta tamu memberi penjelasan tujuan dan maksud kunjungannya. Walaupun secara ringkasnya saya sudah mengetahui tujuan dan maksud mereka melalui Ustaz Shafie bin Muhammad daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan. Supaya lebih jelas maksud sebenar, saya memohon tamu sendiri memberikan maklumat.
Memulakan cerita, tamu memperkenalkan seorang perempuan dalam lingkungan umur 75 tahun bersama-sama cucunya berumur 4 tahun sebagai kakaknya. Menurutnya beliau baru sahaja bertemu dengan kakaknya yang telah berpisah sejak tahun 1951.
Tapi sungguh mengecewakannya katanya, apabila pertemuan kembali beliau dengan kakaknya adalah dalam keadaan kakaknya telah kehilangan hidayah dan petunjuk Allah swt. Setelah berpisah begitu lama, pertemuannya dengan kakaknya walaupun ada kegembiraan tetapi perasaan kecewa dan hiba terasa sungguh, katanya.
Bagaimana tuan boleh berjumpa semula kakak tuan nie? tanya saya untuk mengetahui maklumat selanjutnya.
Kami sekeluarga berasal daripada Pasir Panjang, sempadan Negeri Sembilan Melaka tetapi sudah lama meninggalkan kampung halaman. Sekarang saya tinggal di Pasoh katanya. Minggu lalu kakak saya ini pergi ke kampung asal kami dan mencari keluarganya. Dia meninggalkan no telefonnya kepada penduduk kampung memohon supaya disampaikan kepada adik-beradiknya. Kalau boleh ingin berjumpa dan minta tolong dihubungi semula.
Saya bertanya, apakah yang mendorong kakaknya setelah sekian lama tiba-tiba ingin mencari adik beradiknya pula ?
Kata kakaknya, dia bermimpi, kedua-dua orang tuanya. Tetapi kedua-dua orang tuanya tidak mahu bercakap apa-apa dengannya. Mimpi ini mendorongnya untuk mencari adik beradiknya yang sudah berpisah sekian lama. Daripada raut wajah kelihatan kakaknya sedih dan menitiskan air mata.
Adik lelakinya yang sudah berumur 65 tahun menambah katanya, setelah menerima no telefon tersebut, beliau menghubungi no talian moga-moga dapat bercakap dan mengenal pasti siapakah gerangan yang mencari dan ingin menghubunginya. Panggilan dijawab oleh seorang lelaki India. Beliau bertanya tentang orang yang meninggalkan no tersebut. Lelaki yang menjawab telefon tersebut mengenalinya. Beliau bertanya lagi, apakah hubungan kamu dengan perempuan itu? Kata lelaki itu, dia ibu saya.... Tapi dia tak de di sini, kalau nak cakap kenalah panggil no telefon satu lagi... Saya menghubungi no kedua ini dan kali ini yang menjawabnya ialah perempuan india, saya bertanya soalan yang sama , apakah hubungan kamu dengan perempuan itu, katanya dia ibu saya... Boleh tak saya bercakap dengan ibu kamu? Boleh katanya...
Kedengaran lah suara kakak saya ini, setelah mengesahkan bahawa dia adalah benar-benar kakaknya..
BERSAMBUNG
0 comments:
Post a Comment