BAITUL MAL
Wednesday, April 15, 2009
Baitul Mal sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk mengagihkan Dana Zakat adalah berfungsi sebagai salah sebuah sumber kekuatan dakwah Islamiah. Malahan kewajipan zakat yang diperintahkan itu merupakan obligasi umat Islam sekaligus memaparkan kesempurnaan Islam sebagai agama yang meliputi segala aspek kemasyarakatan, kemanusiaan dan kebajikan.
Susun lapis dalam masyarakat menurut ketentuan Allah swt telah mentakdirkan wujudnya kumpulan-kumpulan asnaf yang semestinya mendapat pembelaan daripada Baitul Mal. Golongan asnaf ini mempunyai tempat untuk mengadu dan menyelesaikan masalah mereka. Keprihatinan yang dituntut sebagai salah satu cabang ibadah memperlihatkan bagaimana Allah swt mentarbiah manusia untuk membantu sesama manusia sebagai asas hidup bermasyarakat. Sehinggalah ditekankan, tidaklah beriman seseorang jika dia tidak mengasihi saudara muslimnya yang lain sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Penghayatan dan penerapan nilai-nilai ini dalam diri seseorang hamba Allah sudah tentu dapat memprogramkan minda dan hatinya agar terpaku kukuh atas dasar tauhid Allah swt. Budaya berkasih sayang ini juga mampu melahirkan akhlak mulia mukmin sebagai bunga diri yang mampu memikat hati-hati yang gersangkan kasih sayang.
Walau bagaimana unggul sekalipun, nilai positif di sebalik wujudnya dana zakat ini, akhlak prihatin sebagai bunga diri ini hanyalah akan terasa bagi mereka yang beriman dengan sebenar-benarnya Iman. Akal dan hati hendaklah terdidik dengan iman dan islam. Keimanan yang lahir dalam dasar lubuk hati sahaja yang mampu merasai kemanisan dan ' karunia ' sebagai sifat zat Allah swt. Mereka yang terdidik dengan ilmu kapitalis hanya melihatnya sebagai kesempatan untuk menyelesaikan masalah tanpa mengaitkannya dengan soal-soal ghaib. Bukankah beriman itu mempercayai soal-soal ghaib yang melampaui soal akal, tidak dapat dilihat dek mata ?
Dalam soal memberi bantuan kepada umat Islam yang terlibat dengan hutang along, Baitul Mal mesti mempunyai suatu dasar yang jelas dan tetap supaya fungsi Baitul Mal tidak dicalit dengan 'tuduhan liar' dalam menyelesaikan permasalahan hutang along. Kita khuatir sekiranya dasar tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan tegas suatu hari nanti Baitul Mal dituduh menunaikan fungsinya sebagai berpilih-pilih. Ada hamba Allah yang dapat dan ada pula hamba Allah yang tak dapat.
Individu yang dibantu oleh Baitul Mal untuk menyelesaikan masalah along hendaklah berjanji untuk membayar semula hutang tersebut kepada Baitul Mal. Sekali lagi soal iman mengambil tempat, berapa ramaikah di antara kita benar-benar beriman akan wujudnya hari akhirat menjadi persoalan.
Baitul Mal membantu bersaksikan ALlah swt !!!
Tahniah kepada pegawai-pegawai Baitul Mal, bukan mudah rupanya memegang Amanah ALlah swt. Saya berdoa semoga Allah swt melabuhkan lindungan kepada mereka yang berkhidmat benar-benar untuk keredhaan Allah swt.
0 comments:
Post a Comment