Di Mana Silapnya ?
Friday, May 15, 2009
Keluhan beberapa peniaga yang mendapat bantuan Baitul Mal. Kalau adalah yang mengaku bahawa saya ini adalah Usahawan Mains, saya akan carutkan dia, begitulah kenyataan seorang yang mengaku telah dibantu oleh Baitul Mal dalam mengembangkan perniagaannya.
Rezeki kita adalah dalam genggaman Allah swt. Barang siapa yang dikehendakiNya akan dikurniakan Allah swt dengan rezeki yang melimpah ruah dan barang siapa yang dikehendakiNya juga akan digenggamNya rezeki sehingga ke suatu tempoh yang dikehendakiNya. Tiada siapa pun boleh bersoal jawab akan hakikat rezeki Allah swt. Kita diajar bahawa barang apapun situasi masih punya hikmah tersendiri atas takdir dan tadbir Allah swt terhadap diri kita.
Konsep rezeki amat luas ruang lingkupnya. Tidak terbatas pada wang ringgit semata-mata. Usia, jodoh pertemuan, makan minum, pakai patut, beranak pinak berkeluarga, bertakhta, berpangkat, ajal maut adalah jua rezeki, tidak ketinggalan juga batas waktu dan masa, amat luas, seluas langit terbentang dan ditambah keluasan seumpamanya.
Rezeki manusia adalah antara manusia. Mengeratkan tali silaturrahim juga amalan memurahkan rezeki. Mahal rezeki kalau asyik putus saudara. Ujian Allah datang bertimpa untuk menguji tahap keImanan kita. Adakah kita menyangka bahawa kita akan dibiarkan mengaku beriman tanpa didatangkan ujian untuk menguji kekentalan iman kita. Bersedialah untuk menghadapi ujian Allah swt setiap masa dan segenap waktu. Sama ada ujian itu kecil atau besar adalah berdasarkan tahap iman masing-masing, yang pastinya sesudah kesukaran pasti datang kebaikan. Itu janji Allah swt.
Kita hendaklah mendidik hati kita, Selalulah bercakap-cakap dengan hati kita supaya hati kita tenang dan tenteram dengan ujian Allah seterusnya sangka baik kepada Allah swt. Jangan biarkan hati kita tanpa kawalan. Berwaspada akan niat dan bicara kita menghadapi ujian Allah. Perniagaan yang tidak akan rugi ialah urusniaga dengan Allah swt. Marilah kita membina hubungan perniagaan dengan Allah swt sebagai pemilik dan pencipta kita. Marilah kita mendisiplinkan diri untuk mengikuti jadual Allah swt. Ketetapan dan perintah ALlah swt kita patuhi atau berusaha sedaya upaya untuk mematuhinya. Pintu taubat terbuka luas. Gunakan peluang penyesalan tersebut untuk membina semula keakraban kita dengan ALlah swt. Allah swt khazanahnya tidak habis, luak pun tidak jauh sekali habis.
Jadikanlah ujian dan pancaroba sebagai hiburan menghadapi Allah swt untuk membuktikan bahawa kita adalah hambaNya. Hamba kena redha dengan kehendak tuannya tanpa banyak cerita. Diperbuat apapun itulah Tuan kita yang bakal menjaga nasib badan dengan ketentuannya. Rebutlah reda Tuhan lebih daripada redha manusia. Redha manusia tidak kekal. Redha Allah kekal abadi. Cinta Tuhan tidak pernah layu dan luput tetapi cinta dan kasih manusia bermusim dan berubah-ubah. Kecewa kalau mengharap pada manusia, beruntung jika mengharap pada Tuhan. Hati akan tenang apabila kita kembara bersama Tuhan dengan kemanisan Iman. Mudah diperkatakan, sukar diperkotakan. Mengharap kasih Tuhan ini bagaikan pungguk rindukan bulan. Cuba tanya kat pungguk tak jemu ke rindukan sesuatu yang tidak tercapai. Pungguk mungkin tidak bisa capai bulan tapi nur bulan purnama menyuburi diri pungguk hingga kerinduannya terubat hanya dengan menatap keindahan bulan. Kasih manusia pada Tuhan bagaikan pungguk rindukan bulan. Namun pungguk mungkin mati dan berakhir kerinduan dengan sia-sia tetapi rindu hamba kepada Tuhannya sungguhpun seperti pungguk tidak kunjung tiba dan sampai-sampai kasihnya tetapi redha Allah tetap dengan hambaNya.
Solat merupakan pengabdian manusia menuju cinta dan kasih Tuhan. Qiam dihadapan Tuhan dengan segala kerinduan dan cinta akan menerbitkan kecintaan hakiki.
0 comments:
Post a Comment