Doktor Fizikal dengan Doktor Rohani

Monday, May 11, 2009

Kita hari ini sudah terbiasa apabila sahaja sakit ataupun terdapat tanda-tanda sakit cepat-cepat merujuk kepada doktor untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Begitu cemas kita untuk membiarkan adanya tanda-tanda sakit dan penyakit. Apabila doktor memberi nasihat sama ada bersenam ataupun berpantang maka dengan mudah sahaja kita menuruti nasihat doktor tersebut. Begitulah tingginya keyakinan kita kepada doktor. Perkara ini terjadi kerana kita telah dimaklumkan dengan pelbagai jenis penyakit bermula kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya yang menandakan peringatan Allah swt bahawa setiap yang bernyawa pasti dan pasti akan menemui ajal apabila tiba waktunya. Bukan kerana penyakit itu tetapi kerana kehendak dan takdir Allah swt.
Apabila doktor memberi nasihat bahawa kita perlu berpantang dengan menjaga makanan maka itu merupakan nasihat yang perlu dipatuhi demi mengelakkan kesengsaraan. Tetapi kalau kita memilih untuk tidak mengendahkan nasihat tersebut dan terus juga melayan selera hawa nafsu kita maka tiada siapa yang boleh dipersalahkan melainkan kita. Kitalah memilih untuk jalan tersebut walaupun sudah banyak kali diperingatkan atau didatangkan peringatan demi peringatan. Setelah kita sakit kembali, kalau kita merujuk kepada doktor sudah barang pasti doktor akan mengulangi nasihatnya bahawa badan sudah tidak mesra lagi dengan makanan kegemaran kita, sistem tubuh badan sudah rosak akibat perjalanan usia. Mahu tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa nikmat Allah swt yang selama ini diberikan kepada kita sudah ditarik balik sedikit demi sedikit. Pergantian malam dan siang secara beransur-ansur tanpa disedari telah memamah usia tubuh badan kita, Pandangan mata mula silau, pendengaran perlu dipekik-pekikkan baru kedengaran, suara mula menggeletar, kaki sudah sakit dan pilu, berdiri memerlukan tupang, nafas tercungap-cungap, kepala pening nak pitam, makan tak lalu, tekak pahit, rasa nak muntah. Masih juga tidak faham lagi....
Namun lebih serius daripada itu ialah penyakit hati atau penyakit rohani. Tubuh badan apabila kita mati akan hancur bersama tanah menjadi makanan lazat ulat namun roh akan menghadap Allah swt. Berapa ramaikah daripada kita yang sudah menjalani scan penyakit hati. Sudahkah kita mendapatkan ramuan untuk mengubati penyakit hati. Sakit hati, iri hati, makan hati, hasad dengki, umpat mengumpat, fitnah menfitnah, merasa diri hebat, angkuh sombong meninggi diri, berlagak tuan pada hal hamba, berlagak mulia sungguhpun hina, berdiri di depan Tuhan tidak terasa hamba dan kegerunan. Penyakit hati hanya dapat disembuhkan dengan kapsul taqwa daripada pemimpin yang boleh mencetuskan amalan hati supaya bertaqwa kepada Allah swt.
Pastikanlah kita dapat menghadiri majlis ilmu untuk membesarkan Allah swt. Tiada yang lain melainkan untuk memperbesarkan Allah swt.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS