MANTAN MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN

Tuesday, May 26, 2009

8.30 malam, Hari Isnin di Ball Room Klana Resort menyaksikan Majlis Persaraan Yg Bhg Dato Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan setelah berkhidmat selama 21 tahun sebagai Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan. Majlis Penuh bermakna dalam lipatan sejarah bersama Mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan itu dihadiri oleh SS Dato Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Yg Bhg Tuan Haji Selamat bin Paigo, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Yg Bhg Dato Haji Mohamad bin Haji Hussin, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Fatwa Negeri Sembilan, Pengurus Baitul Mal, pegawai-pegawai agama daerah-daerah, kakitangan Jabatan Mufti dan jemputan.
Dimulai dengan ucapan SS Dato Mohd Yusof bin Haji Ahmad diikuti dengan Ucapan Yg Bhg Tuan Kamal Amran bin Kamaruddin dan akhir sekali Ucapan Yg Bhg Dato Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad. Sebagai seorang tokoh agama dan ulama tersohor di Negeri Sembilan, Yg Bhg Dato Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad, jelas mempamerkan karektor dan akhlaknya yang cukup membanggakan sebagai tokoh ulama yang patut dicontohi apabila secara terbuka menyatakan sokongan dan kerjasama tidak berbelah bahagi kepada SS Dato Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad sebagai Mufti Negeri Sembilan yang baru dan seterusnya mengajak keseluruhan pegawai agama supaya membantu bersama-sama membina persahabatan ikhlas demi untuk memperkasakan syiar agama di Negeri Sembilan.
Penampilan Mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dengan gaya ucapannya nyata memaparkan keikhlasan dan keredhaannya yang cukup menyentuh hati. Sedikitpun tidak memaparkan kekesalan malahan nampak lebih bersemangat untuk mengabdikan diri untuk memperkasakan Agama Allah swt di muka bumi ini. Dalam catatan saya yang terdahulu saya ada menyebut bahawa tiada istilah bersara dalam kerja bersama Allah swt. Penampilan dan kata-kata hikmat Mantan Mufti jelas menyokong dan membuktikan bahawa keikhlasan perjuangan dan keagungan kasih Allah swt merupakan hakikat motivasi unggul setiap daripada kita dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar. Dalam peribadi SS Dato Haji Mohd Murtadza Haji Ahmad juga terjelas terpancar didikan tinggi ayahandanya mengenai zuhud. Serupa sahaja baginya sama ada menjadi Mufti atau Mantan Mufti, karismenya tetap unggul. Orang yang hatinya sentiasa bersama Tuhan, mana mungkin makhluk lain boleh menandinginya. Apabila kita menjadi orang kepercayaan Allah swt sudah barang pasti kita memiliki aura tersendiri.
Jawatan, kedudukan dan pangkat bukanlah jaminan dapat memperjuangkan agama. Hanya dengan kasih Allah swt kita dapat berkhidmat untukNya. Marilah kita berdoa agar kita terpilih, tersenarai dan dikekalkan untuk bersama-sama dalam lindungan kasih Allah swt.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS