Terlajak Perahu Boleh Undur, Terlajak Kata Buruk Padahnya

Wednesday, May 27, 2009

Dalam bulan lalu, YKSNS ada menganjurkan Program Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli di Kampung Bari, Johol. Lanjutan daripada itu, sekali lagi kami mengadakan Majlis Meraikan AJK Program lalu kami sewa sebuah bas dan membawa satu rombongan penduduk Kampung Bari ke Pekarangan Masjid Tok Muar. Dalam ucapan balas yang disampaikan oleh Dato Penghulu Kg Bari beliau secara jujur tetapi signifikan menyebut beliau tidaklah pandai bercakap dan katanya l banyak cakap, banyak berbohong. Lebih baik diam daripada banyak bercakap takut melukakan hati-hati yang mendengar. Kata-katanya lawak tapi sinis itu menyebabkan saya teringat beberapa patah perbilangan kata dan di antaranya ialah makan boleh sebarang makan tapi cakap jangan sebarang cakap. Lidah lebih tajam daripada hujung pedang.
Dalam keseronokan kita bercakap, dalam kehebatan kita berpidato ingatlah bahawa kita hanya boleh bercakap mengenai yang hak sahaja. Jangan hentam keromo dan bercakap semata-mata untuk bercakap tanpa menghiraukan hati dan perasaan orang lain. Sekali hati dan perasaan orang lain terluka, mengambil masa yang panjang untuk mengubatinya kembali. Orang tua-tua mengingatkan kita bahawa terlajak perahu boleh undur tetapi terlajak kata buruk padahnya. Lebih baik kita diam daripada bercakap sekiranya percakapan kita boleh merosakkan hati-hati manusia. Jangan terlupa kita adalah seagama dan mengabdikan diri kepada Tuhan yang Esa, menghadap kiblat yang sama, dicubit peha kanan, terasa peha kiri juga. Sungguhpun ada perbezaan pendapat tetapi hubungan kasih antara kita bagaikan air dicincang tidak akan putus. Jangan menari bagaikan dirasuk mengikut paluan gendangan mereka yang ingin melihat kita berpecah belah. Elakkan perpecahan, kurangkan mengkritik , mengadu domba dan cakap atau tulis yang hak sahaja. Semoga Allah swt menyatupadukan hati kita.

1 comments:

wan abdullah May 29, 2009 at 1:04 AM  

Manusia itu tahu mereka lemah, tapi tak pernah nk cuba ubah. Manusia itu tahu mereka lalai tapi tak pernah nk cuba ubah, manusia itu tahu mereka tak tahu , tapi tak pernah nak cuba ambik tahu...

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS