Rasional Perlunya Rumah Perlindungan YKSNS

Thursday, May 14, 2009

Rumah Perlindungan Sementara yang diwujudkan oleh Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan adalah atas hasrat untuk menyokong keperluan mendesak yang disuarakan oleh Hajah Norizan binti Haji Zakaria yang ketika itu menjadi Penggerak Utama Sukarelawan Hospital di bawah Pasukan Sukarelawan Dakwah, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Pengalaman menunjukkan bahawa keperluan dan permintaan terhadap rumah perlindungan begitu tinggi rata-rata untuk memenuhi keperluan untuk memberi perlindungan sementara kepada kaum wanita terutama ibu tunggal, ibu hamil tanpa nikah dan saudara baru. Kumpulan ini merupakan kumpulan yang begitu tinggi memerlukan perhatian supaya mengelakkan mereka terjerumus dalam masalah sosial yang lebih serius.
Berdasarkan statistik daripada tahun 2005 - 2008 menunjukkan peningkatan yang begitu ketara dan mendadak. Pada tahun 2005, jumlah klien YKSNS ialah berjumlah 21 orang. Daripada jumlah tersebut 13 orang terdiri daripada Saudara Baru lelaki lebih ramai daripada saudara baru wanita yang berjumlah 8 orang.
Tahun 2006 pula menyaksikan pertambahan daripada 21 klien kepada 26 klien. Komposisi klien adalah sama banyak 13 lelaki dan 13 wanita. Statistik tahun 2007 menunjukkan bahawa jumlah klien meningkat menjadi 54 dan 75 orang pada tahun 2008.
Sebab utama kepada peningkatan ini ialah wujudnya keperluan mendesak untuk penginapan bagi golongan yang memerlukan sebelum pihak berwajib menguruskan penempatan kekal mengikut prosedur undang-undang negara. Dalam tempoh kritikal tersebut rumah perlindunganlah menjadi jalan alternatif dan berfungsi sebagai 'rumah transit' sementara segala urusan perundangan diselesaikan. Selain daripada itu, pembinaan hubungan baik dengan pihak hospital dan makluman mengenai kemudahan yang disediakan oleh YKSNS ini juga menjadi sebab YKSNS menjadi pilihan ramai. Satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah kebanyakan penghuni asrama kasih sayang negeri sembilan ditaja sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dalam tempoh mereka mendapat perlindungan. Ini merupakan obligasi MAINS dan kita harus berbangga atas komitmen sosial yang sungguh tinggi yang ditunjukkan oleh MAINS bagi membela nasib golongan yang memerlukan.
Sungguhpun begitu, MAINS tidaklah dapat membantu sepenuhnya segala perbelanjaan terutama kos penyediaan bangunan. YKSNS sebelum ini telah menyewa beberapa buah rumah dan akhirnya mengambil keputusan untuk memiliki rumah perlindungan sendiri. Berbetulan pula, Masjid Tok Muar menjadi tempat strategik untuk dimajukan sebagai Pusat Kegiatan Saudara Baru dan terdapat pula projek perumahan bersebelahan dengan masjid tersebut. Sungguhpun harganya agak mahal berbanding dengan kualiti pembinaan rumah tersebut, YKSNS membuat keputusan untuk membeli rumah tersebut untuk dijadikan rumah perlindungan dan aktiviti. Adanya rumah ini sebenarnya sedikit sebanyak menyokong agensi kerajaan yang bertanggungjawab secara langsung dalam isu berkaitan terutama selepas waktu bekerja. Sukarelawan YKSNS yang bertugas semata-mata kerana minat yang mendalam atas kerja-kerja kebajikan dapat menampung lompang kekosongan waktu luar pejabat kakitangan kerajaan sekali gus menjadi pelengkap dan saling tolong menolong antara agensi kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan.
Dengan tujuan itulah maka YKSNS akan menganjurkan Malam Muzikal Di Sinilah Tertumpahnya Kasih II yang akan diadakan pada 5hb Jun 2009 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban. Penganjuran ini hanya salah satu kaedah untuk mencari dana. Selain daripada itu, YKSNS juga ada menyediakan perkhidmatan catering, penyewaan khemah dan Sistem Pembesar Suara, Kursus Fertigasi Lada, Penjualan Lada, Mengambil upah jahitan pakaian, langsir dan sebagainya, Kelas Jahitan untuk melatih ibu tunggal dan berbagai-bagai aktiviti untuk menjana ekonomi.
YKSNS berharap agar pihak-pihak yang mampu dapat membantu YKSNS mencari dana sama ada dengan memberi sumbangan ataupun memberi peluang-peluang pekerjaan dalam mana-mana aktiviti ekonomi yang dimiliki oleh YKSNS.
Akhir sekali, adalah menjadi harapan kami, paling kurang pun dapat mendoakan usaha-usaha murni ini menjadi rahmat Allah swt.

1 comments:

hamba ALLAH May 19, 2016 at 10:46 PM  

assalam..sya farah..sya mencari anak angkat jika ada blh hubungi sya 0175662498

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS