Peliklah

Tuesday, June 16, 2009

Dalam beberapa bulan saya menulis pendapat dan pandangan ini, pelik juga sikap orang yang memberi pandangan apabila perkara-perkara yang saya harapkan input dan pandangan tidak siapa pun yang sudi memberi pandangan tetapi perkara yang saya rasa tidak perlu diperbesarkan orang bersungguh-sungguh memberi komen sehingga lari daripada tajuk.
Sudahlah mereka tidak memahami intipati catatan tersebut kerana tidak berada dalam suasana keadaan tersebut terjadi malahan menambahkeruhkan keadaan. Apabila ada usaha untuk memperbaiki sesuatu isu maka teguran dibuat, bukan teguran itu diberi perhatian tetapi perkara lain diperbesarkan sehingga isu sebenar tenggelam tanpa perhatian. Manusia memang suka mengadu domba dan menjadi batu api. Kita suka melihat orang runtuh, rosak dan binasa. Catatan-catatan tidak menunjukkan kita memberi sokongan, kalau kita ikhlas memberi pandangan makna bukan sahaja kita akan mengkritik sewaktu seseorang melakukan kesalahan tetapi juga bersedia memberi pujian dan sokongan ketika seseorang itu melakukan yang terbaik. Lebih daripada itu, kita bersedia untuk memberi pandangan bagi isu-isu yang memerlukan percambahan fikiran.
Saya mengambil contoh beberapa kejadian dalam negara beberapa tahun lalu. Isu kes rogol dalam bas bercemin gelap. Bincang pun bincang, debat pun debat akhirnya yang dihukum ialah semua bas tidak boleh bercermin gelap. Manusia yang buat salah, bas yang dihukum ! Kalau nak disebutkan banyak sehingga dengan keriuhan ayam berkokok tadi sebab dia bertelur sebiji menyebabkan cerdik pandai gagal melihat isu sebenar lalu bas yang tidak berperasaan dan bernyawa dihukum begitu rupa. Lalu redhalah bas tersebut...
Begitu juga isu serbuan-serbuan ke rumah perjudian, pub dan sebagainya, akhirnya yang salah ialah orang yang menjalankan tugas kerana sebab-sebab teknikal. Bukankah isunya orang Islam berjudi dan bermaksiat yang sepatutnya menjadi fokus. Sekali lagi dengan kebijaksanaan kita berhujah cempodak nak jadi nangka, anak boyan nak jadi raja, ( Ini peribahasa bukan menghina )
Ulasan yang diberikan juga apabila dinilai secara terperinci datangnya daripada kaca mata peribadi dan memuntahkan apa yang terkandung dalam hati tanpa memahami senario polemik dan hanya seolah-olah terasa hati.
Segala catatan yang dibuat tidak merujuk kepada sesiapapun dan ketika mencatatkannya pun tidak pernah terlintas untuk ditujukan kepada sesiapa. Ini bermakna pembicaraannya adalah umum dan tidak menjurus dengan menyebut seseorang secara tepat dan menyerang peribadi mereka.
Saya mengalu-alukan catatan yang membina dan positif penuh dengan idea untuk penambahbaikan. Secara solo saya tidak mampu untuk melihat semua perkara maka melalui sudut pandangan pelbagai pihak dapat membantu memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi kita.
Bukankah kita diajar supaya bersopan santun sesama manusia, lalu saya terpanggil untuk meminta maaf jika apa yang disebutkan tidak berbudi bahasa dan mengundang untuk pembicaraan yang lebih positif.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS