Ibu Dulu Dan Ibu Sekarang
Monday, July 13, 2009
Perjalanan dalam dunia kebajikan memerlukan komitmen, kesungguhan dan tidak mudah putus asa. Kalau hanya berbekalkan semangat ataupun meniru-niru ataupun saja-saja maka kemungkinan besar kita akan kecundang. Tersungkur ! Bukan berapa kali jatuh menjadi persoalan tetapi berapa kali kita bangun apabila terjatuh menjadi perkiraan dalam menentukan ketulenan perjuangan.
Mereka yang melibatkan diri hendaklah bersedia untuk mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit. Adakalanya mungkin perlu mengorbankan perasaan, hak diri sendiri dan waktu senggang. Kita akan dihubungi bertalu-talu, deringan berganti deringan, terutama ketika waktu-waktu kritikal. Bagi mereka yang memerlukan pertolongan, segala-galanya perlu cepat dan pantas, segala-galanya perlu tip top. Mereka mengharapkan komitmen tinggi daripada kita tanpa memikirkan bahawa kita juga adalah manusia biasa seperti mereka. Juga penuh dengan masalah dan keperluan diri untuk diselesaikan. Jika deringan telefon tidak disambut mungkin kerana dalam mode silent atau tengah solat ataupun tengah ada dalam toilet maka akan tibalah SMS meluahkan perasaan. Segala-galanya perlu ditelan begitu sahaja. Hanya Tuhan tempat kita mengadu sebagai insan yang lemah agar diberi kekuatan menghadapi karenah rakan-rakan kita. Ini belum staff kita. Masing-masing pun ada ceritanya yang tersendiri jugak. Masing-masing pun ada tanggungjawab, ada anak dan keluarga untuk diurus ! Pernahlah juga ada orang datang jumpa saya mengatakan bahawa masalah keluarga orang selesai, keluarga sendiri terbarai !
Bak kata P Ramlee, Cobaan-Cobaan !!
Adakala tidak terkawal juga !
Jika ada orang telefon kita untuk meminta pertolongan, kalau 3 pagi, 3 pagilah kita pergi mencari dia. Tapi kalau kita perlukan pertolongan tiada siapapun disamping kita melainkan Allah swt. Sekali peristiwa ada seorang singh datang ke pejabat. Dia mengatakan pada saya bahawa melalui saya ramai orang akan mendapat bantuan dan pertolongan tetapi apabila diri sendiri memerlukan pertolongan yang akan ada hanya ALlah swt. Dia cakap benda ini pada saya tahun 2000. Pada masa itu, saya belum menubuhkan YKSNS. Kalau saya menelefon orang minta tolong mesti penting dan saya memerlukan pertolongan. Kalau saya boleh buat sendiri, jarang saya susahkan orang. Cuma akhir-akhir ini saya banyak menyerahkan kerja kepada warga YKS dengan tujuan memberi latihan kepada mereka.
Didikan keluarga saya termasuk ibu dan ayah saya, walaupun bukanlah beragama Islam tetapi saya prihatin terhadap kesusahan orang. Keluarga kami banyak membantu orang. Zaman-zaman dulu beras susah nak dapat. Seringkalilah ramai jiran datang ke rumah minta bantuan dan meminjam beras. Atuk saya garang, dia tak bagi ! Tapi secara senyap-senyap nenek saya akan bagi dan saya pun akan turut membantu. Atuk saya tau, tapi biasanya dia diam jer. Merungut-rungut sikit. Esok bila dah cari duit sendiri tau lah, susahnya cari duit, rungutnya.
Sejak saya melibatkan diri dalam Pengakap pada tahun 1978 hingga tahun 1989 dan selepas kembali ke pangkuan Islam pada tahun 1989 dan hinggalah sekarang, asal ada sahaja orang yang memerlukan bantuan, saya tidak bertangguh. Keluar dengan serta merta. Sesuai dengan slogan dan cogan kata pengakap, Selalu Sedia = Be Prepared. Keluarga memahami. Ibu memahami. Ayahpun memahami. Begitulah kisahnya kehidupan kita dalam dunia kerja-kerja kebajikan. Bukan dakwah lagi tau. Sehinggalah Ustaz Jaafar bin Muhammad menggelarkan saya dan kawan saya Muhammad Nur sebagai Rambo. Kerja kita seperti panah terlepas daripada busarnya, Cuba bayangkan panah terlepas daripada busar! Pantas, Cepat dan Tepat menuju sasaran. Baru je rasa letak telefon dah sampai... Masya Allah... Tak percaya tanya Ustaz Jaafar.
Kalau kita masih terikat dengan tanggungjawab yang tidak memungkinkan kita untuk berkhidmat di dunia kebajikan seperti ini, biarlah kita berkhidmat dengan keluarga dan ibu bapa terutama dengan Isteri. Jangan buang masa untuk menyertai Pasukan Front Line YKS kerana bakal menyusahkan diri sendiri. Jangan bercita-cita untuk menjadi sukarelawan sebab masalah sendiri pun belum selesai lagi. Lebih-lebih lagi ibu, ayah atau isteri tidak memahami situasi kerja kita. Menyusahkan sahaja.
Kalau saya diperlukan menyumbang tenaga bakti dan sesuatu permintaan adalah pada tahap kritikal lalu saya mesti dapatkan kebenaran dan lesen daripada ibu saya, ayah saya dan isteri saya maksudkan saya yang memerlukan pertolongan lalu eloklah hentikan sahaja niat untuk menyertai kumpulan ini. Baik kita duduk rumah dan tolong masak untuk ibu dan isteri kita tentunya dapat pahala dan keredhaan. Jangan sibuk-sibuk daftar sukarelawan. Biarlah kumpulan kita kecil dan berkualiti. Keluarga dididik dan difahamkan bahawa tugas utama kita adalah untuk beribadat kepada Allah swt. Baik daripada picit kaki ibu dan isteri / suami hinggalah berjuang untuk bangsa dan negara adalah ibadah. Tapi memahami tahap dan kedudukan kita akan memberi impak lebih kepada hasil sesuatu kerja yang dilakukan.
Hati untuk membantu orang adalah anugerah luar biasa Allah swt. Bukan boleh dibuat-buat atau direka-reka atau diada-adakan. Gifted kata orang putih, kalau salah eja maaflah. Sungguh sakinahnya berbeza. Pada masa orang sibuk untuk meningkatkan status hidup dengan kekayaan, harta dan pangkat, orang ini berhabisan, bergolok gadai dan menanggung hutang orang kerana ingin berbakti dan membuat kebajikan. Asal ada sahaja orang susah nak mulakan perniagaan, tanpa berfikir panjang kita bantu. Kalau fikir panjang memang tak bagi. Asal ada sahaja orang datang minta kerja, keluarga susah, baru lepas mengaji, nak kumpul wang untuk menyambung pelajaran, kita wujudkan kerja dengan tujuan membantu. Pengorbanan demi pengorbanan hanya untuk Allah swt. Bagaikan burung berteduh, reda ribut angkat punggunglah dia. Tapi sering kali, hasrat tinggal hasrat, harapan tinggal harapan, akhirnya berkubur tanpa batu nesan. Maka kenalah kita selesaikan sisa-sisa peninggalan mereka di atas batu jemala patik untuk dibereskan. Demikianlah kisah kehidupan seorang pengembara dalam dunia kebajikan, belum dakwah lagi tau!
Teringatlah plak satu kisah yang baru dibaca. Seorang pengembara mohon tumpang menginap di sebuah kampung terutama di sebuah rumah. Lalu diberi salam, menjawabnya seorang wanita yang sedang bersiap-siap untuk makan roti yang baru dibuatnya. Suaminya tiada di rumah. Pengembara menyatakan hajat lalu ditanya wanita itu, kenapa dipilih tempat ini, tiadakah tempat yang lain. Pengembara menyatakan maksudnya lalu dibiarkan sahaja wanita itu. Mulalah wanita itu makan dan minum.
Sewaktu pengembara sedang berehat lalu pulanglah suami wanita tersebut dengan membawa susu di tangan. Dilihatnya seseorang sedang berehat lalu ditanya hajatnya. Suami gembira dengan kedatangan pengembara tersebut dan meraikannya sebagai tetamunya. Suami tersebut menjemput pengembara minum susu yang dibawanya. Kemudian suaminya tersebut masuk ke dalam rumah dan didapatinya isterinya sedang makan dan sudahlah habis kesemua roti. Lalu dimarahi suami akan perbuatan bakhil isterinya tidak melayan tetamu mereka. Suaminya memukul isterinya sehingga terluka isterinya di kepala kerana tidak memberi makan kepada tetamu.
Keluarlah si suami berjumpa dengan tetamu lalu ditanyakan boleh kah disembelih unta tetamunya sebagai hidangan hari ini dan si suami akan mengganti dengan unta yang lebih baik. Pengembara bersetuju lalu mereka makanlah bersama-sama. Keesokan harinya seperti yang dijanji, tuan rumah membawa seekor unta yang lebih baik dan diserahkan kepada pengembara sebagaimana yang dijanjikan. Selain itu, pengembara tersebut dibekalkan dengan daging dan makanan.
Pada hari keduanya pula, pengembara tersebut singgah di sebuah rumah di kampung lain. Selepas memberi salam dan menyatakan hajatnya untuk bertamu, pengembara berehat. Secara kebetulan pula, yang ada dalam rumah tersebut ialah seorang wanita. Suaminya tiada di rumah. Wanita tersebut telah menghidangkan roti yang diperbuatkan kepada pengembara sehingga habis kesemuanya. Sekembalinya suaminya ke rumah, ditanyakan siapa yang duduk tu, maka diceritakan isterinya hajat tamu tersebut. Dengan marah-marah kepada isterinya kerana membenarkannya berehat, si suami bertanyakan makannya. Isteri menjawab, semua roti telah habis dihidangkan untuk tamunya itu. Lalu suaminya memukul kepala isterinya hingga luka.
Melihatkan perkara ini, pengembara ketawa. Si suami bertanya mengapa kamu ketawa. Maka dijawab pengembara tersebut. Semalam saya singgah di kampung sana, seorang wanita kena pukul jugak sebab tak bagi makan kepada tetamu dan hari ini seorang wanita kena pukul sebab memberi makan pulak.
Setelah ditanya detail tentang tuan rumah semalam, maka dijawab tuan rumah kedua bahawa isteri orang yang kena pukul semalam itu adik saya dan suami orang yang memukul itu abang dia.
Pengembara: PATUT PUN, kalau dah kedekut tu, kedekut jugak..
Marilah kita berdoa agar Tuhan mengurniakan kita hati yang baik !
Sekali peristiwa lagi ( Relate Dengan Tajuk Tulisan )
Ibu: Sedang menangis teresak-esak sambil duduk. Lalu ditanya orang mengapa begini keadaannya. Maka dijawab ibu tersebut, aku sungguh sedih sebab semua anak lelakiku sudah mati kerana mengambil bahagian dalam peperangan bersama-sama Rasulullah saw. Lalu dijawab orang, bersabarlah menghadapi ujian Tuhan. Maka dibalasnya ibu tersebut dengan mengatakan bahawa aku menangis bukan mengenangkan kematian anak-anak lelakiku. Aku menangis kerana sudah tidak ada lagi anak-anak lelaki untuk dihantar berjuang bersama-sama Rasulullah saw.
Ibu-ibu dulu dan ibu-ibu sekarang, jauh bezanya.
tentulah itu Rasulullah saw, ko sapo ??
Begitulah kisahnya untuk dibuat peringatan dan sempadan...
0 comments:
Post a Comment