Prihatin

Friday, July 24, 2009



  1. Setiap daripada kita telah ditentukan haknya oleh Allah swt. Melatih hati untuk tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah swt adalah menjadi tanggungjawab kita. Jangan biarkan hati melilau tidak menentu, usah ikutkan akal dalam menyamaratakan hak berpandukan akal semata-mata. Akal hanya mampu memproses apa yang telah disajikan kepadanya. Latar belakang hidup, persekitaran, budaya, rakan sebaya, kerjaya akan membentuk corak pemikiran manusia. Oleh itu janganlah kita sembrono dalam melayan kehendak akal yang tidak berasaskan Al Quran.


  2. Para pembaca adalah dengan ini dijemput untuk meluangkan masa dan fikiran untuk melihat sejauhmana peranan dan sumbangan kita untuk menunaikan tanggungjawab dan hak orang yang memerlukan. Kita sebagai kelompok manusia yang dikatakan sesempurna ciptaan pasti juga tidak terlepas daripada segelintir yang dilahirkan dengan ketidaksempurnaan sama ada ketidaksempurnaan akal mahupun fizikal. Mereka yang agak bernasib baik dapat kekuatan untuk memenuhi keperluan hidup melalui pelbagai kerja. Pernahkah saudara saudari melihat adanya orang-orang tertentu yang menyanyi lagu sambil memetik gitar ataupun memainkan alat-alat muzik di tempat-tempat awam ? Saya tidak maksudkan penyanyi profesional yang membuat pentas pertunjukan dan mengadakan konsert-konsert tetapi saya merujuk kepada penyanyi-penyanyi yang tidak diundang, malahan tidak terkenal langsung mengadakan pertunjukkan tanpa mengenakan apa-apa bayaran cuma mengharapkan ihsan orang yang lalu lalang agar tersentuh hatinya untuk memberi sedikit sumbangan. Salah satu pemerhatian saya tempoh hari, penyanyi seperti ini adakalanya tidak dipedulikan langsung oleh orang yang lalu lalang!


  3. Seringkali juga menjadi kemusyikalan, bukankah kita mempunyai agensi-agensi kerajaan untuk mengambil kira keperluan mereka. Bukankah negara kita mempunyai kaedah penyelesaian, pemberian bantuan berkala, bantuan penginapan dan pelbagai latihan pembangunan diri untuk golongan ini? Mengapakah masih terdapat kumpulan-kumpulan ini berusaha untuk mempamerkan dan mempromosikan diri untuk mendapatkan simpati dan sumbangan ?


  4. Dan apakah kita sudah melupakan hak mereka ? Mereka mempunyai hak di sisi kita. Kalau mereka keluar untuk mengadakan pertunjukkan ataupun persembahan dengan tujuan untuk menunjukkan bakat dan kebolehan, itu adalah sesuatu yang patut benar dibanggakan. Tetapi kalau mereka keluar menuntut hak mereka untuk mendapat perlindungan, sesuap makanan ini adalah sesuatu yang memalukan. Apakah yang terjadi sehingga mereka terpaksa turun padang untuk meraih simpati masyarakat supaya mereka dibantu ?


  5. Tugas siapakah untuk mendidik , memberi pengajaran dan menyediakan mereka untuk menghadapi hari muka yang penuh cabaran. Jika kita merenung muka-muka mereka sudah tentu terlihat harapan dan bakal lahir simpati. Namun dengan kita pun mempunyai masalah tersendiri dan kemampuan yang terhad cita-cita untuk menolong menghulurkan sumbangan hanya tinggal kenangan dan sejarah sahaja. Bukan kita tidak mahu membantu tetapi kita tidak mampu membantu. Sebab kita punya banyak komitmen dan masalah jugak...


  6. Ada juga suara-suara sinis mempertikaikan tujuan dan maksud penganjur. Penganjur sering mendapat tohmahan orang awam. Ada pihak mempertikaikan niat penganjur ataupun pengelola rumah-rumah kebajikan seperti ini dengan mengatakan bahawa OKU sering disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri. Tetapi pernyataan seumpama ini adalah sesuatu yang negatif dan bersifat prejudis. Pada hemat saya, jika kita tidak mampu berkhidmat seperti mereka, sekurang-kurangnya kita cuba membantu atau paling kurang pun kita berdiam diri atau mendoakan kejayaan mereka yang mempunyai hati yang murni untuk membantu golongan yang memerlukan.
  7. Pada pandangan saya, kita hendaklah melatih diri kita untuk memberi bantuan sekadar kemampuan kita kepada golongan yang memerlukan. Jangan kita biarkan mereka bersendirian dan datang ke tempat-tempat awam untuk meraih simpati.
  8. Semoga kita akan dapat menjadi lebih prihatin untuk menghadapi golongan yang memerlukan keprihatiann golongan yang bernasib baik yang tidak diduga dengan ujian perit seumpama itu.
  9. Namun di samping kecacatan dan kurang upaya golongan ini, kita kena syukur Alhamdulillah kerana mereka tidak cacat dalam mengenal Allah swt. Cacat anggota tak mengapa tetapi kalau cacat hati dalam mengesakan Tuhan, itu sesuatu yang lebih pilu lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS