Personaliti Seseorang...

Wednesday, August 19, 2009

Dalam keadaan tertekan biasanya ketrampilan diri kita agak tergugat dan terganggu. Bukanlah tingkah laku dan personaliti manusia itu terbentuk sehari dua. Tingkah laku dan personaliti manusia ini terbentuk dan mengambil rupa dalam jumlah waktu yang sama dengan usia batang tubuh kita. Keadaan persekitaran, peranan keibubapaan, rakan dan handai taulan, minat dan berbagai-bagai lagi perkara mempunyai peranan dalam membentuk budaya dan tingkah laku kita.
Umumnya manusia mempunyai dua personaliti. Personaliti yang zahir dalam keadaan normal dan spontan dan satu lagi personaliti yang zahir dalam keadaan seseorang dalam tekanan. Seseorang yang kelihatan nyaman, tenang dan tenteram dalam suatu keadaan boleh berubah menjadi resah gelisah, berkecamuk, pemarah dalam keadaan yang lain. Perkara ini menunjukkan bahawa tiada sesiapa pun yang secara suka-suka ingin membuat masalah. Kemungkinan yang ada ialah seseorang yang secara suka-suka menimbulkan masalah adalah hampir mustahil kecuali berada di luar keseimbangan mental.
Melalui pemerhatian dan pengalaman interaksi kita, terutama apabila memperkatakan tentang tingkah laku, kita tidak dapat lari daripada menjadi diri kita sebagai subjek rujukan dan respon daripada luar pula secara relatif untuk mencari sebab musabab sesuatu peristiwa. Kita tahu bahawa kalau kita hendaklah dihormati, kita terlebih dahulu mesti menghormati orang. Kalau kita mahu orang lain melayan kita dengan baik, kita mesti melayan orang dengan baik juga. Namun ada jua situasi di mana terdapat segelintir orang bereaksi tidak seperti itu. Mereka mahu mereka dihormati tetapi mereka tidak pula suka menghormati orang. Mereka menuntu supaya hak mereka ditunaikan tetapi mereka tidak pula menunaikan hak orang lain.
Malulah apabila kita suka melihat atau mendengar orang meminta maaf kepada kita. Seolah-olah kita mulia. Amat malu rasanya apabila ada hamba Allah berperangai seperti tuan. Terlalu banyak kelemahan dalam diri kita, menyebabkan adakala hati tertanya-tanya layak kah kita menjadi orang kepercayaan Allah swt.
Menasihati diri lebih baik daripada menasihat orang lain. Harap-harap dapatlah kiranya kita menghakis perasaan ketuanan lalu membentuk perasaan kehambaan kepada Allah swt. Janganlah sekali-kali kita melayan orang seperti mereka tidak ada harga diri. Setiap manusia ada perasaan, maruah dan penghormatan. Rasa bangga terhadap diri, rasa kepercayaan kepada diri, rasa diri itu berharga amat tinggi nilainya kepada manusia. Jangan kita bertindak merosakkan self esteem ini. Kegagalan kita melihat perkara ini merupakan kerugian besar. Seseorang yang sepatutnya menjadi aset akan menjadi beban jika kita gagal mengurus situasi ini. Seseorang yang sepatutnya menjadi rakan dan sahabat bakal bertukar menjadi musuh jika kita gagal menanganinya.
Apalah salahnya kita menghormati manusia tidak kira pangkat, rupa, bangsa, bahasa dan warna kulit. Apa salahnya kita menghormati manusia yang ingin bertanya. Ke manakah hilang sopan santun dan budi bahasa ? Eloklah saya bertanya soalan ini pada diri sendiri kerana yang penting sesuatu peristiwa merupakan pengajaran dan teladan kepada diri kita sendiri dan datangnya dengan izin Allah swt.
Diri saya tidak terbelenggu dengan perintah dan arahan. Jauh sekali kerana kebendaan dan dunia. Diri saya memiliki kebebasan yang sebebas-bebasnya. Tunduk patuh hanya pada panggilan kasih sayang dan kemanusiaan demi kerana agama dan tanggungjawab. Memiliki Allah swt dalam diri tidak sama dengan memiliki dunia dan isinya. Dari dalam hati yang sama boleh lahir kebencian dan boleh semerbak wangian kasih sayang. Dari hati yang sama boleh mengalir air mata suara sebak dan boleh meledak mengaum sehebat dentuman petir dan kilat.
Hanya Akidah anak itu menjadi keutamaan !

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS