Hiasi Diri Dengan Doa Nabi Yunus

Monday, August 17, 2009

Tidak akan datang mudarat kecuali hanya dengan kehendak dan izin Allah swt. Dengan keyakinan ini marilah kita menghadapi persoalan wabak yang melanda negara. Walau bagaimanapun ikhtiar hendaklah diteruskan dengan bersungguh-sungguh sebelum kita menyerahkan kepada takdir. Wabak ini hendaklah dipergunakan untuk melahirkan rasa kehambaan atas kudrat dan kekuasaan Allah swt terhadap hamba-hamba Nya. Malahan kedatangan bencana adalah sebagai peringatan akan kasih sayang Allah swt bahawa dunia ini bukan maksud sebenar. Kehidupan akhirat adalah yang kekal abadi. Semoga peringatan daripada wabak ini dapat dipergunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. H1N1 hanyalah sebab musabah kematian, hakikatnya ajal maut adalah keputusan Allah swt. Sementara keputusan itu tiba, marilah kita bertaubat dan menghadapinya tanpa sebarang kebimbangan.
Kita perlu menumpukan perhatian secara serius untuk menangani masalah wabak H1N1. Apa sebenarnya sedang berlaku ini ? Laporan berita yang didengar agak mencemaskan. Sahabat handai, kawan-kawan, anak-anak murid dan kenalan terlibat pula dalam wabak ini. Mereka yang berurusan secara langsung dengan orang ramai juga nampaknya terdedah secara meluas dan tidak terkawal. Apa tidaknya, penyebarannya melalui udara, sudah tentu setiap daripada kita memerlukan oksigen.
Sesekali apabila kita mendengar berita tentang penyebaran wabak ini, kita pun turut terasa mempunyai tanda-tanda wabak tersebut. Sekonyong-konyongnya lah kita pun batuk , terasa deman dan selesema. Begitulah agaknya ketakutan yang menimpa kalau tidak pun secara menyeluruh mungkin setengah-tengah pihak termasuk penulis.
Ketika tiba bulan Ramadhan sudah tentu umat Islam akan menunaikan ibadat puasa, ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dan ibu bapa terutama memikirkan hampirnya peperiksaan PMR dan SPM juga mengundang kerisauan kepada mereka yang terlibat. Kerja-kerja dan tugasan perlu dilakukan seperti biasa supaya keadaan tidak kucar kacir.
Marilah kita sama-sama banyakkan membaca doa Nabi Yunus ketika dalam perut ikan ! Insya Allah hampir semua daripada kita menghafalnya, hiasilah diri kita dengan bacaan tersebut dengan keyakinan bahawa ' ... tiada daya upaya dan kekuatan kita melainkan hanya dengan kehendak Allah swt..'

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS