Tuesday, October 27, 2009
1. Komuniti Saudara Baru perlu mendapat perhatian khusus untuk memastikan mereka dapat memperolehi jati diri sebagai umat Islam. Walaupun kita tidak dapat menafikan diri mereka sendiri lebih penting untuk melakukan perubahan. Jika mereka tidak mahu berubah, tiada siapa akan dapat mengubah mereka. Kita tidak boleh meletakkan ataupun melabel sesiapa sebagai orang yang harus memikul kesalahan melainkan menegaskan bahawa individu itu sendiri mesti mempunyai arah tuju yang jelas apabila melakukan perubahan dalam diri dengan kembali kepada Islam.
2. Dalam kepelbagaian tujuan dan matlamat seseorang itu menerima Islam, hakikat yang pasti adalah adanya petunjuk dan hidayah Allah swt. Melalui pendidikan dan program-program pengupayaan ( empowerment ) kita dapat mewujudkan celik akal ( insight ) komuniti ini supaya dapat memperkuatkan keimanan dan keyakinan kepada Allah swt.
3. Kekuatan dan kesepaduan sokongan pelbagai agensi secara holistik amatlah membanggakan di Negeri Sembilan. Tapi isunya ialah persediaan pendakwah, pendekatan, ilmu, kajian dan penyelidikan, latihan adalah tidak mencukupi. Kita kurang membuat persediaan, kalaupun kita melakukan persediaan hanya pada tahap tangkap muat sahaja. Modal kita adalah modal lama. Kita berpuas hati dengan modal dan pendekatan lama dan dibawa ke mana-mana. Dunia berubah sepantas kilat, pihak-pihak lain bertungkus lumus bersaing dengan perubahan cita rasa manusia. Kalau kita ambil contoh artis, kita akan dapati mereka berlatih berbulan-bulan dengan mengadaptasi pelbagai kemahiran dan gaya persembahan setelah membuat kajian teliti berhubung cita rasa penonton mereka. Tetapi pendakwah masih menggunakan metod lama. Kajian-kajian yang dilakukan oleh pelbagai agensi sama ada kerajaan ataupun NGO tidak berapa diketengahkan atau didedahkan kepada umum. Hasilnya, usaha dakwah hanya menunggu orang datang masuk Islam.
4. Dulu pernah saya menulis mengenai adanya 7 orang sekeluarga ingin kembali kepada Islam. Mereka telah dibawa untuk pendaftaran tetapi disebabkan gaya cara menanganinya menyebabkan salah seorang menarik diri dan menangguhkan untuk memeluk Islam. Jadi hanya 6 orang sahaja yang berjaya diislamkan. Sampai sekarang ahli keluarganya yang satu lagi tidak 'jadi' memeluk agama Islam gara-gara pertikaikan menggunakan nama asal di salah sebuah pejabat pendaftar saudara baru. Orang dah masuk dalam kubu kita boleh terlepas.
5. Mengapa ini semua berlaku ? Berlaku mungkin disebabkan kita tidak prihatin dengan tanggungjawab kita.
6. Persoalan kewangan bagi usaha-usaha dakwah di Negeri Sembilan, saya fikir tiada masalah. Tiada sebarang keluhan, rungutan dan tidak puas hati. Kita boleh mengurus dengan sumber yang ada dan bersyukur di atas sokongan yang diberikan. Persoalan kita ialah kesepaduan kerja dakwah, bukan bersaing sesama sendiri tetapi bersama-sama ke arah matlamat. Saling melengkapi di antara satu sama lain.
7. Adakah masih boleh impian ini tercapai ? Adakah NGO dan Agensi Kerajaan boleh bagaikan aur dengan tebing dalam menangani isu-isu melibatkan saudara baru ?
7.
0 comments:
Post a Comment