Kita memerlukan jaringan kerjasama yang mantap, bersepadu dan tidak mengira masa. Usaha-usaha perlu dilakukan untuk membina jaringan yang mantap dan bersepadu di antara Jabatan Kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kedaulatan Agama Islam dan Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk individu-individu yang bersungguh-sungguh dalam usaha memperhambakan diri kepada Allah swt.
Kita hendaklah sama-sama turun pandang untuk membantu menyelesaikan segala permasalahan yang melibatkan urusan keagamaan. Selain daripada program pengupayaan berbentuk seminar, forum, kursus dan sebagainya, keutamaan juga harus diberikan kepada program out reach untuk mendidik masyarakat, memberi kesedaran dan panduan mengenai sesuatu perkara yang menjadi isu dalam masyarakat.
Apalah makna kita mengaku umat Nabi Muhammad saw tetapi tetamu kita persiakan, kehadirannya dianggap menyusahkan dan membebankan. Urusan dan sakit peningnya tidak diambil peduli. Pangkat dan kuasa menutup mata. Memandang manusia dengan pandangan hina. Kalau beginilah orang yang diberi amanah untuk menjalinkan ukhuwah adakah akan berjaya !
Kita mengambil pengajaran atas apa yang berlaku. Sesuatu yang kita tidak suka dilakukan kepada kita, jangan kita lakukan pada orang. Kalau ada tetamu datang walaupun rupanya tidak terurus, berselipar jepun layanlah dengan baik. Tidak kiralah mereka datang ke pejabat ataupun ke rumah. Kalau datang ke pejabat pun kita tak layan, masakan kita akan jemput mereka ke rumah.
Di mana silapnya jaringan kerja dakwah kita sehingga kita tidak dapat berfungsi dengan baik. Kita cemerlang dapat menghabiskan duit tetapi hasilnya tiada. Saya mengambil contoh aktiviti yang saya sendiri buat. Itulah sebabnya saya tidak berminat untuk membuat program berbentuk kursus dan seminar. Belanjanya lebih besar. Cuba lihat sendiri, apabila sesuatu program dibuat belanja persediaan lebih besar daripada perbelanjaan yang dimanfaatkan untuk klien. Sewa khemah, sewa kerusi meja, sewa bas, kain rentang, hiasan dan sebagainya lebih besar adakalanya daripada perbelanjaan untuk peserta.
Sedangkan ramai orang susah. Jika kita dapat membawa jumlah wang yang dibelanjakan untuk majlis keramaian terus kepada rakyat yang susah barulah tercapai maksud rakyat didulukan, pencapaian diutamakan. Sesuatu majlis yang dibuat di atas nama saudara baru, adakah saudara baru yang diraikan ? Ada majlis yang berjaya mencapai matlamat manakala kebanyakannya tidak ! Termasuk yang dibuat oleh saya sendiri menghadapi masalah yang sama.
Kami di YKSNS kini menumpukan aktiviti yang boleh diukur pencapaiannya, contohnya menukar kad pengenalan, mengajar solat, menyediakan kemudahan makan minum dalam tempoh perlindungan, berusaha untuk mendapatkan pekerjaa, cuba menyediakan pekerjaan untuk saudara baru, berusaha memperbaiki hubungan kekeluargaan saudara baru yang bermasalah kerana perpindahan agama. Lebih praktikal dan boleh diukur sama ada berjaya dilakukan ataupun tidak.
Kami meminta pertolongan agensi kerajaan hanya bagi perkara di luar kemampuan kami. Perkara-perkara yang melibatkan perundangan seperti pendaftaran masuk Islam kami terpaksa rujuk kepada agensi agama, apabila melibatkan soal perundangan hak penjagaan kami terpaksa merujuk kepada agensi agama. Malanglah, kami tidak mendapat pertolongan yang sewajarnya dan sepatutnya daripada agensi berkaitan.
Apabila ada pihak bertindak dengan kasar, pegawai kerajaan bergegas-gegas buat kerja tetapi apabila diminta dengan penuh sopan santun mereka tidak memberi perhatian. Lahirnya orang-orang yang dianggap kurang ajar adalah berpunca daripada cara kerja sesuatu agensi dan respon yang diberikan mengikut situasi orang yang berurusan.
Kalau ingin mencapai sesuatu matlamat dan apabila terbukti bahawa apabila seseorang mengambil aplikasi kasar untuk bertindak lalu tercapai matlamatnya maka ianya menjadi standard kepada orang lain bahawa berurusan dengan agensi ini mestilah dengan gaya samseng kalau nak dilayan.
Kita ada piagam, kita ada tatacara kerja dan macam-macam lagi tapi amalan praktisnya tiada ataupun pada ukuran piawaian yang rendah. Kalau kita bandingkan SOP paderi kristian dengan pendakwah kita - kita jauh ketinggalan.
Saya memerlukan bantuan, tolonglah bukan untuk diri saya tetapi demi agama. Raikanlah saudara baru - tolonglah....
Kalau tak sanggup letak jawatan dan bagi kepada orang lain yang mampu dan layak. Ramai ustaz-ustaz yang lain berkelulusan dan prihatin. Pilihlah yang mampu buat dan penuhi tanggungjawab.
Pejabat-pejabat bos besar mestilah mempunyai tingkap supaya mereka dapat melihat di sekeliling sebelum membuat sesuatu keputusan dan dasar. Tinjaulah nasib kami sebagai saudara baru dan rakyat !
0 comments:
Post a Comment