Kaunselor sebagai Agen Perubahan Sosial

Thursday, November 12, 2009

1. Kita harus berbangga dengan adanya Pusat Kaunseling MAINS di Negeri Sembilan. Satu-satunya negeri di Malaysia yang telah maju selangkah ke hadapan untuk menawarkan perkhidmatan menolong secara profesional dan percuma. Perkhidmatan ini ditawarkan dengan setting yang menarik dan lokasi yang strategik ini mampu memenuhi keperluan semasa dalam setting perkhidmatan kesihatan mental.

2. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan juga harus dirakamkan kepada pihak pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan kerana memberikan pengikhtirafan dan sokongan padu untuk memastikan perkhidmatan kaunseling ini dapat dikembangkan ke beberapa daerah di Negeri Sembilan. Kalau tidak silap saya, yang terbaru ialah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pembukaan setting ini di beberapa tempat-tempat strategik akan memudahkan golongan yang memerlukan bantuan celik akal dapat melibatkan diri secara aktif dan memperolehi manfaat.

3. Sokongan YAB Dato Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan wajar mendapat perhatian dan penghargaan. Kewujudan Pusat seperti ini dengan dukungan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menunjukkan komitmen kerajaan dalam melihat pembangunan insan dan usaha-usaha pengupayaan diri secara serius yang disediakan untuk rakyat Negeri Sembilan khasnya.

4. Namun terpulanglah kepada rakyat Negeri Sembilan untuk mengambil manfaat di atas segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

5. Usaha-usaha murni ke arah pemurnian celik akal dan perubahan tingkah laku manusia melalui sesi kaunseling secara profesional hendaklah digunakan oleh masyarakat. Adalah amat merugikan jika segala perkhidmatan golongan profesional dan kemudahan yang disediakan tidak diambil peluang oleh kita. Terapi melalui sesi kaunseling yang disediakan oleh kaunselor profesional yang berdaftar, bertauliah dan terlatih hendaklah digunakan secara maksimum. Mereka berketrampilan dan terlatih untuk memberikan perkhidmatan kepada setiap daripada kita.

6. Kita perlu memiliki sedikit celik akal berhubung sesi kaunseling ini. Kekeliruan fungsi sesi ini menyebabkan ramai yang menyangka bahawa sesi kaunseling hanya untuk orang bermasalah sahaja. Sepatutnya sesi kaunseling boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja. Mereka boleh mendapatkan pelbagai maklumat berhubung personaliti diri, pemilihan kerjaya dan paling kurang pun sebagai suatu usaha muhasabah diri.

7. Dalam pada itu, kaunselor hendaklah memainkan peranan penting bagi memberi maklumat kepada orang ramai berhubung perkhidmatan yang diadakan secara serius kepada masyarakat. Amatlah merugikan jika perkhidmatan yang ditawarkan tidak dimanfaatkan kerana salah faham terhadap setting kaunseling itu sendiri. Di antara salah faham yang perlu diperbetulkan ialah kaunseling hanya untuk orang bermasalah, lelaki macho tak perlu kaunseling dan sebagainya. Remaja mempunyai persepsi yang salah terhadap kaunselor dan kaunseling. Dalam setting sekolah, pelajar dan guru-guru juga mempunyai persepsi salah terhadap kaunselor dan kaunseling. Perkara-perkara ini hendaklah dalam pengetahuan kaunselor dan usaha terancang untuk memberi penjelasan berhubung peluang-peluang yang ada dan celik akal yang bakal diperolehi hendak diberi tumpuan melalui seminar, ceramah atau bahan-bahan edaran.

8. Kaunselor juga hendaklah melebarkan skop bidang perkhidmatan mereka. Mereka hendaklah beralih daripada skop sempit kaunseling tradisional kepada kaunseling komuniti. Menunggu klien membuat temu janji, kemudian berharap mereka datang untuk meluahkan perasaan, walaupun mempunyai kesan signifikan tetapi mempunyai limitasinya yang tersendiri. Kaunselor perlu keluar daripada kepompongnya untuk menghadapi masyarakat, membuat kajian, penelitian dan pemerhatian untuk merangka kerangka kerja pengupayaan masyarakat. Kaunselor hendaklah berusaha mendekati masyarakat secara lebih efektif dan rajin supaya kehadiran mereka dirasai, wujudnya mereka diketahui maksud dan tujuannya oleh masyarakat. Jika kaunselor bersifat pasif dalam menghadapi salah faham terhadap profesion mereka dikuathiri menjadi seperti adanya tidak menambah, tiadanya pula tidak mengurang.

9. Kaunselor perlu menghadapi masyarakat, meninjau budaya remaja dan kecenderungan mereka seterusnya merangka pelan tindakan intervensi seterusnya melaksanakannya dengan cara turun padang menemui golongan sasaran yang dikenal pasti. Kaunselor tidak boleh mengambil pendekatan penjual ikan, buka kedai dan tunggu klien datang beli. Kaunselor perlu memberi pendedahan kepada sasaran kepentingan kaunseling, mengadakan lawatan dan rawatan ke tempat-tempat umum. Kaunselor perlu melibatkan diri dalam bidang penulisan rencana atau artikel, mengadakan program-program kunjungan mesra dengan menggunakan setting masjid, balai raya dan mengadakan perkhidmatan bergerak.

10. Saya yakin dan percaya bahawa manusia mempunyai potensi untuk berubah apabila mereka mampu membuat pilihan yang tepat dan bersesuaian dengan diri mereka. Mereka yang mempunyai kefahaman dan kesedaran hendaklah mengusahakan kefahaman dan kesedaran kepada sasaran yang lain. Kaunselor juga mempunyai peranan melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran seterusnya melahirkan kesedaran kepada klien. Tugas mulia ini milik setiap umat Nabi saw. Tugas inilah yang membezakan di antara umat Muhammad saw dan umat-umat terdahulu. Memikul tugas kenabian ini merupakan peranan mulia yang perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh mereka yang terlibat dalam profesion ini.

11. Kaunselor hendaklah berusaha untuk mewujudkan imej baru terhadap profesion mereka dengan memberi penjelasan terhadap kekaburan terhadap sesi kaunseling. Mereka hendaklah berusaha untuk menjuarai hati rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan. Kaunselor mempunyai tugas penting sebagai agen perubahan sosial. Mereka bertanggungjawab untuk mencetus kesedaran, melakukan usaha-usaha perubahan tingkah laku melalui terapi dan kepakaran mereka.

12. Kaunselor hendaklah keluar mencari klien dan bukan menunggu ketibaan mereka. Kaunselor mesti berusaha mengawal keadaan bukan membiarkan keadaan mengawal mereka. Apabila kita memperbanyakkan kaunseling komuniti akan memberi kesan positif kepada kaunseling individu. Limitasi kekurangan kaunselor dapat diatasi. Maklumat juga dapat disampaikan kepada mereka yang malu ataupun sibuk untuk mendapatkan temu janji sesi. Takut dianggap tidak matang sehingga perlu mendapatkan kaunseling. Pelbagai persepsi ini hendaklah dihapuskan.

13. Apabila sahaja kaunselor dapat menzahirkan diri mereka kepada masyarakat dan tidak lagi 'tersembunyi' dalam setting empat mata semata-mata maka bermula pada saat itu lebih banyak golongan yang memerlukan dapat memanfaatkan kemahiran dan ilmu mereka. Ini adalah amal jariah yang berpanjangan dan tiada berkesudahan...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS