Dana

Tuesday, November 10, 2009

1. Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan dan tidak bermotifkan keuntungan senantiasa memerlukan sokongan dan bantuan kewangan untuk bergerak lancar. Tanpa adanya sumber kewangan yang mencukupi kemungkinan pergerakannya agak terbatas.

2. Namun begitu, soal kewangan semata-mata bukanlah alasan untuk tidak bergerak. Aktiviti dan soal pencarian kewangan hendaklah bergerak seiringan. Lebih daripada itu, fokus dan harapan hendaklah tertumpu kepada Allah swt. Selain daripada usaha yang sungguh-sungguh, pergantungan harapan kepada Allah swt untuk mendapatkan pertolongan merupakan 90% daripada tangga kejayaan.

3. Saya yakin dan percaya bahawa apabila kita mempunyai niat yang betul dan ikhlas seterusnya memastikan prosesnya mempunyai ketelusan, insya Allah bantuan Allah swt sudah barang pasti tiba.

4. Keterbergantungan kita hendaklah pada tahap optimum kepada kekuasaan Allah swt lalu menumpukan usaha zahir secara bersungguh-sungguh dan menepati syariat. Kemenangan dan kejayaan bukanlah kerana kita dapat mengumpul atau memperolehi dana dan kewangan semata-mata. Bukanlah juga kemenangan apabila kita mendapat pengikhtirafan manusia di mukabumi ini tetapi kemenangan dan kejayaan adalah apabila dapat memperhambakan diri setiap masa dengan ketentuan Allah swt. Harapan kita adalah khidmat kita yang tidak seberapa ini moga-moga ada sedikit pandangan rahmat dan kasih sayang Tuhan.

5. Kita mempunyai niat untuk berdikrari bagi membangunkan organisasi kita. Pembangunan modal insan dan celik akal untuk memperhambakan diri kepada Allah swt semata-mata. Kita mempunyai hasrat untuk melihat pembangunan fizikal dan material yang seiring dengan pembangunan rohani. Kita memandang jauh kepada dengan pandangan positif adanya peluang-peluang dan sumber-sumber rezeki Allah swt untuk memperkasakan organisasi bagi tugas-tugas menyebarkan syiar Islam.

6. Kalau kita mencari wang belum tentu kita dapat mengurusnya tapi kalau kita mencari iman sudah tentu iman itu dapat mengurus dan memperbetulkan kita dalam memikul amanah dan tanggungjawab. Dalam menghadapi dugaan berbentuk fitnah dan kata-kata yang menyinggung perasaan hanya keikhlasan menjadi ubatnya. Umpat mengumpat dan fitnah merupakan sunatullah perjuangan. Bukan sahaja perlu bersedia melakukan pengorbanan fizikal dan material tetapi juga perlu bersedia untuk menghadapi pengorbanan perasaan, gangguan berbentuk cemuhan, pandangan negatif dan sebagainya.

7. Kita mempunyai matlamat yang besar, jelas dan khusus. Pengalaman yang ada mematangkan kita untuk menghadapi cabaran. Kita tahu bagaimana untuk mengenal pasti kawan dan lawan cumanya kita perlu sedar bahawa orang agama tidaklah curang dalam memberikan nasihat dan teguran. Kalau kita alpa dalam mengenal pasti perkara tersebut kita akan kehilangan kawan. Sahabat dalam perjuangan lebih penting daripada kawan. Lebih-lebih lagi persahabatan yang terjalin disebabkan matlamat perjuangan yang sama.

8. Mengorbankan perasaan kekitaan adalah tugas yang berat. Kita senantiasa berasa bahawa segala tindak tanduk kita betul lalu melahirkan perasaan tidak puas hati kepada orang lain. Kalau kita baling bola ke dinding, sunatullahnya ialah bola tersebut akan melantun balik kepada diri kita. Kalau kita mengkritik seseorang, sudah tentu mereka akan turut mengkritik kita. Tapi kalau kita berdiam diri daripada menyuarakan sesuatu perkara yang pincang walaupun pasti tahap kebenarannya sekurang-kurangnya dapat dijadikan teladan dan sempadan.

9. Berbalik kepada soal kewangan, usaha-usaha perlu digerakkan untuk mendapatkan dana bukan sahaja daripada agensi kerajaan tetapi juga daripada agensi swasta. Lebih penting daripada itu ialah kita hendaklah menggunakan aset-aset yang sedia ada untuk membangunkan ekonomi kita. Di antara perkhidmatan yang boleh diperolehi daripada YKSNS ialah

a) Perkhidmatan Katering untuk kenduri-kendara, aqiqah dsbnya
b) Perkhidmatan sewa PA Sistem
c) Perkhidmatan Mesin Rumput

10. Jika memerlukan perkhidmatan kami bolehlah berhubung dengan talian 06 4810092/0122.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS