Memperkasakan Saudara Baru Sebagai Duta Dakwah

Monday, November 2, 2009

1. Memperkasakan umat Islam terutamanya saudara baru merupakan tanggungjawab utama komuniti Islam kita. Golongan Islam yang telah berjaya secara kerohanian, material dan psikologikal hendaklah melibatkan diri sebagai agen perubahan untuk mencetus ruang dan peluang untuk sekumpulan minoriti yang dhaif. Dhaif yang dimaksudkan ialah kedhaifan kerohanian yang melanda umat Islam terutama saudara baru yang sekali gus memberi kesan kepada status ekonomi.

2. Mereka yang berjaya hendaklah berganding bahu membantu mewujudkan persekitaran yang responsif supaya saudara baru boleh berubah. Perubahan ataupun anjakan perlu dicetuskan dengan program celik akal. Manusia secara umumnya boleh berubah jika ada perlu untuk berbuat demikian. Dengan bantuan dan usaha manusia boleh mempertingkatkan diri mereka untuk mencapai kesempurnaan dan kepuasan hidup.


3. Membawa celik akal, mewujudkan persekitaran positif, menjalankan langkah-langkah mengenal permasalahan, merancang strategi dan mencadangkan perubahan ataupun anjakan adalah tugas utama agensi yang memikul tanggungjawab untuk membela masa depan saudara baru.


4. Apabila kita dapat mengusahakan suatu pendekatan dan menghasilkan Model untuk menggerakkan anjakan pada diri saudara baru sudah tentu kita dapat memacu perubahan. Kita perlu mempunyai suatu model yang dinamik untuk mencetus perubahan.


5. Menerima Kembali Agama Islam, Mengenal Pasti Masalah dengan membuat saringan, merangka dan merancang intervensi, mewujudkan celik akal, mengadakan latihan-latihan pembinaan jati diri, memperkukuhkan keyakinan kendiri, pembinaan kasih sayang akan menghasilkan saudara baru yang berkualiti, berketrampilan dan beryakinan. Sumber-sumber ini dapat kita bina dan seterusnya menjadikan mereka duta perubahan ataupun duta dakwah untuk menghadapi masyarakat lain. Saudara baru harus diperkukuhkan dengan pembangunan kerohanian, pembangunan fizikal daripada semua sudut sebelum mereka dapat dijadikan duta untuk membawa Islam kepada masyarakat.


6. Usahlah memandang mereka dengan prejudis. Elakkan pertikaikan niat mereka. Walau apa sebabpun mereka memeluk agama Islam, pastinya hanya kerana sumber hidayah. Pertikaikan niat seseorang bukan penyelesaian masalah. Ada orang dapat iman dan Islam secara kebetulan kerana ibu bapa mereka beragama Islam manakala ada orang mendapat hidayah mungkin kerana faktor perkahwinan, ekonomi dan sebagainya. Siapalah kita untuk mempertikaikan niat keislaman seseorang.


7. Mereka yang bertanggungjawab hendaklah membangunkan suatu model yang komprehensif untuk menjadikan saudara baru yang terpilih untuk menjalani latihan perkaderan dakwah secara tersusun. Mereka yang terlatih hendaklah dibantu untuk menjalankan kerja-kerja dakwah secara terancang dan berstrategi.


8. Kita mempunyai peluang besar untuk memenangi hati-hati masyarakat bukan Islam andaikata kita dapat menggunakan duta yang ada secara berkesan. Mereka yang diletakkan di bahagian pengurusan kebajikan saudara baru hendaklah membantu menasihati saudara baru supaya menjalin semula hubungan baik dengan keluarga asal dengan mempamerkan perubahan diri supaya dapat memancing jiwa-jiwa bukan Islam yang dahagakan titisan kasih Tuhan.


9. Jika kita melihat saudara baru lemah, tidak berkualiti ianya adalah berpunca daripada pemimpin organisasi itu sendiri. Kita perlu menyemak sejauhmana usaha-usaha yang kita telah lakukan untuk melahirkan komuniti saudara baru yang berdaya saing. Kita perlu membuat kajian, semakan dan penilaian program-program kita dengan mengajak bersama-sama semua pertubuhan bukan kerajaan yang ada agar usaha dakwah dapat dilakukan secara holistik. Pemimpin hendaklah berusaha menyatupadukan kesemua tenaga yang ada secara seragam dan bersepadu.

10. Saya begitu yakin dan percaya bahawa rakan-rakan seagama kita boleh mengetepikan perbezaan di antara mereka demi agama semata-mata. Matlamat perjuangan kita ialah agama Islam dan Allah swt semata-mata.


11. Perjuangkan saudara baru, perjuangkan komuniti lemah dan tidak berdaya saing hanya semata-mata kerana tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk mengubah diri. Perjuangkan suatu perkhidmatan untuk mencapai rasa kehambaan kepada Tuhan. Pergunakan semua sumber yang ada untuk membela mereka yang miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim piatu, perangi kejahilan dengan sopan dan santun tetapi tegas. Berani mencuba untuk mencadangkan pembelaan.


12. Kita harus mempunyai standard perkhidmatan untuk menentukan sumbangan kita kepada masyarakat. Pencapaian hendaklah boleh diukur secara realistik. Kita juga hendaklah berlapang dada untuk menerima teguran dan . sabar menjalankan perubahan. Kita tidak boleh selesa untuk seterusnya berada di dalam takuk lama, dibuai mimpi senantiasa.


13. Kita harus bangun, berusaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran. Berusaha untuk berubah, mengambil peluang di atas sifat Maha Kaya Allah swt. Kalau ada kezaliman dan penindasan harus diberikan pembelaan secara berhemah dan berhikmah. Mempertidakkan keEsaan Allah swt adalah suatu kezaliman. Namun bagaimana usaha kita untuk menyampaikannya secara berhemah dan berhikmah ?

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS