Perbalahan, Pertengkaran dan Selisih faham
Monday, November 16, 2009
1. Perbalahan yang berpunca daripada perbezaan pendapat akan menghasilkan pertengkaran yang merugikan kesemua pihak yang terlibat. Manakala ianya menjadi senjata utama musuh untuk memecahbelahkan perpaduan dan keutuhan ikatan masyarakat.
2. Perbalahan sering kali disebabkan harta, wanita dan kuasa. Segala perbezaan dan perselisihan faham adalah berakar umbi daripada percikan api yang menghasilkan rasa tidak puas hati ataupun dengki disebabkan faktor-faktor yang disebutkan tadi.
3. Kita boleh menegur ataupun mengkritik ataupun memberi pendapat namun soal akhirnya ialah apakah niat kita disebalik kritikan, teguran ataupun pendapat yang dinyatakan.
4. Gaya kita memberi respon terhadap sesuatu isu sering memperlihatkan corak pemikiran dan persepsi pandangan kita. Pandangan kita juga boleh melahirkan persepsi orang lain terhadap kritikan dan komen kita. Mungkin sukar untuk mengakui kebenaran dan niat di sebalik apa-apa teguran. Kita tidak dapat meneka dengan tepat apakah isi kandungan sesuatu teguran yang diberikan, biarkanlah menjadi rahsia kita bersama Tuhan. Namun teguran yang diberikan hendaklah dinilai mengikut rasional sesuatu teguran. Jika pandangannya mempunyai kewajaran maka pandangan tersebut hendaklah diberi perhatian dan diambil tindakan tanpa melihat siapa dan apa rupa orang yang memberi pandangan. Kita jangan melihat siapa yang bercakap melainkan kita perlu mendengar apa yang diperkatakan.
5. Perselisihan faham di kalangan ahli agama amat merugikan dan membuat kita terpinga-pinga dan kebinggungan. Perpecahan di kalangan ahli agama membuatkan kita berasa rimas. Kita ingin mencontohi mereka kerana kita bukan ahli agama. Kita baru hendak berjinak-jinak dengan agama. Contoh perbuatan, tutur kata ahli-ahli agama yang menimbulkan kontroversi perlu ditangani secara berhati-hati. Saya rasa ahli agama tidak perlu publisiti dalam membuat tindakan dan tidak perlu diberi liputan.
6. Paparan maklumat berhubung tindakan yang boleh menimbulkan kontroversi dalam masyarakat Islam terutama kepada yang baru mengenali Islam ataupun yang baru ingin dijinakkan untuk memahami Islam terganggu dengan gaya cara kita menangani sesuatu isu. Perkara-perkara yang perlu ditangani secara tertutup mestilah ditangani dengan tertutup. Perkara-perkara yang perlu diketengahkan perlu diketengahkan.
7. Kita tidak mahu menang sorak kampung tergadai. Bumi ini milik Allah swt, kita tidak mampu menepati kata perpatah ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Kita tidak mahu menjadi orang Islam pada namanya sahaja kemudian membiarkan nilai-nilai Islam dipraktiskan oleh orang bukan Islam lalu kita mengatakan bahawa sebenarnya semua yang diamalkan oleh orang bukan Islam yang berjaya berasal daripada ilmu Islam.
8. Demi kerana agama Allah swt kita mesti mempunyai hati yang boleh mengetepikan segala perbezaan dan melihat persamaan. Kita mesti mampu untuk menerima saudara seagama kita, kita mesti merasai kasih sayang yang terjalin disebabkan kalimah syahadah yang diucapkan.
9. Hanya dengan memperakui kesalahan diri lalu memohon ampun dengan bertaubat kepada Allah swt sahaja kita dapat merapatkan dan memperkemaskan hati-hati yang pecah ataupun terguris di atas apapun perkara yang kita perjuangkan tetapi tidak mencapai sasaran. Kita perlu kekuatan yang hak. Kekuatan yang hanya tercapai ataupun terbentuk kerana kehambaan kita kepada Allah swt.
10. Marilah kita memperjuangkan Allah swt dalam hidup kita.
0 comments:
Post a Comment