Pandangan

Thursday, January 7, 2010

1. Adakah tunjuk perasaan dan perarakan merupakan jalan penyelesaian kepada apa jua masalah yang kita hadapi ? Betulkah kita dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi dengan menunjuk perasaan sama ada perasaan marah ataupun kekecewaan kita melalui ucapan berapi-api, mengangkat poster ataupun banner ? Adakah kita ingin menerapkan budaya demonstrasi apabila ada sahaja perkara yang kita tidak persetujui ?

2. Lain pula senarionya apabila kita meninjau jumlah orang Islam yang hadir dalam solat waktu di masjid-masjid. Program-program agama tidak mendapat sambutan apalagi majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid masih dipandang sepi.

3. Kita hanya akan berjaya apabila orang-orang Islam berbondong-bondong menuju masjid apabila azan diazankan. Selagi mana kita tidak dapat menerapkan budaya bersolat di masjid sebagai suatu keutamaan selagi itu bantuan Allah swt menjadi teka-teki dalam hati orang Islam.

4. Apalah rupanya apabila mereka yang ramai terpaksa memilih jalan menunjuk perasaan untuk mendapatkan hak. Kebiasaan golongan berjumlah kecil akan menggunakan pendekatan ini untuk menuntut hak mereka. Pemimpin-pemimpin masyarakat telah menjanjikan akan membuat penyelesaian sebaik mungkin dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak. Kita tidak sanggup membiarkan Allah swt yang esa dipersepsikan dengan pelbagai dimensi yang kita perlu pertahankan supaya kita tidak dicemuh oleh generasi akan datang namun kita juga tidak sanggup melihat negara yang kita cintai porak peranda dan huru hara. Keamanan dan kehormanian negara yang dicemburui oleh masyarakat dunia tidak harus digadai, sementara kita juga tidak mahu putih mata dalam mempertahankan kesucian Islam.


5. Bagai menarik rambut dalam tepung, marilah kita bertawakal kepada Allah swt dengan solat dan sabar. Moga-moga tindakan kita tidak didalangi oleh hawa nafsu sebaliknya tindakan kita hendaklah meletus dari sifat kehambaan dan keimanan semata-mata kerana Allah swt.

6. Marilah kita mempersembahkan diri kita sebagai hamba Allah swt dengan bersolat taubat dan memohon hajat agar segala yang timbul berakhir dengan hikmah yang positif. Selain itu marilah kita berdoa agar pemimpin-pemimpin kita beroleh keberkatan dan rahmat Allah swt bagi menyelesaikan polemik ini dengan sebaik-baiknya.

7. Walau apapun yang kita buat ingat Islam adalah agama keamanan dan senantiasa menghulur tangan perdamaian sesama manusia. Terperangkap dalam tipu daya syaitan adalah sesuatu yang memalukan. Doa mohon perlindungan daripada syaitan yang senantiasa kita baca diharapkan dapat membendung hasutan syaitan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS