Kesamarataan Dalam Islam

Sunday, February 28, 2010

Keunikan Agama Islam ialah kesamarataan manusia di sisi Allah swt. Kesamarataan hak menurut ketetapan Allah swt menerusi wahyu yang merupakan perundangan hakiki. Tidak ada beza di antara manusia melainkan kerana taqwanya semata-mata. Makhluk dilayan menurut hak yang diperundangkan melalui ayat-ayat Al Quran. Al Quran adalah manual yang merupakan sumber rujukan manusia untuk dijadikan panduan dan pedoman kehidupan.

Islam tidak melihat perbezaan menerusi status sosial, warna kulit ataupun keturunan. Islam mengajar manusia erti kasih sayang. Kasih Sayang sesama manusia, kasih sayang manusia dengan alam sekeliling termasuk alam sekitar, alam maya dan nyata, termasuk mahkluk haiwan, tumbuhan dan hidupan melata sama ada di langit, di bumi mahupun di dasar lautan dalam. Seluruh pelata bumi yang 7 menjunjung ketetapan hakiki Allah swt.


Akal manusia belum mampu memanipulasi keperkasaan Allah swt dan ilmunya yang tidak terhitung mahupun tersukat oleh akal manusia yang cetek dan terbatas. Manusia masih meneroka dan mendalami dasar dan asas keunggulan Al Quran sebagai usaha 'melombong' segala permata, emas yang terpendam di dalamnya. Akhirnya dengan penelitian dan pengkajian mendalam dan saintifik manusia akan ketemu hakikah kebenaran Islam sebagai Agama yang diredhai dan sah di sisi Allah swt.


Dunia hanya mempunyai Tuhan yang esa. Tuhan yang tiada dan tanpa bandingan. Tiada sekutu, tiada balikkan, tiada pula yang serupa dengannya. Tiada persamaan dan tiada kesamaan dalam kemutlakan Allah swt sebagai Tuhan Tuan Punya Sekelian Alam ini.

Tuhan, awalnya tiada permulaan dan akhirnya tiada kesudahan. Bagi manusia, awalnya ada permulaan, akhirnya tiada kesudahan. Manusia di bumi ini untuk bercucuk tanam dengan tujuan menuai hasil hakikatnya di akhirat nanti. Hasil di bumi adalah kesenangan dan keseronokan sementara manakala hasil akhirat adalah yang kekal abadi. Rugi di dunia belum tentu rugi di akhirat. Untung di bumi belum pasti untung di akhirat. Kita tidak boleh menggadaikan diri dengan keuntungan sementara di dunia dengan melepaskan keuntungan kekal di akhirat.


Rasakanlah kehadiran dan pentingnya Tuhan dalam kehidupan harian. Tuhan bukan untuk masa-masa tertentu sahaja. Tuhan ada peranan dalam kehidupan kita. Atur kehidupan kita dengan panduan dan pedoman Tuhan lebih-lebih lagi rintihlah kepada pimpinan Tuhan. Jadikanlah Tuhan fokus masa depan kita. Kita kejar dunia, dunia akan lari. Kita kejar akhirat, dunia akan cari. Pupuklah hati dengan keredhaan dan redha kepada ketentuan Allah swt.


Masa akan membuktikan segala-galanya. Kita akan menemui cinta kita apabila kematian datang. Kematian adalah suratan takdir yang tidak dapat ditolak. Jemputan mandatory. Tidak boleh diketepikan atau dikesampingkan. Ataupun mohon injunksi menghalang malaikat maut mendekati kita.
Terpaan panggilan itu akan menyebabkan kita hilang nafas kerana menyahutnya. Segala-galanya terhenti, tidak berdenyut, tidak berdetik, muka pucat, badan kaku, segalanya menjadi lesu.


Hakikat kecintaan hakiki hanyalah apabila menemui Tuhanmu !!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS