Adanya tidak diketahui, tiadanya orang tak cari
Wednesday, April 21, 2010
Adanya tidak diketahui, tiadanya orang tak cari adalah seni akhlak menuju kecintaan hakiki. Dalam lipatan sejarah Islam terdapat beberapa watak yang tidak mendapat perhatian mahupun perbincangan ataupun diketengahkan atau diberi publisiti walaupun sumbangan mereka tidak kurang hebat secara perbandingan. Golongan belakang tabir ini mampu menjadi pemangkin dan inspirasi kepada pencipta sejarah dan tamadun dunia. Mereka telah menjadi sumber kepada kelahiran orang-orang hebat di muka bumi ini namun tidak sedikitpun dibicarakan malahan hampir luput daripada kotak fikiran manusia seluruhnya.
Sungguh hebat peranan mereka. Pengabdian dan balasan atas sumbangan mereka adalah terletak secara mutlak pada keredhaan Allah swt semata-mata. Mereka adalah golongan terpilih dan diberi kesempatan oleh Allah swt supaya mempunyai peranan besar dalam sejarah perkembangan agama.
Kita biasa dengan peribahasa bahawa ketinggian budi dan akhlak kita dalam bersedekah ialah apabila mampu menjaga hati pada tahap keikhlasan mutlak kerana Allah swt. Andai kata yang memberi itu tangan kanan, hendaklah dirahsiakan sehingga tangan kiripun tidak mengetahuinya. Bayangkan darjah hampir mustahil akhlak yang cuba diterapkan dalam ajaran Islam. Soalnya adakah wujud orang-orang seperti ini dalam realiti hari ini. Pada hari ini setiap yang kita buat dan sumbangkan diharapkan agar mendapat perhatian dan pertimbangan. Hati meronta-ronta untuk mendapatkan pengikhtirafan. Darjah kepuasan kita bergantung kepada pujian manusia semata-mata. Hati menjadi pilu dan rasa terhina apabila tidak dikedepankan ataupun disanjung kerana sumbangan dan perkhidmatan kita. Manusia dahagakan pujian. Hati mereka kering kontang bakal mekar harum dan subur menghijau apabila menerima pujian. Secara psikologi tidak dinafikan keperluan pujian sebagai santapan hati tetapi jangan tenggelam dalam pujian sehingga boleh merosakkan interaksi dan komunikasi dengan Allah swt.
Kita harus bersyukur atas nikmat Allah swt. Nikmat Allah swt tidak terhitung banyaknya. Hanya kerana nikmat dan redhaNya kita hidup dan bernafas sebagai makhluk berbudi pekerti dan berakhlak mulia. Tanpanya mungkin darjat atau status kita tiada ketahuan pekertinya.
Mereka yang menuntut ilmu mempunyai tanggungjawab bukan sahaja untuk beramal dengannya tetapi juga untuk menyebarkan atau mengajarnya kepada orang lain. Harap tidak jadi keadaan di mana ilmu yang dituntut disimpan dalam bentuk tesis di rak buku atau perpustakaan, sijil dan ijazah digantung di dinding-dinding manakala sibuk pula melihat poket masing-masing. Ilmu hari ini diperdagangkan dan dikomersialkan. Luasnya rahmat dan pintu rezeki Allah swt. Kalau ada satu pintu tertutup beribu lagi pintu terbuka kepada hamba-hambaNya.
Apapun yang penting ialah orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Budi baik orang jangan sekali-kali dilupakan. Dalam kehidupan yang sementara ini hitungilah berapa banyak sumbangan kita kepada kebaikan umum.
Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Gunung Daik Bercambah Tiga
Hancur Badan Di Kandung Tanah
Budi Yang Baik Dikenang Juga
0 comments:
Post a Comment