INFO

Friday, May 7, 2010

PEMBINAAN RUANG TAMBAHAN
RUMAH SAUDARA BARU


Sdra Muhammad Aripin Hoo bin Abdullah memeluk agama Islam bersama-sama keluarganya lebih 10 tahun dahulu. Beliau yang berketurunan Cina berkahwin dengan saudara baru berketurunan India dan membawa masuk seluruh keluarganya yang berjumlah 18 orang termasuk ipar duainya. Keseluruhan keluarganya tinggal dalam sebuah rumah yang dibeli di Taman Impian, Gemencheh. 

Berkat usaha dakwahnya yang gigih, Aripin Hoo, 45 tahun telah membawa kembali ramai saudara baru dan sahabat handai untuk mendekati Islam dan mengucap kalimah tauhid. Kehidupan berkeluarganya adalah sebuah contoh untuk dibangunkan sebagai duta dakwah di Negeri Sembilan terutamanya untuk masyarakat Gemencheh. 

Memandangkan seramai 18 orang termasuk ipar duai dan ibu mertua yang turut kembali memeluk agama Islam tinggal bersama-sama maka didapati keperluan untuk penambahbaikan ruang dan bilik-bilik keperluan dalam rumah tersebut. 

Alhamdulillah, mulai hari ini kita akan memulakan usaha bersama untuk membantu Sdra Aripin Hoo merealisasikan wawasannya untuk menyediakan kemudahan untuk kediamannya dan selesa untuk melangsungkan pernikahan  ipar duainya yang juga turut berkahwin dengan keluarga yang diIslamkan olehnya. Pengembangan penyebaran melalui perkahwinan ini bakal melebarkan lagi rantaian keluarga menjadi sebuah keluarga yang besar. Usaha beliau harus mendapat perhatian dan bantuan daripada semua pihak yang prihatin terhadap usaha dakwah.




AL FATEHAH
ALLAHYARHAM SDRA MUHAMMAD DANIAL BIN ABDULLAH


Al Fatehah.. Moga Allah swt mencucuri rahmat, keampunan dan kasih sayangNya kepada Allahyarham Sdra Muhammad Danial Yuwaraj bin Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 Mei 2010 di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan. Allahyarham berusia 22 tahun baru 8 bulan kembali ke pangkuan  agama Islam terlibat dalam kemalangan. Allahyarham dalam keadaaan koma sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi ibu dan keluarganya. 

Allahyarham pernah tinggal dan mendapat perlindungan di rumah kasih sayang selama hampir 2 bulan. Dalam tempoh tersebut Allahyarham telah mengikuti kelas-kelas pengajian dan belajar bersolat. Selain daripada itu, Allahyarham turut membantu kerja-kerja pengurusan di asrama kasih sayang. 

Pengebumian selesai jam 9.00 malam di Makam Tuan Haji Said. Upacara pengebumian dipenuhi dengan saudara maranya yang bukan Islam. Untuk meraikan keluarga asal, jenazah telah dibawa ke rumah ibunya dan selama 1 jam keluarga dan sanak saudaranya diberi peluang untuk bersama saat akhir bersama jenazah. 

Suasana menjadi haru apabila jenazah dibawa masuk, disambut dengan suara beberapa ekor lembu peliharaan Allahyarham menguak bertalu-talu seolah-olah mengetahui sesuatu. Seekor daripadanya lembu jantan menghampir tingkap rumah Allahyarham sambil meninjau-ninjau kepalanya melihat jenazah Allahyarham yang terbujur dalam ruang tamu rumah mereka. 

Demi Allah swt, saya melihat dan disaksikan oleh sekelian yang hadir termasuk Ustaz Muhammad Zulkarnain, lembu tersebut  ' menitiskan ' air matanya. Bukan satu titik atau dua, kelihatan sungguh seolah-olah menangis.  Pemergiannya bukan sahaja ditangis oleh keluarga bukan Islamnya tetapi juga makhluk lain. Seolah-olah Allahyarham dalam senarai mereka yang terampun dan terpelihara. 

Keluarga bukan Islam terasa diraikan kerana kita memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama jenazah. Situasi ini memberi peluang kepada bukan Islam memahami bahawa mereka boleh terlibat dalam urusan pengebumian sekadar yang berpatutan dan tidak seperti salah faham sebelum ini dalam masyarakat India bahawa mereka tidak akan dibenarkan melihat jenazah anak-anak mereka yang memeluk agama Islam. Pendekatan seperti ini amat berguna dalam usaha dakwah dan mampu merapatkan jurang antara orang Islam dan bukan Islam. 

Semoga dicucuri rahmat.


PENGISLAMAN SITI ZUBAIDAH BINTI ABDULLAH


Sekali lagi dipanjatkan kesyukuran kepada Ilahi di atas limpahan rahmatNya. Masih segar dalam ingatan pengalaman pertama memindahkan jenazah orang Islam yang dikebumikan di perkuburan Hindu suatu masa lalui di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 

Usaha untuk memujuk keluarga supaya bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan berlangsung selama hampir 2 tahun. Akhirnya berkat kesabaran dan hubungan baik dengan keluarga arwah menyebabkan akhirnya keluarga bersetuju untuk membenarkan pemindahan jenazah tersebut dilakukan. 

Namun yang paling mengejutkan lagi ialah isteri arwah yang beragama Hindu ketika itu telah terbuka hatinya untuk memeluk agama Islam dan kini ditempatkan di asrama Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan. Memandangkan keseorangan maka individu yang prihatin telah merujuk Siti Zubaidah untuk mendapat perlindungan di YKSNS. Untuk makluman Siti Zubaidah Abdullah sudah berumur 70 tahun ketika memeluk agama Islam. Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui akan akhir kehidupan seseorang itu. Jadi mohonlah supaya senantiasa kekal dalam iman dan Islam manakala doakan supaya petunjuk taufik dan hidayah ALlah swt tersebar luas di muka bumi ini. Ini baru sedikit perkongsian mengenai manfaat adanya rumah kasih sayang. Banyak lagi kisah dan sumbangan hasil wujudnya rumah perlindungan yks. Sehubungan itu saya ingin menyeru supaya masyarakat bersama menyumbang untuk menjadikan impian membeli rumah perlindungan YKSNS menjadi kenyataan. Yakinlah Allah swt akan menggantikan segala-galaya. 


KEBAJIKAN SAUDARA BARU OKU


Kita jangan terlepas pandang mereka yang keluar daripada rumah perlindungan kebajikan terutama apabila mencapai umur 18 tahun dan tidak lagi boleh menginap di rumah-rumah tersebut. Walaupun bukan semua tetapi terdapat juga individu yang keluar daripada rumah anak yatim ataupun rumah kebajikan yang sebatang kera tiada tempat hendak dituju. 

Usaha penjagaan kebajikan mereka oleh agensi kerajaan mencapai maksimum rupanya dalam usia tertentu. Dalam kajian kes yang saya ingin sebutkan ialah berhubung dengan salah seorang penghuni asrama YKSNS yang berketurunan Cina dan memeluk agama Islam. Penghuni ini OKU dan tiada saudara mara. Dengan keprihatinan pihak-pihak tertentu, saudara baru ini dirujuk ke YKSNS dan kini sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Selangor dalam bidang kewartawanan. 

Asrama YKSNS merupakan rumah dan kampungnya. Penghuni daripada pelbagai lapisan keturunan, umur dan rupa adalah saudaranya. Apabila cuti, Muhammad Firdaus Toh bin Abdullah tetap akan balik ke YKSNS dan sekali-sekala mengunjungi orang-orang yang signifikan dalam hidup beliau. Ramai orang yang prihatin tetapi kepentingan rumah perlindungan seperti ini tidak dapat dinafikan lagi. Rumah perlindungan yang diasaskan tanpa tujuan keuntungan mempunyai makna dan kesan yang besar. Mereka yang memerlukan mendapat harapan dan inspirasi kehidupan di YKSNS. 




PENGISLAMAN KS
nama asal dirahsia


Allah Maha Kuasa dan sesungguhnya taufik dan hidayah ada milik sepenuhnya dan dalam genggamannya. Alhamdulillah KS lahir 6 09 1931 yang telah berpisah dengan keluarganya ketika berusia 14 tahun. Beliau nekad lari daripada rumah pada tahun 1955. Berasal daripada Pasir Panjang Port Dickson, anak ke-3 daripada 13 orang adik beradik. 

Semenjak lari daripada rumah, penama ini menjalani kehidupan agama bukan Islam dan akhirnya kini ketika berusia 80 tahun hatinya terbuka kembali ke Islam. 

Besar rupanya tanggungjawab dan peranan rumah perlindungan YKSNS. Semoga berada dalam jalan keredhaan Allah swt. Saya terhutang budi di atas pengorbanan, sokongan dan jasa baik sahabat-sahabat kita di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan era mantan Mufti. Semoga Allah swt memberkati usaha dan pengorbanan kita. 


UCAPAN TAHNIAH


Dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa Saudara Muhammad Adam  telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir untuk mengikuti kursus perubatan di bawah Program Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Beliau merupakan bekas pelajaran SMK Seri Pagi yang diberi peluang khas untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah di tingkatan 4. Muhammad Adam  telah memperolehi keputusan 9A2B dalam peperiksaan SPM . 

Walaupun ketika mengambil SPM, beliau baru 2 tahun kembali kepada Islam tetapi berkat izin Allah swt dan usahanya termasuk dengan bantuan rakan-rakan dan guru-guru sekolah berkenaan, saudara Muhammad Adam memperolehi A dalam matapelajaran agama Islam. Kejayaan ini bertitik tolak daripada usaha pihak tertentu yang mempunyai fikrah bahawa andainya dapat diberikan sedikit perhatian dan peluang, saudara baru ataupun anak-anak mereka boleh dibangunkan jiwa dan rohaninya menjadi sumber aset dakwah yang berguna. 

Sewaktu saya mengusahakan supaya peluang diberikan dengan sedikit kelonggaran syarat untuk memasuki Sekolah Agama kepada saudara baru yang telah disaring daripada UPSR dan PMR ada pihak memandang sinis dan mempertikaikan hasrat tersebut.Malahan menyebutkan bahawa kenapa perlu diberi terlalu banyak kemudahan dan kelonggaran kepada saudara baru. Tujuannya ialah untuk menyediakan peluang dan persekitaran untuk mentarbiyah iman dan hipotesisnya ialah dengan mewujudkan persekitaran beragama, suasana belajar yang kondusif, ruang dan peluang, sedikit perhatian, bantuan berkala dan kasih sayang dapat merubah dan membuat anjakan tingkah laku. Malahan dapat melahirkan individu beriman dan bertaqwa. 


Saya berharap apabila ada sahaja individu yang kembali kepada Islam, mereka disaring untuk menentukan potensi, keperluan dan disalurkan ke institusi tertentu untuk diberi latihan kemahiran, peluang pelajaran mengikut kebolehan dan bakat semulajadi ini. Usaha bersepadu dan bersistematik begini akan memberi kesan bukan sahaja dalam usaha pengupayaan diri ( empowerment ) saudara baru tetapi juga akan memberi kesan signifikan dalam usaha dakwah. 

Saudara baru adalah aset berharga dalam usaha dakwah. Mereka boleh ditransformasikan sebagai duta dakwah dengan sedikit keprihatinan pihak berkaitan. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dan celik akal di kalangan agensi yang mengurus saudara baru. Lebih banyak lagi kejayaan boleh dicapai dengan sedikit keprihatinan dan pengorbanan. Kalaupun kita tidak dapat melakukannya, bantuanlah mereka yang bersungguh-sungguh melakukan usaha ke arah itu.


MAJLIS AKAH NIKAH

Dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa pada hari   Jumaat , 7 Mei 2010 jam 10.00 bertempat di Pejabat Agama Islam Daerah, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan akan berlangsung Majlis Akad Pernikahan di antara Saudara Muhammad Ah San bin Abdullah dan Siti Aishah Sankeri binti Ibrahim. Pasangan ini telah berada bersama-sama YKSNS sejak mereka memeluk agama Islam dan mengikuti program-program berkaitan untuk memantapkan ilmu dan amalan agama. 





0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS