Erti Sebuah Kemaafan

Tuesday, August 11, 2009

Adakala hidup ini perlu banyak sabar dan bermaaf-maafan. Moga-moga kerana kita mudah memaafkan orang, Allah swt akan mudah pula memaafkan kita. Hari ini hari orang lain terpaksa merayu dengan kita, akan tiba pula hari kita merayu kepada orang. Bagaimana pula agaknya perasaan kita dalam mengharapkan kemaafan orang terhadap kita ketika mana kita amat-amat memerlukannya.


Sehubungan dengan itu, marilah kita bermurah hati menghadapi karenah orang supaya Allah swt bermurah hati pula ketika menghisab kita di Hari Penghakiman. Fahami dan selami rupa dan erti sebuah kemaafan. Kalau ada orang dah minta maaf lebih daripada 3 kali tidaklah wajar bagi seseorang yang bergelar manusia yang beriman plak lagi untuk menolaknya. Jangan biarkan kesombongan mewarnai dan merupai kita. Jangan biarkan nafsu merajai hati kita. Lihatlah manusia daripada kaca mata penuh kefahaman, dengarlah kata-kata yang lahir daripada hati mereka bukan setakat mendengar ucapan lidah sahaja, hayatilah setiap patah perkataan yang diucapkan. Setiap patah perkataan, berserta dengan intonansinya serta mimik muka dan kilauan matanya mempunyai makna tersendiri.
Janganlah jua tunggu Hari Raya untuk memohon maaf dan memberi maaf. Bukan mudah untuk seseorang meminta maaf. Kemaafan yang dipinta haruslah lahir daripada hati nurani bukan sekadar ucapan lidah sahaja. Sebelum kita meninggalkan dunia yang 'sia-sia' ini marilah kita mengosongkan dan membersihkan hati kita daripada riak, sombong, angkuh supaya ketika mana kita berhadapan dengan Allah swt tiada halangan di antara Maha Pencipta dengan Kita.
Wahai Ustaz-ustaz, lihatlah manusia di sekeliling kita sebagaimana kita melihat diri dan keluarga kita. Bentukkanlah perasaan supaya diri kita dapat mengembangkan gelombong kasih sayang yang mekar mewangi, tunaikanlah tanggungjawab semata-mata kerana Allah swt supaya ada keberkatan dan pengikhtirafan di sisiNya.
Dendam akan merosakkan diri kita dan orang lain. Masyarakat akan sengsara jika penyakit hati ini tidak diubati. Ubatnya pula hanya pembersihan hati. Hati akan hanya bersih dengan zikirullah dan selawat kepada Nabi saw. Selain itu, pada masa-masa terluang biasakanlah diri dengan ikhtiqaf. Semoga kita sama-sama dapat merasai kemanisan Iman yang terhasil daripada pengorbanan. Pengorbanan, meninggalkan sesuatu yang disayangi, menjauhi sesuatu yang dikasihi, melupakan sesuatu yang diidami, perjuangan tiada erti dan maknanya tanpa sebuah pengorbanan. Jika terasa pengorbanan, itu bukanlah pengorbanan. Makin kita berbuat sesuatu makin terasa kita tidak berbuat apa-apa pun. Makin rasa kosong dan tidak berisi. Buat baik biarlah dilupakan sebab belum tentu dapat pengikhtirafan tapi buat jahat kena berwas pada sebab Allah swt pasti-pasti akan memberikan hukuman atas sifat keadilannya sesama makhluk ciptaanNya.
Wahai Pemimpin, pimpinlah diri mu terlebih dahulu sebelum memimpin masyarakat dan rakyat jelata. Mohonlah pimpinan daripada Allah swt supaya dapat mewarisi kepimpinan salahfussoleh. Penderitaan orang ramai dan kesengsaraan akan terubat hanya apabila pemimpin tulus ikhlas berkhidmat untuk rakyat. Keutamaan dan tanggungjawab adalah kepada orang yang dipimpin dan bukannya diri sendiri. Pemimpin adalah hamba kepada orang yang dipimpin. Rapatkan diri dengan Tuhan supaya kita tidak dibiarkan tanpa pimpinan. Kalau hati tidak terpimpin dengan nur kepimpinan daripada langit jadi kita rosak binasa dengan mainan akal dan hasutan syaitan. Rendahkanlah dirimu menghadapi manusia, lunakkanlah suaramu menasihati pimpinanmu, ajaklah mereka berhimpun di rumah Allah untuk menunaikan solat dan mengabdikan diri hanya kepadaNya. Keberkatan dan keampunan akan mencurah-curah sebagai rahmat Allah swt di muka bumi ini. Tiada satupun kekejaman dan kezaliman akan berhasil jika dihadapi dengan kekejaman dan kezaliman. Tiada akan berhasil hasrat menghapus sesuatu kezaliman hanya dengan semangat dan motivasi. Kerja kita adalah berusaha untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan biarkan kepada Allah swt menghadapi kezaliman dan kekejaman.
Wahai Ibu Bapa, didiklah dan pimpinlah anak-anakmu kerana mereka adalah bagaikan kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkan mengikut kehendaknya. Kelak jangan disesali apabila nasi sudah jadi bubur !
Ya Allah, Jangan kau biarkan kami tanpa pimpinanMu...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS