Perhubungan Silang Budaya

Wednesday, August 12, 2009

Perhubungan Silang Budaya di sesebuah Negara seperti Malaysia adalah sesuatu yang membanggakan. Dalam tempoh pencapaian kemerdekaan, Negara kita Malaysia telah ditadbir dan diurus dengan komitmen sosial yang sungguh tinggi. Rakyat mempunyai perasaan saling hormat menghormati seterusnya telah menentukan norma dan nilai yang dipegang bersama dan norma dan nilai milik sesuatu etnik yang masih dihormati dengan kefahaman yang mendalam dan signifikan. Nilai dan norma tersebut adalah agenda kebanggaan kewujudan sesebuah kaum dan bersifat terlalu peribadi. Jauh dalam lubuk hati masing-masing sangat-sangat memahami secara jelas dan tepat perkara-perkara yang boleh diperbincangkan dan perkara-perkara yang hanya perlu difahami tanpa perbahasan demi hasrat murni tidak mahu menyentuh isu-isu sensitif yang boleh menjadi peledak keharmonian kaum.
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan telah berjaya membentuk integrasi kaum dengan memberi kefahaman mendalam tentang pola silang budaya masyarakat majmuk negara kita. Kejayaannya amat terasa dengan penguasaan cemerlang masyarakat bukan Melayu sama ada dalam bidang penulisan bahasa mahupun tutur bicara yang cukup teruja. Membanggakan apabila kaum-kaum bukan Melayu bukan setakat menjadi penutur fasih bahasa dan loghat Melayu tetapi juga jelas menerima pakai resam budaya yang bersifat kemalaysiaan. Hanya orang Melayu kurang pula berusaha untuk mempelajari bahasa Cina dan Tamil menyebabkan mereka tidak dapat menyelami perasaan dalaman rakan warganegara mereka sebagaimana kaum Cina dan India memahami budaya, tingkah laku, resam rencam dan gaya cara masyarakat Melayu berfikir, bertingkah laku dan mengambil keputusan serta tindakan. Bukankah dengan mempelajari bahasa sesuatu kaum, kita sebenarnya menguasai sesuatu budaya. Bukankah kita sudah biasa dengan peribahasa, Bahasa menunjukkan Bangsa.
Dasar Bahasa Kebangsaan adalah satu formula kejayaan Malaysia. Bahasa merupakan jambatan hubungan kasih antara kaum di Malaysia. Sekolah telah berjaya mencetus perubahan besar kepada struktur sosial generasi muda bergaya bahasa Melayu dan berintergrasi nasional. Bahasa telah menjadi agen perubahan sosial dalam komuniti kita. Komunikasi dua hala antara kaum mencerah yang gelap dan menjernihkan yang keruh. Kita diajar mempelajari dan menghormati sesama kita. Bahasa menjadi garis latar untuk bertegur sapa dan mengatur bicara. Bahasa menjadi jambatan komunikasi mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang rapuh. Kita juga diajar bertingkah laku sopan santun, berlemah lembut sehingga berjaya membudayakan generasi kita. Bahasa bukan sahaja berjaya menyatukan kita sekian lama dengan membongkar prejudis dan menghakis prasangka tetapi bahasa juga telah mencantumkan roh dalam acuan Negara Malaysia. Bagaimana kita diajar untuk memulai bicara dengan penuh sopan dan santun, berbahasa berlengkok budaya lembut bicara menyusun pantun membuai hati yang lara. Pelbagai tamsil, pantun, gurindam, seloka dan syair dapat meresapi hati budi memperteguh yang baik, menegur yang buruk tanpa mencacatkan hati pendengar. Kita diajar dan belajar !
Tapi akhir-akhir ini, persefahaman dan keharmonian agar tercabar. Orang tua-tua tidak lagi dihormati, kata-katanya dianggap sudah ketinggalan zaman. Apa kata bahasa, Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi. Hanya tinggal sebagai hiasan dinding semata-mata. Kita hendaklah bijak dan prihatin apabila berbicara. Bangunkan kendiri dan hati yang mampu melihat jauh ke hadapan. Berfikir sebelum berbicara supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Membina sesuatu sangat sukar. Memerlukan masa yang panjang dan memerlukan pengorbanan. Memusnahkan dan meruntuhkan hanya boleh dilakukan dengan sekelip mata. KLCC bukan dibina dalam satu malam !
Hanya agama boleh menyatupadukan hati-hati manusia. Perjuangan yang bersifat perkauman tidak ada nilai di sisi Allah swt. Allah swt menciptakan manusia untuk berkenal-kenalan dan saling memanfaatkan sesuatu keistimewaan yang dikurniakan kepada kaum berkenaan. Alangkah bahagianya kalau ada kesempatan rakan-rakan kita menghayati rukun kehidupan yang bertunjangkan agama dan Allah swt semata-mata. Bacalah ! Bacalah bukan setakat huruf dan bunyi tetapi bacalah isi dan kandungannya. Bacalah tanpa prejudis atau sifat bias ( kecondongan memihak ) . Bacalah garispanduan kemanusiaan yang ditentukan Allah swt dan dizahirkan Rasulullah saw sebagai contoh ikutan. Buang ketepi apapun perasaan dan halangan. Bacalah dengan keterbukaan hati kemudian tanyalah suara hati anda ! Pasti dan pasti suara hati anda tidak akan menipu anda sebagaimana layaknya akal.
Ingatan kepada kaum manusia, janganlah menari dan menyusun rentak kaki mengikut paluan gendang golongan berkepentingan peribadi. Mereka bergendang dan kita menari. Akhirnya mereka meraih keuntungan kita kecundang! Kecundang di sisi Tuhan. Dunia hanya tumpangan. Pastinya kita akan mati. Jadi mengapa kita bersengketa. Belum tentu esok lusa kita masih bernyawa untuk menunaikan janji-janji kita kepada orang ramai. Ajaklah manusia mentaati perintah Tuhan dengan itu mereka akan mentaati perintah manusia. Jika Tuhan pun mereka tak takut, adakah mereka akan takut kepada manusia ?
Kaumku, jernihkan hati, jangan tersihir, jangan terpukau dengan paluan gendang. Semua yang menjauhkan kita daripada Allah swt dam RasulNya adalah musuh kita.
Bentuklah kesepaduan bersama-sama pemimpin-pemimpin kita !
Sudah sampai masanya kita menuju ke arah bentuk kepimpinan kerohanian yang lebih terarah dan menuju Jiwa yang Tenang ! Jangan dikejar dunia, kerana nanti kita akan digelak ketawa kan oleh dunia, Biarlah dunia yang mengejar kita ! Semua ini adalah bagaimana kita persepsikan diri dan dunia kita.
Rindukan pemimpin dan kepemimpinan langit....
Semoga kita mendapat keampunan dan rahmat Allah swt.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS