Ucapan Penghargaan Dan Terima Kasih

Monday, August 31, 2009

Pengurusan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Bank Simpanan Nasional di atas kesudian memberi sumbangan Zakat pada tahun ini kepada Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan. Sumbangan ini sangat bermakna dan insya Allah akan dimanfaatkan dengan sewajarnya. Setelah kami beroperasi lebih 7 tahun, inilah kami pertama menerima sumbangan sedemikian. Keprihatinan Bank Simpanan Nasional amat dihargai.
Tanggungjawab sosial badan swasta seperti Bank Simpanan Nasional, ini tentunya selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat prihatin dan berkasih sayang. Kami mendoakan kesejahteraan yang berkekalan daripada Allah swt kepada kita semua semoga dalam bulan Ramadhan ini kita dapat menunaikan perintah puasa sehingga ke tahap kualiti yang ditentukan Allahswt. Hanya dengan izinNya kita dapat mencapai makam tersebut.
Marilah kita perbanyakkan taubat dan memohon doa dan perkenan Ilahi agar segala dosa kita sama ada secara sedar atau tidak sedar diampunkanNya. Untuk makluman tuan/puan, YKSNS dengan hormatnya menjemput semua pihak sudi-sudilah kiranya dalam tempoh 30 hari ini paling tidak pun bertamu untuk sekali berbuka puasa dengan saudara-saudara baru di Kompleks YKS Tok Muar. Sudah tentu kunjungan tuan/puan akan menambahmeriahkan suasana sambutan ibadah di bulan Puasa ini. Sesungguhnya saat paling meriah bagi saudara baru bukanlah Hari Raya Puasa tetapi berpuasa pada bulan Ramadhan. Kerana apabila berakhir Ramadhan tiada lagi kemeriahan sepertinya dalam bulan Puasa. Sahabat handai akan bergegas balik ke kampung halaman untuk menziarahi keluarga masing-masing, jadi ketika itu tinggallah saudara baru ini bersendirian terutama yang baru dan tiada keluarga tumpangan. Ada yang bernasib baik dijemput ke rumah-rumah keluarga angkat namun tentunya tidak dapat menggantikan suasana berhari raya dengan keluarga dan saudara mara darah daging sendiri. Menumpah kasih di rumah orang tiada akan kekal. Kalau kekal pun hanya dalam lingkungan 3 hari. Berakhir 3 hari tentunya tidak molek dan selesa untuk berada di situ. Maka tersadailah mereka di masjid-masjid. Cuti yang panjang jua biasanya membuatkan mereka tiada tempat untuk dituju.
Menyedari hakikat inilah sudah dua tahun kami menganjurkan Perkampungan Saudara Kita D'Ambang Syawal. Alhamdulillah, sudah dua tahun kita menganjurkan program tersebut. Sambutannya meningkat daripada tahun ke tahun. Kalau pada tahun pertama hanya 70 orang mengambil bahagian, pada tahun kedua pula seramai 120 orang mengambil bahagian dalam perkampungan Hari Raya tersebut.
Pada tahun ini merupakan tahun ketiga, mungkin akan diraikan secara kecil-kecilan disebabkan kekurangan kewangan. Alhamdulillah pada tahun lalu kami dibantu oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dengan menaja juadah berbuka puasa dan jamuan pada pagi Hari Raya. Manakala Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menyumbangkan bantuan duit raya. Kami mengalami defisit sebanyak RM12, 000.00 pada tahun lalu. YKSNS terpaksa menanggung kekurangan tersebut namun berkat bantuan ALlah swt dapatlah juga diteruskan segala kegiatan YKSNS seperti biasa.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS