Ucapan Aidil Fitri 2009
Friday, September 25, 2009
1. Saya secara peribadi ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Idul Fitri dan berdoa supaya segala amalan kita diterima Allah swt dan moga-moga mendapat sedikit tempat di sisi Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
2. Pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan jayanya untuk mengisi keperluan kasih sayang dan rasa dimiliki di kalangan saudara baru. Perkampungan D Ambang Syawal di Kompleks YKS Tok Muar nampaknya telah berjaya mencetuskan sedikit keriangan di kalangan mereka. Walaupun pada tahun ini kita meraikannya secara kecil-kecilan tetapi kemeriahannya tetap terasa.
3. Saya terpanggil untuk menyatakan di sini bahawa tiada gunanya kita bersengketa sesama sendiri. Kemenangan sebenar ialah apabila kita terpilih sebagai insan yang diterima taubatnya dan diampunkan dosanya oleh Allah swt. Manakala kemenangan lain hanyalah sementara dan tiada kekal di sisi Allah swt. Apabila kita berjaya mengawal nafsu dan mempraktikkannya dalam diri barulah ada kejayaan.
4. Apabila ada orang melakukan kebaikan dan kebajikan marilah kita sama-sama membantu dan menolong mereka. Memadailah kita menyumbang dengan sedikit doa. Jika terlintas hasad dengki dan iri hati cepat-cepatlah bertaubat. Jangan beri ruang kepada fikiran-fikiran hasad dengki dan iri hati terhadap orang lain.
5. Mengadulah kepada Tuhan segala masalah yang terpendam dalam diri kita. Keluarkanlah isi hati hasad dengki dan iri hati kita di depan Tuhan. Mohonlah perlindungan supaya kita terhindar daripada penyakit hati yang seumpama ini. Saya dapati kita amat rugi kerana membiarkan hidup kita dipenuhi dengan dendam kesumat dan hasad dengki termasuk iri hati. Negara rugi, negeri rugi, daerah rugi, masyarakat rugi, keluarga rugi dan akhir sekali diri kita sendiri juga rugi besar kerana membiarkan penyakit PHD ini. Segala-galanya datang daripada Tuhan dan akan kembali kepada Tuhan. Mintalah kepada Tuhan segala-galanya.
6. Tuhan telah kurniakan keistimewaan tertentu kepada setiap orang. Setiap orang daripada kita mempunyai keistimewaan yang menjadikan diri kita unik. Faktor ini menjadikan kita mempunyai tarikan, keperluan dan kepentingan sesama kita. Oleh itu kita semua adalah istimewa lalu keistimewaan itu akan bertambah istimewa apabila kita dapat hidup rukun damai secara berjamaah.
7. Lalu kenal pasti keistimewaan tersebut dan uruskanlah dengan cekap. Bekerjalah bersungguh-sungguh dengan niat dan cita-cita tanpa mengenal penat lelah. Bekerjalah menuju matlamat yang ditetapkan. Niat yang baik atas panduan Allah swt akan melahirkan gelombong. Aura gelombong akan menarik sumber-sumber yang menjadi kekuatan kita. Bukan sahaja sumber zahir bahkan yang tidak kelihatan pun akan terarah untuk menyokong mereka yang memperjuangkan misi keTuhanan.
8. Membina sesuatu bukan mudah dan bukan sehari. Hampir tamat riwayat hidup seseorang atau sesebuah organisasi dalam memperjuangkan sesuatu cita-cita hingga menjadi kenyataan. Malangnya apabila jatuh ke tangan pihak yang mendapati sesuatu itu secara durian runtuh akhirnya musnah dan punah ranah. Sesuatu peradaban, sesebuah negara, sesebuah organisasi terbina atas titik peluh dan titisan darah yang memiliki sejarah yang panjang dan bukan terbina dengan sekelip mata. Hanya runtuhan yang berlaku dalam sekelip mata. Mengusahakan pembinaan memerlukan pengorbanan. Meruntuhkan dan merosakkan memerlukan hati yang jahat dan cukuplah hati yang jahat untuk meruntuhkan dan menghancurleburkan segala-galanya.
9. Banyak sekali peradaban dan tamadun yang rosak binasa hanya kita hati yang jahat lalu bersihkanlah hati tersebut. Pandanglah dengan kejernihan hati yang subur dengan kebaikan. Jika kita dapati ada sedikit kekurangan datanglah untuk membantu dan memperbetulkan. Jangan berfikir untuk meruntuhkan dan memusnahkan ! Lihatlah bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai banyak kebaikan yang perlu dicungkil, dilatih dan dipimpin kearah kebaikan. Manusia boleh dididik menjadi jahat dan boleh juga dididik menjadi baik. Cuma pilihan ditangan kita. Jika kita memilih untuk menjadi baik maka kita mempunyai segala sumber yang boleh membawa kebaikan tetapi jika kita memilih untuk menjadi jahat sama juga kita mempunyai segala sumber yang mencukupi untuk menjadi insan yang paling jahat.
SELAMAT IDUL FITRI
Maaf Zahir dan Batin
0 comments:
Post a Comment