Masjid Tok Muar

Tuesday, June 3, 2008

Masjid Tok Muar merupakan salah satu masjid tertua di Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Masjid ini terletak di Pekan Lama, Kuala Pilah berhampiran dengan Ulu Sungai Muar. Menurut orang tua-tua, masjid ini merupakan tempat persinggahan mereka yang menggunakan jalan air sebagai jalan pengangkutan utama biasanya menggunakan masjid ini sebagai tempat menunaikan solat.
Mengikut catatan dalam rekod Pejabat Tanah Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, masjid ini telah digazetkan sebagai rezab masjid pada tahun 1915. Masjid Tok Muar telah digunakan oleh penduduk Kuala Pilah sebagai masjid utama dan pernah digunakan untuk mendirikan Solat Jumaat sebelum berpindah ke Masjid Yam Tuan Raden yang didirikan pada tahun 1926.
Reka Bentuk masjid ini agak unik. Masjid ini telah dibaikpulih dan dikekalkan bentuk asalnya yang ada miripnya dengan bentuk-bentuk Masjid lama di Melaka. Pada tahun 2006, masjid ini telah dibersihkan secara gotong-royong setelah terbiar tanpa penghuni dan aktiviti. Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan telah mengambil iniasitif untuk mengadakan gotong royong dan menjadikannya sebagai Pusat Latihan dan Bimbingan Saudara Baru. Masjid Tok Muar menjadi ikon Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan dan sering menjadi tempat perkumpulan saudara baru untuk mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembinaan ukhuwah.
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan telah menanggung segala kos perbelanjaan untuk pembaikpulihan bangunan masjid. Kini masjid tersergam indah dengan mengekalkan seni reka bentuk lama dengan suasana harmoni terutama menjelang waktu maghrib pastinya memikat hati ahli ibadah. Pada waktu tengah hari pula, masjid ini begitu sejuk dan menambat hati sesiapa sahaja untuk turut hadir untuk menunaikan solat berjemaah mahupun berikhtikaf.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS