Bahasa

Wednesday, March 18, 2009

Bahasa
Penggunaan Bahasa Malaysia dalam semua urusan sesebuah negara adalah sesuatu yang amat membanggakan. Saya adalah produk kedua selepas seluruh pengajaran pembelajaran dalam bahasa Malaysia dikuatkuasakan dalam sistem pendidikan Malaysia.
Sebagai murid Darjah Satu Tahun 1972 di Sekolah Rendah Tunku Munawir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, saya mempelajari bahasa Malaysia. Anak-anak orang India biasanya lebih berbangga berbahasa Inggeris daripada Bahasa Malaysia. Tapi saya tidak, saya bangga menguasai bahasa Malaysia. Kesan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Malaysia dapat dilihat selepas lebih 35 tahun. Rasanya saya dapat menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Alhamdulillah, saya dapat berbahasa sama ada bahasa tulisan ataupun bahasa komunikasi dengan baik. Apabila kita mendalami ilmu bahasa kita bukan setakat mempelajari seni lengok bahasanya sahaja malahan kita berpeluang menerobosi ruang kognitif sesuatu bangsa. Kita dapat menyelami bagaimana sesuatu bangsa itu bertindak, apa kekuatan dan di mana kelemahan mereka, citarasa dan selera sesuatu bangsa. Bahasa juga memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri sesuatu bangsa itu menjadi bangsa yang berdaulat dan disegani.
Apabila kita mempelajari lengok bahasa sesuatu bangsa kita juga turut mempelajari budayanya. Budaya sesuatu bangsa amat berkait rapat dengan bahasanya. Bahasa menunjukkan bangsa adalah antara kata-kata ilmuan masyarakat yang mempunyai maksud yang mendalam. Ruang lingkup budaya etnik dan kesantunan sesuatu bangsa dapat diterjemahkan melalui gaya bahasa yang turut mempamerkan akhlak dan budi sesuatu bangsa. Pendidikan bahasa turut menekankan pembentukan budaya dan akhlak ( budi bahasa ) sesuatu bangsa itu menjadi bangsa yang berwibawa. Mendalami ilmu bahasa dan penghayatan selok belok komunikasi dapat menunjukkan keunikan mereka sebagai suatu rumpun bangsa yang bertamadun dan berakhlak.
Bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan pemikiran, cara bertindak, jati diri dan ketahanan mental. Penerapan budaya bahasa pada alam persekolahan menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi berakhlak sesuai dengan citarasa sesuatu bangsa itu. Begitulah pentingnya bahasa. Tanpa bahasa hilanglah bangsa. Memetik kata-kata hikmat Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia, akan tinggal menjadi kenangan jika kita memperkotak-katikkan bahasa ! Mereka yang mencintai bumi Malaysia, bumi bertuah ini tidak akan sanggup menggadaikan bahasa. Namun untuk memperkasakan bangsa kita harus mempunyai pendekatan terbuka dalam soal bahasa.
Namun apakah benar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris melunturkan keperkasaan sesuatu budaya bangsa adalah suatu isu yang menarik dan perlu diberi pertimbangan waras. Elakkan daripada melihat isu ini dari sudut pandangan orang yang berkepentingan. Letakkan diri kita sebagai seorang hakim yang mencari jalan penyelesaian demi kebaikan anak bangsa dan generasi akan datang.
Mempelajari bahasa lain adalah fardhu kifayah. Jika kita hendak menjadi bangsa yang bermaruah dan disegani kita mesti berilmu pengetahuan tinggi. Dalam menunaikan kewajipan berdakwah pula menjadi tuntutan terhadap kita mempelajari bahasa-bahasa lain di muka bumi demi menyebarkan Islam. Tuntutlah ilmu sampai ke Negara China. Tentulah kita terpaksa belajar bahasa Cina sebelum pergi belajar ilmu di negara China. Apakah dengan mempelajari bahasa tersebut kita mengorbankan budaya dan bahasa kita ? Malahan dengan resapan berbilang bahasa memperkayakan bangsa kita. Ambil yang baik jadi teladan, tinggalkan yang buruk sebagai sempadan. Adakah kita terlalu lemah iman sehingga mengagungkan sesuatu budaya asing menjadi budaya kita ? Minda penduduk dunia ketiga memang bangsa yang mudah terpengaruh dan suka meniru. Tapi suatu kaedah terbaik untuk belajar ialah dengan meniru sehingga menjadikan sesuatu yang ditiru itu lebih baik daripada asal. Ambillah contoh ikan di laut, walau bagaimana masin sekalipun air laut tetap daging ikan tidak masin. Kukuh terpelihara dengan sunnatullah. Makanya manusia yang beriman hendaklah berakhlak dengan akhlaknya Rasul, berbicara penuh tertib dan sopan santun dalam menggauli ( berbahasa ) sesama manusia bagi menyatakan rasa syukur dan hebat terhadap Allah Tuhan Maha Perkasa. Kita jangan memusuhi sesuatu bahasa kerana bahasa adalah makhluk ciptaan Allah swt.
Apapun bahasa yang kita belajar, kita jangan mudah lupa diri. Untuk memartabatkan sesuatu bangsa penguasaan ilmu amat penting. Jika sesuatu bangsa dimuliakan oleh Allah dengan mengurniakan bahasa yang hebat seperti bahasa Al Quran, apakah rosak bahasa ibunda kita kerana memuliakan bahasa Quran. Malahan bertambah mulialah bahasa kita. Jika kita mempelajari sains dan matematik dalam sesuatu bahasa yang dimuliakan Allah dengan kehebatan ilmu bangsa tersebut maka kita mempelajari bahasa Allah swt sekaligus memperlihatkan keagungan Allah swt. Tetapi ingatlah tidak ada beza antara seseorang dengan seseorang yang lain di sisi Allah swt melainkan hanya dengan taqwanya. Hanya taqwa sahaja yang menjamin mendapat keredhaan Allah swt.
Marilah kita letakkan Allah swt di depan segala isu dan dapatkan jalan penyelesaiannya.

3 comments:

edika March 18, 2009 at 11:03 PM  

salam pembuka bicara, terima kasih cikgu nan kerana mengulas mengenai bahasa. Memang ada kebenaran fakta yang dikemukakan kerana bahasa amat penting bukan sahaja dari sudut komunikasi malahan segala aspek lain merangkumi kemajuan teknologi. Negara maju di dunia banyak menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar tapi harus diingat bahawa saya tidak menafikan kepentingan bahasa lain namun agungkanlah bahasa kita bak kata pepatah bahasa jiwa bangsa. kita bangsa MALAYSIA.

edika March 18, 2009 at 11:11 PM  

Setahu saya, penubuhan YKSNS adalah NGO yang menjaga kepentingan agama islam (betulkan kalau saya tersilap). TETAPI dewasa ini saya amat sedih kerana apabila agama islam dihina secara terang-terangan (nak bukti saya boleh bagi) namun tiada suara yang mempertahankannya, namun apabila ada suara yang menghina golongan tertentu cepat sungguh tindakan diambil. Saya amat kecewa perkara ini boleh berlaku di negara kita yang mengaku negara ISLAM. Bangunlah umat islam dari lena yang panjang, sedarlah, mainkan peranan anda masing - masing, Salam

edika March 18, 2009 at 11:21 PM  

Aku dahulu dibesarkan dipersekitaran orang melayu. Bahasa Inggerisku boleh dikatakan teruk ketika di sekolah rendah maupun sekolah menengah. Namun apabila menjejakkan kaki di U, dengan persekitaran yang berbeza secara auto inggerisku meng"improve".Salah satu cara adalah bercakap eng walaupun lain bunyinya. aku suka bercakap dgn org bangla yg aku percaya sama niatnya utk baiki engnya. So, kesimpulannya, hendak seribu daya, fikirkanlah............

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS