Sesat

Tuesday, March 17, 2009

Tidak pernah tidak berlalunya cuti sekolah tanpa saya mengikuti perkhemahan pengakap. Jiwa pengakap begitu akrab dengan diri saya. Saya menjadi ahli Pengakap Kumpulan 1 Kuala Pilah, Negeri Sembilan sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad ( TMS ) sebuah sekolah tertua dan ternama di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Di antara aktiviti yang paling diminati ialah berkhemah dan mendaki Gunung Angsi.
Pada setiap cuti sekolah, kami akan mengaturkan perkhemahan di Ulu Bendul. Ulu Bendul bukan seperti keadaannya sekarang. Sejak tahun 1978, saya bersama-sama ahli-ahli pengakap telah berkhemah di Ulu Bendul. Hutan rekreasi yang ternama kini dengan pelbagai kemudahan perkhemahan ini, dahulunya adalah hutan dan tempat berkeliarannya babi hutan. Air sungai deras dan sangat sejuk. Terlalu banyak pengalaman di Ulu Bendul. Berkhemah adalah aktiviti yang amat menyeronokkan terutama dengan kawan-kawan sekolah. Terlalu banyak pengalaman yang boleh dicoretkan dalam lembaran hidup yang turut mewarnai hidup ini. Kawan-kawan saya dalam pengakap inilah juga adalah antara sebab mengapa saya boleh terdedah kepada kehidupan orang Islam. Walaupun tidak ramai yang bersolat, tetapi mereka baik dan mereka yang begitu gigih menjaga solat adalah antara kawan-kawan yang terbaik. Terlalu ramai kalau saya ingin merakamkan nama mereka. Saya berdoa agar Allah swt memberkati mereka di atas sumbangan mereka memperkenalkan Islam.
Sumpah Setia Pengakap
Bahawasanya saya berjanji dan bersetia yang saya dengan sedaya upaya saya akan:
i. Taat Kepada Tuhan, Raja dan Negara;
ii. Menolong Orang Pada setiap masa; dan
iii. Menurut Undang-undang Pengakap
Setiap pagi apabila ada perjumpaan pengakap, kami akan memperbaharui ikrar tersebut di atas sebelum meneruskan dengan aktiviti-aktiviti tersebut. Saya memang menjiwai ikrar tersebut. Kalau nak disebut tentang menolongnya memang itulah jiwa saya. Saya sangat susah hati kalau ada orang minta tolong dan saya tidak dapat menolong. Saya akan menyalahkan diri saya sekiranya, saya tidak dapat menolong orang.
Terdapat dua peristiwa yang menjadi kenangan hebat dalam kegiatan berpengakap ini. Satunya ialah peristiwa sesat dalam pendakian ke Gunung Angsi, besar sungguh pengalaman dan pengajarannya dan kedua ialah menakutkan orang di Bukit Putus. Baru-baru ini sewaktu saya menerima Anugerah Kepimpinan Saudara Kita ( Anugerah Maal Hijrah ), saya berkesempatan untuk berjumpa dengan kawan saya yang turut membintangi episode Hantu Bukit Putus. Nak tau nama tak ? Sarjan Rosli Ali, kini bertugas di Pusat Latihan Polis Air Hitam dan di antara DJ terkenal era ini. Kalau berjumpa memang akan terkenangkan peristiwa tersebut. Waktu sekolah dulu pun, dia memang pandai berlakon dan berdisiplin orangnya. Tapi dia tak masuk pengakap, dia ahli Kadet Polis.
Saya ini dulu kalau orang nak cam, pengakap itu kena sebut bersama. Nama dulu saya ialah Anandan, jadi kenalah tambah Anandan Pengakap itu lah, baru orang kenal. Dulu lagi orang dah panggil saya Nan dan nama yang saya pilih setelah saya memeluk agama Islam, saya hanya menyusun semula huruf-huruf dalam nama saya itu menjadi Adnan ( secara terbalik ) A nanda n = Adnan. Begitulah saya memperolehi nama. Saya adalah antara orang yang memilih nama sendiri. Orang lain semua ibu bapa mereka yang memberi nama tapi saya lain, saya pilih sendiri.
Dalam soal memilih nama Islam ini, ayah saya sangat kecil hati. Asalnya dia tak de masalah tetapi apabila bapa saudara yang lain menceritakan bahawa, ' tengok anak kau tu, dah buang nama bapanya, diletakkan Abdullah, sape Abdullah tu. Penat je kau bela dia dari kecil, sekolahkan, akhirnya nama bapa telah dipadamkan. Tak kenang jasa punya anak '. Untuk maklumkan ayah saya ini ketika meninggalnya 10 kali dia peluk saya dan menceritakan bahawa daripada petang ada orang yang tidak dikenali mengekorinya. Dia tak kenal katanya tapi disebabkan orang itu lah dia sakit'.
Peristiwa perpindahan nyawa ayah saya bermula apabila 8.30 malam, saya setelah mendengar bapa saya sakit terus ke wad ICU. Setibanya saya kelihatan beliau dalam keadaan normal sahaja. Saya sempat berjumpa dan berbual. Dia menceritakan kepada saya perihal ada orang yang mengekorinya sejak petang tadi. Dan kerana itu lah dia jadi begitu. Di tangannya ada tasbih. Ayah saya ini tak percaya Hindu. Dia amat percaya dengan Islam. Sewaktu kawan baik saya menziarahi bapa saya, Muhammad Nur ada menghadiahkan tasbih dan menyuruhnya sebut Allah, Allah, ALlah dan saya memang perasan ayah saya sebelum tidur setiap malam akan memegang tasbih dan menyebut Allah.
Saya meninggalkan ayah saya kemudian berjumpa dengan juru rawat bertugas bertanyakan keadaannya. Juru rawat kata, walaupun keadaannya nampak normal tetapi keadaan jantungnya tidak stabil. Saya kembali semula kepada ayah saya. Dia bangun kemudian duduk, kemudian sempat berbual-bual dengan saya. Diulanginya juga orang yang mengekorinya daripada petang tadi. Tiba-tiba dia tidak selesa. Mula berbaring. Air muka dan suaranya membayangkan suatu kesakitan yang tidak terperi olehnya. Apabila dia menyebut sakit, keadaan sebutan dan air muka begitulah sakit sehingga tiada perkataan untuk saya memerihalkannya. Sungguh sakit ! Dia terbaring, saya melihat hujung kakinya berhenti, saya melihat paras pehanya berhenti. Setibanya di perut, bergerak-gerak perut bagaikan ada sesuatu dari dalam perut menolak-nolak. Dua gerakan ke kiri, kelihatan seperti beralih perut ke kanan dan ke kiri sebelum berhenti. Kelihatan perut berhenti. Kelihatan dada berhenti, dan seterusnya mata memandang ke atas. Apa yang dipertontonkan kepada saya sungguh tepat seperti mana perihal perpisahan roh dan jasad seperti dalam kitab-kitab agama. Saya sempat mendapatkan air, sempat baca fatehah dan beri dia minum.. Ayah saya sempat minum air dari tangan saya sendiri. Saya yang menutupkan kelopak matanya...
Saya terus bawanya balik daripada hospital dengan pertolongan rakan-rakan saya. Saya mempunyai ramai kawan-kawan yang baik tetapi saya tidak mampu menjaga hati mereka.
Bersambung...

4 comments:

edika March 17, 2009 at 10:36 PM  

salam, cite mengenai hantu di bukit putus macam pernah ku dengar suatu ketika dahulu, oh, rupanya ini kerja cikgu nan and the gang, ada sarjan sekali pulak tu, lawak betullah,

edika March 17, 2009 at 10:40 PM  

Doakan pemergian orang yang tersayang semoga ada hikmah disebalik kejadian tersebut, umpama kisah nabi Muhammad s.a.w yang meratapi pemergian datuknya walaupun tidak sempat mendapat hidayah dari Allah s.w.t.

edika March 17, 2009 at 10:42 PM  

Aku bukan pejuang bahasa, namun daku sedih bahasaku diperkotak katikkan dewasa ini, apa pendapat cikgu nan, salah tread ke ni?

edika March 17, 2009 at 10:45 PM  

Aku pun salah seorang ahli pengakap ketika di sekolah dahulu dan pernah mendaki gunung angsi, terasa puas tak terhingga apabila sampai ke puncak dan pengalaman 'berkamping' di kaki gunung angsi akan ku kenang dalam lipatan sejarah hidupku.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS