Memori...

Saturday, March 14, 2009

Suatu hari selepas waktu zohor, saya berehat sambil bersandar di salah satu tiang Masjid India Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Memang kebiasaan saya untuk berehat sambil bersandar di tiang itu. Tidak kiralah hari apa ataupun waktu yang mana. Hati runsing kalau satu hari tidak ke masjid India. Memang perasaannya lain. Adakala apabila penat membaca buku, ingin rasa hati nak bersiar-siar, saya akan keluar rumah lalu seperti diprogramkan tanpa sedar terus ke masjid. Tak sedarpun ke masjid plak...
Masjid lama itu memang jadi tumpuan orang. Dulunya yang selalu duduk berbual dengan saya ialah tuanpunya kedai Restoran Aziz. Kini dah arwah ( Al fatehah ). Arwah suka bercerita dan salah satu ceritanya yang masih saya ingat dan boleh dijadikan teladan ialah kisah Pokok Kena Tebang. Katanya, suatu hari diadakanlah mesyuarat tergempar di kalangan pokok-pokok di sebuah hutan. Pokok-pokok risau kerana usaha menebang pokok begitu giat dijalankan. Mereka tidak tahu cara nak atasi. Lalu salah sebuah pokok yang agak tua berkata, sebenarnya mereka tidak boleh tebang kita sekiranya tidak ada yang di antara kita yang membantu. Kitalah yang sebenarnya membantu mereka menebang kita, mengeluh si pokok tua menarik nafas panjang. Pokok-pokok muda tercengang lalu bertanya dengan marah, Siapakah gerangan pembelot di kalangan kita tu? Sambil tersenyum sinis pokok tua berkata, tidakkah kamu sedar wahai saudaraku, bahawa mata kapak yang diperbuat daripada besi tanpa bantuan hulu yang diperbuat daripada kayu tidak akan berguna langsung untuk menebang. Dengan bantuan daripada kalangan kitalah mereka memusnahkan kita. Kata pokok yang muda, Ya tak ya jugak kan...rupanya musuh kita selalunya di kalangan kita jugak..
Orang tua-tua lah katakan, banyak pengalaman, lebih dulu makan garam ! Beberapa hari sebelum beliau meninggal, beliau ada menyebut hasrat beliau untuk bersedekah jamuan di masjid india. Beliau kaya hasil usahanya, beliau meninggal sekembalinya daripada menunaikan Solat Isyak berjemaah. Arwah adalah antara ahli jemaah yang rajin ke masjid. Walaupun seorang peniaga yang sibuk tetapi merupakan pengunjung solat waktu yang setia.
Masa berlalu, saat berganti minit, minit berganti jam dan jam berganti hari. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Silih pergiliran malam dan siang, usia meningkat tua. Bilangan hari untuk hidup semakin berkurangan. Fizikal mula sakit, gigi pun luak dua tiga batang, jarak pemandangan pun pudar, nafas tercungap-cungap, lutut menggigil, rambut mula beruban, gugur pun ada, muka mula berkedut. Terasa sebut lidah tidak lancar, mulalah telinga kurang jelas pendengaran. Cepat letih, mudah penat, makan mula banyak pantang, gula kena kurang, garam kena jaga. Begitulah perjalanan kehidupan manusia menuju ke alam yang satu lagi. Sisa-sisa hidup yang tinggal diharap dapat dipergunakan ke arah kebaikan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS