Apa Visi dan Misi YKS..

Friday, April 10, 2009

  1. Apakah Visi dan Misi YKSNS ?
  • YKSNS mempunyai Visi untuk membina masyarakat yang berkasih sayang dan hubungan kemanusiaan yang tinggi, manakala misinya pula untuk menjadi pertubuhan yang membangunkan akidah, pendidikan, ekonomi serta memberi khidmat kebajikan kepada masyarakat

2. Siapakah yang mengilhamkan nama pertubuhan ini dan bilakah ditubuhkan ?

  • Penubuhan YKSNS adalah ilham Sdra Muhammad Adnan bin Abdullah. Beliau juga merupakan Pengasas dan Presiden Pertama YKSNS. Penubuhannya diluluskan pada 5hb. Februari 2003 walaupun permohonan dimajukan pada tahun 2002.
  • Rahsia di sebaliknya ilham nama ini ialah suatu perasaan yang timbul apabila duduk memikirkan penyelesaian kepada masalah manusia sejagat hanyalah boleh direalisasikan dengan menyebarkan, memahamkan, menyedarkan, merasakan kasih sayang Tuhan yang kekal abadi. Hilangnya kasih sayang di antara manusia sesama manusia, di antara ayah dengan anak, di antara suami dan isteri, di antara pemimpin dengan pengikut, di antara ibu dan anak, di antara guru dan murid, di antara sahabat sesama sahabat, di antara peniaga dengan pembeli, di antara doktor dengan pesakit dan seterusnya berbagai-bagai hubungan kemanusiaan dalam struktur jalinan kasih sesebuah masyarakat atau yang lebih kecil daripada itu sesebuah keluarga terutama diri merupakan punca musibah dan bala di muka bumi ini.
  • Apabila kita menyebut tentang kasih sayang ia adalah Nama Allah swt yang paling utama. Hari ini manusia sudah tidak merasai nikmat kasih dan sayang. Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang sudah mula dilupai daripada setiap detik hidup manusia. Perjuangan kita adalah untuk mengembalikan semula kasih dan sayang kembali mekar seperti contoh ikutan Junjungan Baginda Rasulullah saw.

3. Bagaimana penerimaan awal masyarakat terhadap pertubuhan ini ?

  • Setiap yang baru tentu ada halangan dan cabarannya. Cabaran perlu dihadapi dengan sabar dan tekun. Apabila kita yakin dengan apa yang kita buat terutama setelah memastikan bukan sahaja mempunyai niat yang betul tetapi prosesnya juga betul maka kita tidak perlu sangsi dan berpatah hati terhadap keyakinan kita itu.
  • Pertolongan Tuhan adalah yang utama. Kita tidak dapat memperjuangkan sesuatu hanya dengan berbekalkan semangat semata-mata. Meraih pertolongan Tuhan dalam setiap gerakan adalah yang utama. Kalau hanya berbekalkan semangat, takut-takut patah hati di pertengahan jalan.
  • Dengan Izin Allah swt, kami membina profil YKSNS di mata masyarakat. Allah swt melembutkan hati Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan untuk membantu bersama-sama terutama dalam menangani isu murtad di Negeri Sembilan. Sesungguhnya saya terpanggil secara sukarela tanpa disuruh atau dipaksa untuk melibatkan diri dalam usaha pencegahan murtad.
  • Sungguh tidak sempurna jika tidak bersyukur ke hadrat Allah swt yang melimpahkan taufik dan hidayahnya terutama bekas Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan pegawai-pegawainya terutama Ustaz Mohd Zaidi bin Haji Ramli dan Ustaz Ahmad Zaki Haji Hamzah kerana penglibatan ikhlas mereka membantu kami untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja menjaga kebajikan saudara baru dan pencegahan murtad di kalangan saudara baru.

4. Apakah cabaran peringkat awal ?

  • Cabaran peringkat awal yang ketara ialah penolakan agensi-agensi kerajaan tertentu yang mencurigai hasrat dan niat kami. Mereka bersikap prejudis dan mempertikaikan kewujudan YKSNS. Maklumlah kami baru, latar belakang pula ahli perniagaan. Sudah tentu ahli perniagaan kalau buat sesuatu mesti fikir untung rugi. Bila plak masanya dia dah berminat untuk berdakwah. Ditambah pula beberapa pertubuhan dakwah turut merasa terjejas kerana melihat YKSNS sebagai pesaing. Saya melihat mereka secara ' compliment', mereka melihat saya sebagai ' pesaing'. Keadaan ini turut menjejaskan kerja-kerja kebajikan. Saya tak berani nak sebut saya buat dakwah. Takut pun ada. Saya nie tolong-tolong jer sebenarnya.
  • Cabaran lain ialah sikap saudara baru. Kita memeluk agama Islam kerana yakin dengan sebenar-benar yakin. Kita mengkaji, belajar sirah nabi, kisah sahabat, pengorbanan dan perjuangan mereka, sehingga lahir di lubuk hati kita untuk menjadikannya budaya hidup kita. Asal ada sahaja orang susah, kita terpanggil untuk menolong, asal ada sahaja yang mengatakan tidak ada duit untuk makan, pakai patut, keluar duit sendiri untuk membantu, asal ada anak yatim tidak boleh bersekolah, kita sekolahkan. Bukan cakap main-main, sungguh ! Setiap masalah yang disampaikan diterima tanpa buruk sangka. Sebab kita melihat dengan sudut pandangan kita ini. Rupa-rupanya tidak. Ramai plak yang berpolitik. Tak habis-habis politik. Mengadu domba, fitnah-menfitnah, jatuh menjatuhkan, tumbang menumbangkan, cantas mencantas, ejek mengejek, umpat mengumpat, suruh orang sokong kita supaya jadi pemimpin dengan janji-janji, kalau bercakap hilang sopan, menjerit-jerit bagaikan guruh di langit. Hancur !!
  • Saudara Baru perlu berusaha sikap. Jika matlamat kehidupan jangka pendek di dunia menjadi sasaran, saudara saudari akan rugi alang kepalang.

5. Apakah di antara pencapaian YKSNS semenjak 5 tahun penubuhannya ?

  • YKSNS dapatlah dengan izin Allah swt menubuhkan Rumah Perlindungan untuk saudara baru yang memerlukan. Di samping saudara baru, sekarang Rumah Perlindungan ini juga dimanfaatkan oleh berbagai-bagai agensi dan orang persendirian dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosial.
  • YKSNS mempunyai jentera tersendiri untuk menjaga kebajikan saudara kita. Di antara program yang biasa diadakan ialah Usaha Ziarah dan Dakwah dengan tujuan mendekati saudara baru dan keluarga mereka. YKSNS juga menjadi institusi keluarga angkat kepada saudara baru terutama dalam kerja-kerja nikah kahwin dan kenduri kendara.
  • Suatu pencapaian yang paling membanggakan kami ialah pembaikpulihan Masjid Tok Muar, masjid tertua di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Keunikan YKSNS ialah mempunyai sebuah masjid bukan sahaja sebagai ikon tetapi juga sebagai pusat kegiatan dan markas gerakan. Sungguh tuan-tuan, suntikan semangat kebersamaan kita dengan masjid tersebut sangat terasa dan menjadikan hidup ini ada makna. Terpilih untuk menjaga rumah Allah swt yang terbiar dan tertinggal sekian lama akhirnya kini hidup semula dengan azan lima waktu sudah mampu untuk memacu semangat kami untuk menyebatikan hidup ini bersama Islam. Seluruh usaha dan niat kami untuk menghidupkan dan memakmurkan masjid ini menyebabkan kami berpindah dan sedang berusaha untuk membeli rumah di kawasan tersebut. Sungguhpun mahal harganya bernilai RM 290, 000.00 dengan kualiti buatan yang kurang baik tetapi apabila dibandingkan dengan nilai tersirat rumah Allah swt tiada tolok bandingnya.
  • Demi itulah, kami menjalankan berbagai-bagai aktiviti supaya kita dapat membeli rumah tersebut untuk dijadikan aset berharga umat Islam terutama saudara baru, sekurang-kurangnya saudara baru mempunyai kampung halaman atau ada tempat nak balik kampung.
  • Kami berdoa agar Allah swt merealisasikan wawasan kami untuk memiliki rumah-rumah tersebut sebagai Perkampungan Cahaya Iman.

Bersambung dengan pencapaian-pencapaian lain...

1 comments:

guest June 8, 2010 at 2:32 PM  

Bismillahirrohmanirrohim

Semoga perjuangan dan niat Tuan di rahmati Allah swt.

Mungkin lambat sokongan manusia kerana curiga dan cemburu tapi saya percaya pertolongan Allah dah lama tiba.

Hanya org terpilih saja akan sampai ke barisan Tuan

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS