Kes Meminjam dengan Along

Tuesday, April 7, 2009

Amaran: Elakkan terlibat dengan membuat pinjaman dengan ceti haram. Pinjaman-pinjaman seumpama itu merupakan pinjaman yang berisiko tinggi dan bakal mendatangkan implikasi buruk kepada peminjam. Dengan kadar bunga yang tinggi, peminjam akan terperangkap dalam hutang yang berpanjangan. Akhirnya menjadi papa kedana kerana terpaksa bergolok bergadai melepaskan hutang tersebut.
Slogan, kami bukan Along cuma nak tolong, walaupun bunyi kelakar dan mencuit hati tetapi senario kehidupan peminjam wang tersebut apabila tidak dapat melangsaikan pinjaman amat tertekan dan tidak keruan. Bakal mereka yang terlibat akan menjalani kehidupan yang menakutkan terutama kerana menghadapi ancaman daripada pemberi pinjam. Peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman akan menghadapi tindakan pemberi pinjam yang bakal menampal poster-poster bergambar peminjam di merata tempat dengan tujuan untuk memalukan peminjam. Budaya kita yang melarang untuk meminjam dengan ceti haram terutama kerana terlibat dengan riba haram menyebabkan peminjam akan sedaya upaya untuk membayar pinjaman tersebut. Perkara ini kalau tersebar akan melibatkan maruah terutama kerana mereka adalah beragama Islam. Persoalan ini menyebabkan pemberi pinjam mempunyai asas yang kukuh untuk menjalankan ugutan dan tekanan ke atas peminjam.
Peminjam akan diperas ugut, ditekan dan tertekan lalu akhirnya bukan sahaja menghadapi hutang keliling pinggang tetapi ada juga kerana tidak tahan dengan berakhir dengan 'bunuh diri'. Sehubungan dengan itu, elakkan daripada terlibat dengan peminjam tidak berlesen yang mempunyai kuasa hebat untuk menampal poster di tempat-tempat awam di seluruh negara. Kita dapati pemberi pinjam ini, mempunyai lesen besar untuk menampal poster menawarkan pinjaman mudah dan cepat. Tiang-tiang elektrik, pintu dan dinding bangunan, papan tanda, pondok telefon, pondok menunggu bas tidak terlepas daripada menjadi sasaran mereka untuk membuat publisiti. Hairannya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah seolah-olah tidak nampak kegiatan mereka yang berleluasa menampal poster bagi mencari pelanggan. Malangnya apabila saya menampal poster untuk mengajak orang menghadiri ceramah-ceramah agama penguatkuasa begitu sensitif untuk menurunkan poster atau kain rentang tersebut kerana tidak mempunyai kebenaran. Dalam hal pemberi pinjam tidak berlesen, dibiarkan begitu sahaja. Mungkin pemberi pinjam ini mengamalkan ilmu tertentu menyebabkan penguatkuasa buta tiba-tiba apabila melihat poster tersebut.
Saya menyeru agar kerajaan bertindak tegas dalam memastikan penguatkuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan adil dan saksama. Masyarakat yang terdesak dengan masalah kewangan sudah tentu akan cuba mencari alternatif mudah untuk membiarkan diri terperangkap dengan tawaran manis dan mudah pemberi pinjam. Namun kerajaan mempunyai tanggungjawab dan kuasa untuk memastikan pendidikan berterusan kepada rakyat agar tidak terlibat dengan masalah pinjaman ini. Kerajaan hendaklah tegas dalam menjalankan pendidikan dengan memperkenalkan dan menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan kewangan untuk memperbaiki status sosial mereka. Ini merupakan tanggungjawab wakil-wakil rakyat untuk senantiasa berdampingan dengan rakyat dan membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka senantiasa dan bukan hanya sewaktu berkempen.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS