Cabaran..

Monday, May 18, 2009

YKSNS sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang terlibat dalam pengurusan rumah perlindungan berasa terpanggil untuk menarik perhatian serius para pemimpin, ibu bapa dan guru-guru supaya peka dengan kes-kes sosial yang melibatkan remaja. Remaja atau Belia adalah golongan penting sebagai pelapis kepemimpinan negara harus disediakan dengan peribadi dan akhlak yang menyokong budaya sesuatu bangsa dan agama. Perhatian serius harus diberikan terutamanya ibu bapa dapat mendidik, mengasuh dan membesarkan anak-anak mereka menurut ajaran agama Islam supaya mereka bakal menjadi generasi peneraju dan penyambung warisan bangsa dan agama.
Pelbagai masalah yang melibatkan remaja sering diajukan terutama melibatkan ibu remaja hamil tanpa nikah. Walaupun pada usia yang sangat muda dan tidak sepatutnya menjadi IBU mereka telah terlibat dengan pelbagai masalah sosial yang berakhir dengan kehamilan. Ibu muda remaja tanpa nikah ini terhukum atas perbuatan dan kebebasannya tersendiri untuk membesarkan anak walaupun seolah-olah tidak bersedia lagi. Remaja seusia dengan mereka masih belajar, masih bersukan dan masih memerlukan kasih sayang ibu bapa tetapi remaja hamil tanpa nikah ini sudah menjadi pengasuh anak.
Selain daripada itu, terdapat juga ibu ditinggalkan oleh anak-anak mereka. Dalam usia tua, ibu-ibu ini terpaksa pula mencari rezeki untuk menyara hidup lantaran ditinggalkan oleh anak-anak mereka tanpa pembelaan. Kisah benar ini memang menyayat hati dan menyedihkan namun masalah ini adalah disebabkan kegagalan ibu bapa memberi ajaran agama yang secukupnya. Anak-anak dimanjakan, tidak didisiplinkan untuk bersolat, membaca Quran, gagal membesarkan anak-anak dengan akhlak agama menyebabkan apabila sudah besar mereka dengan mudah sahaja melupakan orang tua mereka.
Oleh yang demikian, sungguh-sungguh disarankan kepada ibu bapa supaya jangan memandang ringan urusan mendidik anak-anak dengan akhlak ajaran Nabi saw. Pengisian hati dengan ajaran agama adalah benteng untuk mempertahankan diri daripada dicerobohi budaya liar. Sewaktu anak-anak masih dalam dakapan ibu bapa, pastikanlah anak-anak dibesarkan dengan suasana dan kehidupan beragama sebab apabila sudah besar mereka bebas untuk membuat pilihan dan penentuan dalam kehidupan mereka. Jangan menyesal di kemudian hari.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS